Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

 [CB9]

 

 

 

 

Nimrod dan Agama Palsu

(Edisi 1.0 20030904-20030904)

 

Kush memperanakkan Nimrod dan dialah yang mula-mula sekali orang yang berkuasa di bumi. Karya ini disesuaikan daripada Bab 5 The Bible Story Volume 1 oleh Basil Wolverton yang diterbitkan oleh Ambassador College Press.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 2003 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi, ed. Wade Cox)

(Tr. 2009)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org

 

Nimrod dan Agama Palsu


Selepas Banjir

 

Bertahun-tahun berlalu dan anak-anak Nuh telah mendapat ramai anak dan anak-anak mereka membesar dan mendapat lebih ramai anak. Tidak lama kemudian ramai orang menghuni bumi sekali lagi. Semua orang yang lahir ke dunia ini turun daripada ketiga-tiga anak Nuh dan isteri-isteri mereka (Kejadian 9:19).

 

Tahun demi tahun berlalu dan manusia bertambah bilangannya. Pada ketika ini seluruh dunia berbicara satu bahasa. Sementara mereka bergerak ke timur mereka menemui satu dataran di Sinear dan menetap di situ (Kejadian 11:1-2). Mereka mula mendirikan rumah, gudang ternak, gudang simpanan dan semua jenis bangunan. Tidak lama kemudian pekan-pekan muncul di sana sini di seluruh dataran itu. Semakin banyak keluarga memilih tempat itu untuk didiami. Jadi manusia bergerak bersama-sama sekali lagi sama seperti mereka lakukan sebelum banjir.

 

Amat sedikit batu atau pohon di sana. Mungkin tiada kota besar dibina di situ sekiranya mereka tidak menemui bahawa kebanyakan tanahnya cukup sesuai untuk dijadikan batu bata yang baik sekali. Ini dibuat dengan menekan tanah liat basah ke dalam bentuk-bentuk blok dan membakarnya dalam sinar matahari atau sekitar nyalaan api. Jadi orang menggunakan bata dan bukan batu serta bitumen (ter gala gala) sebagai adukan untuk melekatkan batu bata itu bersama (Kejadian 11:3). Kemudian mereka berkata “Marilah kita dirikan bagi kita sebuah kota dengan sebuah menara yang puncaknya sampai ke langit, dan marilah kita cari nama, supaya kita jangan terserak ke seluruh bumi.

 

Ini tidak menyenangkan Tuhan. Dia tahu bahawa apabila manusia berkerumun bersama-sama dalam bangunan-bangunan sesak, mereka gagal mendapatkan yang terbaik daripada segala benda baik yang diciptaNya untuk manusia jumpai di padang, hutan, gunung, sungai malah di laut dan gurun. Selain itu, manusia lebih berkemungkinan melanggar peraturan-peraturan Tuhan untuk hidup bahagia apabila mereka wujud dalam kumpulan-kumpulan. Tuhan telah memberitahu Nuh dan keluarganya bahawa manusia patut menyebar ke serata dunia.

 

Nimrod Menjadi Wira

 

Pada waktu ini dalam sejarah manusia ada seorang lelaki bernama Nimrod yang turun daripada salah seorang anak Nuh, Ham. Sebenarnya dia cicit Nuh dan nama bapanya ialah Kush.

 

Nimrod, kalau kita menerima dasar bahasa Ibrani untuk asal nama itu, bererti pemberontakan atau orang berani daripada Kamus Ibrani Strong 5248.

 

Orang Ibrani mungkin sekali telahpun mengaitkan nama ini dengan pemberontakan dan dari situ perkataan mereka mula digunakan. Nimrod memangpun hidup sesuai dengan namanya jika ia betul-betul pemberontakan.

 

Bagaimanapun, nama ini mungkin berpunca daripada Ninurta Mesopotamia, yang kemudiannya dipakaikan kepada seorang dewa perang yang juga dipanggil panah, wira gagah perkasa yang kultusnya tersebar luas pada akhir Milenium Kedua BCE. Namanya dilihat dalam raja-raja kemudian dan raja Asyur, iaitu orang Asyur pertama memerintah atas seluruh Babilonia, dinamakan Tukulti-Ninurta I (kira-kira 1246-1206 BCE). Para sarjana baru-baru ini cuba mengusulkan bahawa raja inilah sebenarnya asal nama Ninurta. Bagaimanapun, ini sudah terlalu lewat dan lebih berkemungkinan lagi yang dia dinamakan sempena Nimrod sebelumnya, dan kultus Ninus, satu lagi dewa di timur, juga dikaitkan dengan Ninurta. Kedua-dua Ninurta dan Ninus mungkin diperolehi daripada Nimrod yang lebih awal.

 

Lazimnya, sebab Nimrod ialah anak Kush, Firaun Amenophis III (1411-1375) dikaitkan dengannya oleh sesetengah sarjana yang tidak mempercayai kebenaran Alkitab. Ini didasarkan pada fakta bahawa keturunan Kush berpindah dari Mesopotamia ke Etiopia. Bagaimanapun, mereka nampaknya datang dari Kussu, di timur Mesopotamia, dan sesetengah keturunan Kush mungkin juga telah pergi lebih jauh ke timur ke lembah Sungai Indus, yang kini di Pakistan dan seterusnya ke dalam India.

 

Asyur juga pernah dipanggil tanah Nimrod dan dia mendirikan kota-kota di Babel atau Babilon, Erekh, Akad dan Kalne di Sinear yang merupakan nama purba bagi Sumeria. Ia dikaitkan dengan Asyur dan Niniwe, yang pernah menjadi kota terkuat orang Asyur dan ibu kota mereka pada kemuncak kegemilangan Empayar Asyur. Tanah-tanah ini berada di dalam atau dekat Iraq moden.

 

Alkitab memberitahu kita Nimrod ialah “seorang pemburu yang gagah perkasa di hadapan Yahovah (atau Tuhan)” dan dengan itu seorang lelaki yang amat besar, kuat dan ganas. Oleh sebab kuasa dan kebolehannya sebagai pemburu berjaya binatang-binatang buas yang menyerang manusia, dia menjadi seorang wira dan pemimpin di kalangan orang sukunya (Kejadian 10:8-9). Seperti kebanyakan orang zamannya, dia mengetahui hukum-hukum Penciptanya, tetapi dia membenci hukum-hukum itu. Sama seperti ramai orang hari ini didorong mempercayai, Nimrod percaya bahawa jika dia hidup menurut peraturan-peraturan Tuhan dia tidak akan menikmati hidup. Dia hidup mengikut peraturannya sendiri, dan cuba membuktikan kepada orang lain yang mereka patut berbuat perkara sama.

 

Nimrod menjadi ketua atas orang-orang yang berkelompok bersama-sama di pekan serakan utama di tanah Sinear. Mungkin ramai keluarga tidak suka cara dia memerintah mereka membuat itu dan ini, tetapi bila saja binatang liar menyerang, Nimrod dan perajurit-perajuritnya berjuang untuk melindungi penduduk pekan. Nimrod kemudiannya membina sebuah tembok di sekeliling pekan yang bertumbuh itu. Perbuatan seperti ini membantu menjadikannya seorang pemimpin yang kuat, dan menyebabkan lebih banyak keluarga berpindah masuk dan menetap di bawah pemerintahannya.

 

Dalam beberapa tahun singkat saja, pekan itu telah membesar menjadi sebuah kota. Ini kota besar pertama dibina atas bumi selepas banjir. Ia begitu mengkagumkan hingga orang datang dari jauh untuk menatap bangunan dan tembok tinggi yang banyak sekali itu. Negeri itu kemudiannya dikenali sebagai Babilonia, dan nama kota itu ialah Babel atau Babilon (Kejadian 10:10). Perkataan ini ialah perkataan Akkadia dan bererti ‘pintu gerbang dewa’ (lihat nota tentang Kejadian 10:10 dan 1:9, NIV Study Bible).

 

Nimrod Memulakan Ibadat Berhala

 

Nimrod menjadi orang yang paling disegani di negeri itu. Kuasa dan kekayaannya bertambah sambil Babel bertumbuh. Dia membuat undang-undang, dan undang-undang itu menitahkan bahawa rakyat Babel sepatutnya tidak memandang Tuhan Nuh sebagai pemerintah mereka, tetapi sebaiknya diperintah oleh pemerintahan manusia. Nimrod juga mengajar mereka bahawa Iblis patut dihormati dengan menyembah benda-benda yang boleh mereka lihat, seperti matahari dan ular dan benda-benda lain (Roma 1:21-23).

 

Nama Dewa Babel ialah Bel iaitu satu bentuk nama Ba’al yang bererti raja atau tuan. Satu lagi nama ialah Merodakh, seorang “Dewa Perang” Babel (Yeremia 50:2). Dalam bahasa Ibrani namanya ialah Baal. Dia dewa matahari dan pasangan kepada Asytoret atau Ishtar atau Easter yang sempenanya pesta Easter dinamakan. Bel dianggap dewa utama di kalangan banyak berhala. Nimrod memperkuatkan kuasanya atas rakyatnya dengan menjadikan dirinya imam besar Bel, atau Baal, dan untuk Merodakh. Di situlah di Babel purba lahirnya segala kepercayaan palsu yang telah menyelinap masuk ke dalam hampir setiap agama. Malah hari ini berjuta-juta orang yang mungkin ingin hidup mengikut jalan yang betul tidak sedar bahawa cara ibadah mereka amat menyerupai cara ibadat berhala purba dan upacara pagan yang dimulakan di Babel. Orang hari ini, yang memanggil diri mereka Kristian, merayakan pesta-pesta Solstis Babel pada waktu Krismas dan Easter, iaitu pesta Ishtar yang pasangannya telah mati pada hari Jumaat dan dibangkitkan pada hari Minggu. Pasangannya ini lazim mempunyai banyak nama dalam kultus-kultus misteri, seperti Attis di barat dan Adonis bagi orang Yunani, atau Orpheus dan Dionysus di kalangan orang Yunani atau Bacchus di kalangan orang Rom.

 

Menara Babel

 

Salah satu rencana Nimrod untuk memastikan kesatuan rakyat di bawah pemerintahannya adalah dengan membina sebuah menara yang begitu besar sehingga membangkitkan rasa terpesona dan kagum setiap orang. Ia bakal menjadi kuil tertinggi dibina, dan satu tugu kepada dewa matahari di pusat sebuah kerajaan pemerintah seluruh dunia (Kejadian 11:5).

 

Mereka bekerja keras untuk waktu yang lama hanya untuk mendirikan dasar menara itu. Kemudian sedikit demi sedikit kuil ini terbentuk ke arah langit. Rencana Nimrod untuk sebuah raksasa batu bata membayang atas dataran itu sedang berjalan lancar.

 

Kemudian Tuhan campur tangan. Dia tahu bahawa Babel hanyalah permulaan kepada benda-benda yang akan manusia cuba lakukan. Jika mereka dibiarkan saja mereka tentu akan mengembangkan pengetahuan dengan begitu pantas sehingga dunia akan musnah sekaligus dalam tempoh enam ribu tahun yang diizinkan kepada Iblis untuk penguasaan manusia. Mereka tentu menjadi seperti elohim atau tuhan dan mereka harus dihentikan (Kejadian 11:6). Bayangkan bagaimana keadaannya jika orang seperti Nimrod mempunyai kemampuan mencipta senjata-senjata seperti apa yang kita ada hari ini!

 

Jadi sistem ibadah palsu di Babel diganggu dan dibubarkan dan semua bahasa dikelirukan sebab manusia berkembang dalam pengetahuan dengan begitu pantas hinggakan dia pasti memusnahkan planet ini lama sebelum tempoh waktu yang diberi kepada Iblis.

 

Banyak Bahasa Bermula

 

Tuhan berfirman “Mereka ini satu bangsa dengan satu bahasa untuk semuanya. Ini barulah permulaan usaha mereka; mulai dari sekarang apapun juga yang mereka rencanakan, tidak ada yang tidak akan dapat terlaksana. Baiklah Kita turun dan mengacaubalaukan di sana bahasa mereka, sehingga mereka tidak mengerti lagi bahasa masing-masing” (Kejadian 11:6-7). Kemudian sesuatu terjadi kepada orang yang sedang membina menara itu. Mereka mula menuduh sesama sendiri yang mereka tidak bercakap jelas. Ada yang berbicara satu cara, sementara orang lain bercakap cara lain. Semakin kurang mereka saling memahami, semakin banyak mereka bertengkar. Pertengkaran menjadi pergaduhan. Kerja mereka terhenti (Kejadian 11:7-8). Tuhan membuatkan mereka berbahasa banyak sekali hinggakan tiadanya komunikasi itu menjadikannya mustahil untuk terus membina kuil itu. Menara itu kemudiannya dipanggil “Babel” kerana “Babel” bermakna “kekacauan” dalam bahasa asal Nuh yang digunakan di situ (SHD 894) dan ia telah mengekalkan erti ini sejak itu.

 

Sebab tidak mengerti tetangga mereka, banyak keluarga yang menetap di dalam atau dekat kota Babel telah berpindah untuk mencari nafkah hidup di tempat-tempat jauh. Inilah apa yang Tuhan harap mereka lakukan (Kejadian 10:25 dan Ulangan 32:7-8). CaraNya menyerakkan mereka dengan mengacaukan bahasa mereka merupakan tamparan hebat kepada rencana Nimrod untuk pertumbuhan cepat kerajaannya serta penguasaannya yang lebih besar atas kebiasaan dan kelakuan sosial dan adat manusia.

 

Tetapi dalam waktu beberapa tahun seterusnya, sementara orang ramai menyebar ke seluruh negeri, mereka yang tinggal di Babel bertambah bilangan. Di samping itu, lebih ramai lagi orang berhenti di situ dalam pengembaraan mereka.

 

Nimrod merancang untuk memerintah bumi

 

Waktu berlalu dan Nimrod membina kota-kota lain di dataran Sinear di Babilonia. Dia meluaskan kerajaannya ke Asyur. Keturunan Kush, bapanya, serta saudara-saudaranya, mengembara ke benua-benua Asia dan Eropah malah turun ke negeri Mesir dan Etiopia di benua Afrika. Di setiap tempat kultus ini menanam adat jahat memuja setan dalam bentuk ular atau sebagai dewa matahari. Nimrod mendakwa bahawa Iblis si setan memiliki pengetahuan rahsia, dan hanya dia seorang yang dapat menyingkapnya kepada orang lain. Satu nama yang dikaitkan dengan Nimrod kemudiannya difahamkan di kalangan pelajar Alkitab sebagai satu bentuk “Petrus” atau Pawtah, yang didasarkan pada akar kata utama yang bermakna “pembuka” dalam bahasa Kasdim dan Babilonia dan selepas itu bahasa Ibrani.

 

Sementara itu, ramai penduduk bumi tiada atau sedikit saja kaitan dengan cara hidup Nimrod. Sesetengah suku telah mengembara begitu jauh daripada Babilonia sehingga mereka tidakpun tahun tentang mulanya pemujaan berhala itu. Orang lain pula tidak peduli sangat tentang Tuhan ataupun berhala.

 

Sebilangan kecil masih memilih untuk mentaati Pencipta mereka. Sem, salah seorang anak Nuh, merupakan seorang pemimpin di kalangan pengikut Tuhan. Bertahun-tahun lamanya dia bekerja menentang gerakan ibadat berhala yang tersebar keluar dari Babel.

 

Sem anak bongsu Nuh dan paman besar Nimrod. Sem sebagai imam Tuhan Mahatinggi wajib menentang Nimrod.

 

Bagaimana Nimrod meninggal tidak jelas. Namun dia memang telah mati dan Sem hidup lebih lama daripadanya bertahun-tahun lamanya. Keimamatan Sem berpusat di Yerusalem dan sesetengah raja di situ merupakan imam-imam besar yang dipanggil Melkisedek atau Adonai-sedek yang bererti Rajaku ialah Kebenaran atau Tuhanku ialah Kebenaran. Abraham kemudian memberi persepuluhan kepada Sem atau salah seorang imam besarnya di Yerusalem.

 

Kematian Nimrod merupakan kejutan hebat kepada para pengikutnya. Mereka tidak faham bagaimana atau kenapa imam besar dewa matahari boleh diizinkan mati. Ramai sekali pengikut hilang kepercayaan dalam wira mereka sehingga sistem agama Nimrod mula hancur.

 

Namun Iblis belum sedia melepaskan perjuangannya untuk membuatkan manusia membelakangi Penciptanya. Dia bekerja dengan amat licik untuk mempergunakan kematian Nimrod untuk mengejutkan manusia hingga berterusan dengan pemujaan berhala mereka. Iblis mempunyai rencana untuk menjadikan agama-agama pagan kepada sesuatu yang bukan saja akan menjadi semakin popular pada waktu itu, tetapi akan bertahan sampai beribu-ribu tahun!

 

Isteri Nimrod

 

Untuk memahami bagaimana ini terjadi, kita harus ketahui sesuatu tentang isteri Nimrod, dipanggil Ishtar atau Easter. Alkitab menyebutnya sebagai Asytoret. Ramai orang memanggilnya Semiramis. Jenis amalan agamanya yang penuh nafsu ghairah masih diamalkan sejauh ke selatan sampai Uganda, Afrika (lihat Frazer, The Golden Bough, ii, 275). Merpati emas dikaitkan dengan Semiramis dan dia juga dikenali sebagai Cybele di Frigia dan Atargatis di Aram (Syria). Nama Atargatis merupakan penamaan Yunani untuk pasangan Baal dari Tarsus di negeri yang kini Syria. Namanya dulu Atheh-atheh yang mempunyai nama dewi Tarsus. Kultusnya juga berada di utara di tempat yang dipanggil Hieropolis-Bambyce dekat Sungai Efrat (lihat Frazer ibid v, 162 & n 2,3).

 

Sesudah suaminya mati, dia dikatakan telah menjadi pemerintah kerajaan suaminya. Namun sebab ramai pengikutnya percaya bahawa Nimrod bukanlah dewa yang didakwanya, Semiramis khuatir yang dia akan kehilangan kuasa atas mereka. Dia tahu dia mesti fikirkan sesuatu yang akan kelihatan seperti keajaiban besar – sesuatu yang akan begitu mempesonakan rakyat dan menunjukkan mereka bahawa Nimrod benar-benar seorang dewa.

 

Beberapa waktu selepas kematian Nimrod, Semiramis melahirkan seorang anak lelaki. Inilah apa yang diperlukan oleh perempuan jahat ini untuk menjalankan rencana tamaknya. Dia mengeluarkan berita bahawa anak ini tidak mempunyai bapa manusia, tetapi diperanakkan oleh satu sinar cahaya ajaib dari dewa matahari yang agung. Dia dikatakan anak Nimrod, datang untuk memulihkan kerajaan bapanya.

 

Dusta besar ini mungkin terlalu ajaib untuk dipercayai sesetengah orang. Bagaimanapun, ratu ini berjaya mengekalkan penguasaan kerajaan itu. Nimrod semakin dianggap sebagai dewa-anak. Tambahan lagi, sebab lebih banyak usahanya, Semiramis mula dipuja sebagai ibu dewa. Dia juga dikenali sebagai ‘Ibu Perawan’ dan ‘Ratu Syurga’ (Yeremia 7:18; 44:17-19,25). Dia merupakan pemimpin agama dunia yang pertama. Kultus yang mengikutnya ialah kultus Cybele sebagai seorang Ibu Dewi di Timur Tengah.

 

Semua ini terjadi lebih empat ribu tahun lalu. Inilah permulaan kepada pelbagai agama pagan, dan ia mempunyai kesan yang begitu kuat sepanjang abad-abad sehingga hari inipun ramai orang menyembah ‘Ratu Syurga’ walaupun watak ini tidak pernah wujud.

 

Iblis bekerja dengan begitu licik sekali sehingga semua simbol, tarikh, adat, idea dan tradisi ibadat berhala purba berkenaan, telah bercampur aduk dengan cara bagaimana kebanyakan orang beribadat hari ini. Semua hal dari masa lalu ini, yang diperkatakan dalam Alkitab sebagai ‘rahsia-rahsia tersembunyi’ masih menyembunyikan kebenaran daripada berjuta-juta orang yang benar-benar ingin mentaati Tuhan.

 

Hari-hari raya pagan yang dirayakan hari ini

 

Tuhan memberitahu kita melalui Kitab Suci supaya jangan mempelajari adat-adat pemuja berhala (Yeremia 10:2 dan Ulangan 12:30-31). Sebaliknya, ramai pemimpin agama memberitahu kita dengan ikhlas bahawa kita bersifat pagan sekiranya kita tidak merayakan tanggal 25 Disember sebagai hari raya. Tarikh ini dirayakan oleh orang pagan purba sebagai hari lahir anak Ibu Syurga yang dikaitkan dengan Nimrod dan dewa matahari!

 

Semiramis dan para pengikutnya dikatakan mendakwa bahawa pada 25 Disember satu pohon malar hijau tumbuh semalaman saja daripada tunggul mati di Babel, dan bahawa Nimrod akan pulang dengan diam-diam pada waktu yang sama setiap tahun untuk meninggalkan hadiah-hadiah pada pohon itu. Inilah permulaan sebenar hari raya yang kini dirayakan sebagai Krismas. Santa Klaus datang lewat kemudiannya dan kita sudahpun mengkaji hal ini dalam pengajian lain. Lihat karya Kenapa kita tidak merayakan Krismas (No. CB24).

 

Satu lagi waktu yang dirayakan oleh pesta-pesta agama sedunia ialah hari lahir Semiramis atau Ishtar. Dia membuat dakwaan palsu yang dia pernah hidup sebagai roh sebelum banjir, dan telah turun dari syurga dalam telur raksasa yang jatuh ke dalam sungai Efrat. Dewi dalam telur Ishtar (telur Easter) itu tidak lain dan tidak bukan Semiramis di bawah nama lain.

 

Kita dapati Easter disebutkan dalam Alkitab King James (Kisah 12:4). Bagaimanapun, ini disalah letak di situ oleh para penterjemah sebagai ganti perkataan ‘Paskah’. Paskah ialah salah satu waktu yang Tuhan ingin kita rayakan, sementara hari Minggu Easter, dengan kebaktian matahari terbit purbanya, ialah pagan sama sekali (1 Korintus 5:7-8). Lihat karya Hari-hari Kudus Tuhan (No. CB22).

 

Sekarang kita boleh mula mengerti bagaimana Iblis bekerja melalui Nimrod dan Semiramis untuk membuatkan manusia percaya dusta (Wahyu 12:9); sama seperti dia menyebabkan Hawa mempercayai bohong pertama.

 

Dewa-dewa lain cerita ini membawa bohong lain seperti dewa Attis, yang dipercayai sebagai Tuhan esa yang merupakan kedua-dua Bapa dan Anak dan telah turun ke bumi dan dibunuh atas pohon dan diturunkan ke Neraka pada hari Jumaat dan dibangkitkan pada hari Minggu. Ini ialah asal cerita Easter dan tidak sama dengan kisah Kristus dibunuh pada hari Paskah. Ini jugalah asal Tuhan Triune yang masuk ke dalam Kekristianan.

 

Inilah sistem palsu yang kita panggil Mistikisme dan ia telah menembusi semua agama dunia.

 

Bagaimanapun, Iblis tidak akan sentiasa dapat menipu manusia. Waktunya akan tiba tidak lama lagi bilamana kuasanya akan ditiadakan selama seribu tahun (Wahyu 20:1-3). Waktu itu agama-agama palsu akan dilenyapkan. Kemudian dunia akan menerima segala kebenaran dengan gembira – yang kebanyakannya telah begitu lama disembunyikan daripada kita.

 

 

q