Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

[CB12]

 

 

 

 

Ishak: Anak Perjanjian

(Edisi 2.0 20031120-20070126)

 

Dan Tuhan melakukan untuk Sara seperti yang dijanjikanNya. Sara mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki untuk Abraham dalam umur tuanya, tepat pada waktu Tuhan telah janjikannya. Karya ini telah disesuaikan daripada Bab-bab 7 dan 8 The Bible Story Volume 1 oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press dan The NIV Study Bible.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ă 2003, 2007 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi, ed. Wade Cox)

(tr. 2009)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org

 

Ishak: Anak Perjanjian

 


Sesudah kemusnahan kota-kota di dataran Yordan, Abraham berpindah ke barat daya ke negeri bernama Gerar. Seperti Tuhan janjikan, seorang anak lelaki bakal lahir untuk Abraham dan Sara. Seorang malaikat telahpun memberitahu mereka untuk menamakan anak ini Ishak. Abraham berumur 100 tahun ketika Ishak lahir. Sara berumur 90 tahun (Kejadian 21:1-3).

 

Sudah menjadi adat zaman itu untuk mengadakan perayaan sebagai penghormatan anak yang berumur antara dua dan tiga tahun. Ketika Ishak sampai umur itu, Abraham mengadakan perayaan sebegitu sebab anaknya telah membesar keluar daripada zaman bayi dan menjadi anak lelaki kecil. Sebab dia telah menjadi orang yang amat dihormati di wilayah itu, Abraham menjemput orang-orang penting ke perayaan itu, malah mungkinpun raja Gerar.

 

Bila Hagar dan anaknya Ismael melihat betapa istimewanya perhatian yang Ishak terima daripada begitu ramai orang, mereka menjadi iri hati. Ismael merupakan anak sulung Abraham, dan Hagar sakit hati kerana Ismael tidak diberi penghormatan sebegitu ketika dia berumur begitu (Kejadian 21:8-9). Sewaktu jamuan itu, Hagar dan Ismael mengucapkan kata-kata kasar tentang Ishak. Ibunya menjadi amat marah apabila dia mendengar mereka.

 

Ismael pergi

 

Walaupun Sara yang telah mengusulkan untuk Abraham beroleh seorang anak melalui hamba perempuannya Hagar, Sara tidak suka Hagar dan Ismael tinggal dalam khemah yang sama dengan Abraham dan dirinya. Dia terus pergi kepada Abraham untuk memintanya mengusir Hagar dan Ismael. Ini merupakan masalah bagi Abraham, yang tahu bahawa kebahagiaan sukar wujud dalam keluarga yang mempunyai dua ibu yang iri hati.

 

“Lakukan seperti yang Sara inginkan dan suruhlah mereka pergi,” Tuhan berfirman kepada Abraham. “Tetapi janganlah berdukacita tentangnya, sebab Aku akan menjaga mereka. Ishak, bukan Ismael, akan menjadi warismu, tetapi Ismael akan Kujadikan suatu bangsa!” (Kejadian 21:10-13).

 

Janji ini amat melegakan hati Abraham. Dia menurut Tuhan. Awal pagi esoknya dia menyediakan bekalan untuk pemergian segera Hagar dan Ismael, yang diharapnya dapat sampai ke tempat di mana mereka boleh beristirehat daripada matahari tengahari yang panas. Mungkin dia juga berharap mereka tidak pergi terlalu jauh untuk tinggal.

 

Ketika masih sejuk pada waktu pagi, Hagar dan Ismael membawa makanan dan minuman dan mula berjalan dari khemah Abraham. Hagar, orang Mesir, berjalan bersama anaknya menyeberangi padang gurun ke selatan, mungkin berniat untuk kembali ke tanah airnya (Kejadian 21:14). Dia percaya bahawa sekiranya mereka dapat sampai ke jalan kafilah utama ke Mesir, mereka mungkin bertemu kafilah yang akan membawa mereka bersama ke barat daya.

 

Ini tidak terjadi begitu. Hagar gagal menemui jalan kafilah itu. Sampai pertengahan hari yang panas itu mereka telahpun habis meminum semua air mereka. Padang gurun tanpa tempat teduh itu menjadi begitu panas sekali sehingga menjelang pertengahan sore (petang) itu Ismael rebah ke atas pasir membakar itu, dan tidak mampu bangkit berdiri. Sebab dia remaja belasan tahun yang membesar, dia memerlukan lebih banyak makan minum daripada ibunya, yang menyedari bahawa sekiranya dia tidak segera menjumpai air anaknya pasti mati kehausan dalam beberapa jam.

 

Hagar menjadi kalut. Nampaknya mustahil untuk menemui air di permukaan luas batu-batu dan pasir panas itu. Sampainya pertengahan sore, bilamana kepanasannya paling teruk sekali, Ismael hanya separuh sedar saja. Hagar bersusah payah menggolekkannya ke bawah sedikit naungan semak gurun. Dia meninggalkannya di situ dan berjalan cukup jauh hingga tidak lagi dapat mendengar rintihan anaknya. Itu dan tangisan hibanya saja dua bunyi yang kedengaran dalam kepanasan terik padang gurun.

 

Ismael diselamatkan

 

Beberapa lama kemudian datang pula bunyi lain yang mengejutkan. Ia suara malaikat berbicara kepada Hagar! “Jangan khuatir tentang anakmu, Hagar,” kata malaikat itu. “Pergilah bantu dia. Tuhan akan membuat Ismael menjadi bangsa yang besar” (Kejadian 21:17-18).

 

Hagar mengangkat mukanya. Dia tidak melihat pembicara itu, tetapi dia melihat sesuatu yang tidak terlihatnya sebelum itu. Ia sumur air sejuk dan bersih yang menggelembung keluar daripada pasir hanya beberapa kaki dari situ. Hagar menerpa ke arah sumur itu, mengisi kirbatnya yang kosong, dan dengan penuh kesyukuran bergegas untuk menuang sedikit air itu antara bibir kering Ismael. Tuhan telah menjanjikan Abraham bahawa Dia akan menjaga Ismael dan ibunya. Dia mula dengan menyelamatkan nyawa mereka di padang gurun.

 

Sesudah Ismael pulih, dia dan Hagar masih tidak dapat menjumpai jalan kafilah itu. Mereka berjalan ke tenggara ke satu tempat di padang gurun di mana mereka menetap. Ismael menjadi pemanah yang begitu cekap hingga dia mampu memanah banyak burung dan binatang untuk dimakan mereka berdua. Mereka terus tinggal di padang gurun bertahun-tahun lamanya hingga dia menjadi hampir seperti orang liar (Kejadian 16:12). Hagar mendapatkan untuknya seorang perempuan Mesir sebagai isteri (Kejadian 21:21). Ismael dan isterinya mendapat anak-anak, dan anak-anak itu membesar dan mendapat anak-anak juga. Lama kelamaan, satu bangsa lengkap muncul daripada Ismael, sama seperti Tuhan telah ramalkan. Hari ini kita kenali bangsa ini sebagai orang Arab.

 

Ujian terbesar Abraham

 

Sepanjang umurnya Abraham telah menunjukkan melalui ketaatannya yang dia benar-benar hamba Tuhan. Tuhan merencana untuk memberinya satu lagi ujian yang bakal menjadi ujian paling susah sekali. Pada waktu itu dia tinggal di satu tempat yang dipanggil Bersyeba, di utara tempat di mana Hagar dan Ismael telah masuk ke dalam padang gurun. Di situ, Ishak membesar. Abraham bersyukur bahawa Tuhan telah memberinya orang muda yang amat baik ini. Dia terkejut satu hari apabila dia mendengar Tuhan berfirman: “Bawalah Ishak ke tanah Moria dan persembahkanlah dia sebagai korban bakaran” (Kejadian 22:2).

 

Abraham tentu sudah memilih untuk mengambil nyawanya sendiri, tetapi itu bukanlah apa yang Tuhan perintahkan dia lakukan. Abraham tahu bahawa tiada lagi yang lebih baik daripada mentaati Pencipta, tidak kira betapa sukar. Jadi dia mula melaksanakan perintah yang diberi kepadanya.

 

Namun sebelum Abraham dapat betul-betul mengorbankan anaknya Tuhan berfirman kepadanya: “Jangan apa-apakan Ishak. Sebab engkau sanggup melepaskan anakmu, Aku tahu bahawa engkau takut akan Aku!” (Kejadian 22:10-12).

 

Abraham tahu bahawa Tuhan berbicara kepadanya melalui seorang malaikat. Dengan tangisan dia bertelut, begitu gembira dan bersyukur sekali kerana Tuhan tidak menuntutnya mengambil nyawa anaknya. Waktu itulah dia melihat seekor domba jantan menggelepar dalam semak berdekatan di mana ia terperangkap. Abraham sedar bahawa Tuhan telah menyediakan seekor binatang untuk korban bakaran itu sebagai ganti Ishak (ayat 13).

 

Ishak juga tentunya penuh kesyukuran sambil bapanya memotong tali yang mengikatnya. Untuk penjelasan lebih kisah ini lihat karya Abraham dan Ishak: Korban Penuh Taat (No. CB11).

 

Mungkin kita berfikir bahawa Tuhan kejam sampai membuatkan Abraham hampir membunuh Ishak. Tuhan tidak sekali-kali kejam. Dia sentiasa mengasihi dan berbelas kasihan. Kadangkala Dia memberi ujian-ujian yang amat sukar kepada mereka yang memilih untuk mentaatiNya. Ini adalah untuk membuktikan ketaatan atau kebijaksanaan, sama seperti kadangkala guru sekolah atau ibu bapa memberi ujian untuk mengetahui berapa banyak yang dipelajari.

 

Dalam keadaan Abraham ini membuktikan bahawa Abraham mengasihi Penciptanya lebih daripada apa saja benda atau orang lain, termasuk anaknya. Abraham menunjukkan iman yang begitu besar dengan apa yang dia sedia lakukan. Buktinya baik untuk Abraham dan satu teladan baik untuk jutaan orang yang akan membaca tentang peristiwa ini kemudian. Ini juga menunjuk kepada waktu dua ribu tahun kemudian bilamana Tuhan sendiri akan sanggup menyerahkan satu-satunya anakNya, Yesus, untuk dibunuh kerana segala kejahatan yang dilakukan oleh manusia.

 

Keturunan Abraham dijanjikan kemakmuran

 

Sebelum Abraham dan Ishak mula menuruni bukit itu, Tuhan sekali lagi berfirman kepada Abraham. “Sebab engkau sanggup menyerahkan anakmu untuk Aku,” janji Tuhan, yang berfirman melalui seorang malaikat, “Aku akan memberkati engkau. Keturunanmu akan sangat banyak seperti bintang di langit dan seperti pasir di tepi laut. Mereka akan menakluki musuh-musuh mereka. Semua bangsa dunia akan cuba menjadi makmur seperti mereka yang merupakan keturunanmu. Semua ini akan terjadi kerana engkau telah mentaati Aku!”

 

Sesudah Abraham dan Ishak kembali ke mana dua bujang itu menunggu, mereka pulang ke Bersyeba.

 

Kemudian hari, Abraham berpindah ke Hebron di bahagian selatan tanah Kanaan. Di situ, Sara meninggal pada umur 127 tahun. Ibu kepada jutaan orang yang kini hidup di seluruh dunia dikuburkan dalam sebuah gua di satu padang yang dimiliki Abraham.

 

Kira-kira tiga tahun selepas Sara isterinya meninggal, Abraham mula berfikir tentang perkahwinan Ishak. Masa itu Ishak sudahpun berumur 40 tahun. Abraham khuatir kalau-kalau anaknya mengambil seorang isteri daripada kalangan orang Kanaan, yang merupakan penyembah berhala.

 

Abraham memerintahkan kepala hambanya untuk membawa orang, unta dan bekalan untuk perjalanan ke Mesopotamia, negeri asal Abraham, dan membawa balik seorang isteri untuk Ishak daripada kalangan bangsanya sendiri (Kejadian 24:3-4). Adat zaman itu, yang masih kekal di sesetengah negara, ialah ibu bapa memilih siapa yang akan dikahwini anak-anak mereka.

 

Abraham berasa pasti bahawa masih ramai orang di Mesopotamia yang menyembah Tuhan. Dia mempunyai seorang saudara, Nahor, yang masih tinggal di situ dan mempunyai keluarga yang besar (Kejadian 22:20-24). Dia tahu bahawa Tuhan lebih senang jika Ishak berkahwin dengan kerabatnya sendiri (selain daripada saudara terdekat) daripada mengambil isteri yang menyembah berhala.

 

Hamba Abraham menemui Ribka

 

Selepas berhari-hari berjalan ke timur laut, hamba Abraham dan kafilahnya tiba satu petang di satu mata air di luar saja kota Nahor (Kejadian 24:10). Pada zaman itu kaum perempuanlah umumnya yang pergi ke mata air untuk menimba air. Hamba Abraham berdoa agar di kalangan mereka adanya seorang yang akan menjadi isteri yang baik untuk anak tuannya. Dia juga berdoa agar Tuhan menunjukkan siapa dia perempuan itu dengan membuatnya sukarela menimba air untuknya dan unta-untanya. Ini seperti meminta terlalu banyak daripada Tuhan. Perempuan manakah yang sanggup menimba air untuk sepuluh unta haus?

 

Tetapi sebelumpun doa hamba ini berakhir, seorang gadis cantik menghampiri mata air itu. Sambil dia menimba air, hamba Abraham mendekatinya dan memintanya air minum. Gadis ini segera menghulurkan buyung airnya (Kejadian 24:11-15). “Minumlah, tuan,” katanya. “Ini hampir menjawab doaku,” fikir hamba itu. “Dia sanggup memberiku minum, tapi dia tentu tidak mahu berbuat lebih daripada itu.” Sebab itu, hamba Abraham terkejut apabila gadis itu berkata, “Baiklah untuk unta-untamu juga kutimba air, sampai semuanya puas minum!”

 

Ini merupakan jawapan langsung kepada doa yang dibuat hanya beberapa minit sebelumnya. Hamba Abraham pasti bahawa inilah orangnya untuk Ishak. Untuk membayarnya atas susah payahnya, dia memberi gadis ini anting-anting emas seberat setengah syikal dan sepasang gelang emas seberat 10 syikal (Kejadian 24:22).

 

Sepuluh syikal mewakili nilai penebusan untuk seorang perempuan antara lima dan dua puluh tahun. Nilai penebusan orang ditentukan oleh hukum dan bukan satu beban (Imamat 27:1-8). Setengah syikal itu mewakili nazar khusus persembahan khusus Bait yang disebutkan untuk Pendamaian (Keluaran 30:11-16). Kristus telah membayar harganya untuk kita, bila dia menyerahkan nyawanya. Gelang-gelang dan cincin hidung juga berkaitan hal pendamaian (Bilangan 31:49-50).

 

Bila dia bertanya namanya, dia mendapat satu lagi kejutan. “Aku Ribka,” dia menjawabnya. “Aku anak Betuel bin Nahor.”

 

Nahor dan Abraham ialah adik-beradik, jadi gadis ini merupakan saudara kedua kepada Ishak! Ini berita baik kepada hamba ini yang mengetahui bahawa dia telah menemui seorang perempuan daripada suku Abraham, dan seorang yang mengenali Allah yang Maha Esa. Hamba Abraham segera bersyukur kepada Tuhan sebab membantunya.

 

Laban menjemput orang asing itu ke rumah

 

Ribka berlari ke rumahnya dan dengan ghairahnya menceritakan keluarganya apa yang terjadi, dan untuk menunjukkan anting-anting dan gelang-gelang itu. Apabila abangnya, Laban, melihat hiasan mahal itu dan mendengar cerita Ribka, dia cepat-cepat pergi ke mata air itu untuk menjemput hamba Abraham kembali ke rumahnya (Kejadian 24:29-31). Hamba berterima kasih atas jemputan itu, tetapi sebelum menerimanya, dia memastikan orang-orang yang bersamanya membongkarkan muatan, memberi makan dan membuat alas jerami untuk unta-unta itu. Dia dan orang-orangnya kemudian dibawakan air untuk membasuh kaki mereka. Ini kebiasaan yang amat membantu di negeri-negeri kering di mana kaki pengembara menjadi berdebu dan letih.

 

Makanan kemudian dihidangkan kepada mereka, namun hamba ini belum juga mahu makan sebelum memberitahu keluarga tuan rumah kenapa dia telah datang (ayat 33). Dia menceritakan kepada keluarga Ribka semua yang telah terjadi kepada Abraham sejak dia meninggalkan Haran bertahun-tahun sebelumnya. Dia menceritakan bagaimana Abraham telah mentaati Tuhan di negeri-negeri di mana orang lain tidak mahu berhubungan dengan Tuhan dan bagaimana Abraham telah menjadi kaya dan bapa bahagia kepada seorang anak taat, Ishak.

 

Apabila hamba itu memberitahu mereka tentang doanya untuk seorang isteri yang baik untuk Ishak, dan bagaimana Ribka menepati semua yang telah dimintanya, keluarga Ribka yakin bahawa Tuhan telah memimpinnya kepada Ribka.

 

“Kami percaya Tuhan menghendaki Ribka menjadi isteri Ishak,” kata mereka kepada hamba itu (ayat 50).

 

Hamba itu begitu senang hati mendengar ini hingga dia sekali lagi mengucap syukur kepada Tuhan. Kemudian dia meminta emas dan perak dan pakaian cantik dibawakan kepada Ribka, dan hadiah-hadiah mahal untuk keluarganya (ayat 53). Hadiah-hadiah mewah yang diberikan kepada Ribka dan keluarganya menunjukkan bahawa bakal keluarganya nanti amat kaya sekali. Selepas itu, akhirnya, semua mereka menikmati pesta yang gembira. Kalau pembaca merasakan ini tidak adil bagi Ribka kerana dia tidak dapat berkata apa-apa tentang semua rencana ini, harus diingati bahawa pada zaman itu isteri-isteri dipilih dengan cara yang berlainan. Dalam keadaan ini, Ribka tentunya senang hati dan teruja, walaupun dia belum bertemu Ishak. Apa yang lebih penting ialah Tuhan ada campur tangan dalam hal ini, dan ini akan memastikan kebahagiaan mereka yang terbabit.

 

Pagi esoknya, keluarga Ribka bertanya kalau Ribka boleh tinggal beberapa hari lagi di rumah. Hamba Abraham mengingatkan mereka bahawa, sebab Tuhan telah memimpinnya dengan begitu pantas kepada Ribka, tiada apapun bahagian perkara ini patut ditangguhkan lagi. Ribka menyatakan dia memang bersedia untuk berangkat dengan segera, jadi kafilah itu memulakan perjalanan balik. Dalam perjalanan baliknya kafilah ini menjadi lebih besar dengan tambahan unta-unta yang membawa Ribka, pengasuhnya dan hamba-hamba perempuannya. Keluarga Ribka sedih melihatnya pergi, tetapi mereka gembira sebab Ribka nyata akan mendapat seorang suami yang baik (ayat 55-61).

 

Ishak bertemu pengantinnya

 

Berhari-hari selepas itu, tatkala Ishak keluar berjalan di padang, dia melihat satu kafilah datang. Dia pergi untuk bertemunya dengan harapan bahawa itulah kafilah yang diutus bapanya kepada Nahor. Bila Ribka melihat seorang lelaki yang bergegas ke arah mereka, dia bertanya siapa dia itu. Bila diberitahu bahawa lelaki itulah yang akan dikahwininya, dia senang hati. Dia cepat-cepat dan dengan sopan memakai telekungnya sebelum turun dari untanya untuk bertemu bakal suaminya (ayat 65).

 

Ishak dan Ribka berkahwin tidak lama selepas pertemuan mereka. Sebab mereka mendapat berkat Tuhan, mereka sangat bahagia (ayat 67). Melalui mereka, Pencipta bergerak selangkah lebih dekat kepada permulaan bangsa yang akan melaksanakan pekerjaan penting dalam dunia melalui keturunan berturut-turut.

 

Tiga puluh lima tahun kemudian, pada umur 175 tahun, Abraham meninggal (Kejadian 25:7-8). Dua anak pertama, Ismael dan Ishak menguburkan bapa mereka dalam gua yang sama di mana isteri pertama Abraham, Sara, dikuburkan (Kejadian 25:9-10). Lihat karya Abraham dan Sara (No. CB10).

 

Walaupun Ishak dan Ribka bahagia dalam perkahwinan mereka, tahun demi tahun berlalu tanpa mereka mendapat anak. Mereka menjadi begitu kecewa sekali sehingga akhirnya Ishak memohon Tuhan memberi mereka seorang anak (Kejadian 25:21). Tuhan menjawab doa itu. Selepas dua puluh tahun berkahwin, Ishak dan Ribka sedar bahawa akhirnya mereka akan menjadi ibu bapa tidak lama lagi.

 

Sampai waktu tertentu Ribka mengalami sakit luar biasa jadi dia berdoa untuk kelegaan. Tuhan memberitahunya, mungkin dalam satu mimpi atau penglihatan, bahawa dia akan melahirkan anak-anak permulaan dua bangsa. Satu bangsa akan menjadi lebih kuat daripada yang satu lagi, dia diberitahu, dan anak yang tua akan menjadi hamba anak yang muda. Tuhan memberinya kekuatan untuk meneruskan dalam keadaannya sehinggalah dia menjadi ibu anak-anak lelaki kembar. Anak yang pertama keluar dipanggil Esau. Anak kedua dinamakan Yakub (Kejadian 25:22-26).

 

Ishak dan Abimelekh

 

[Nota: dari sini seterusnya The NIV Study Bible digunakan untuk rujukan dan petikan.]

 

Kebuluran berlaku di negeri itu dan Ishak pergi kepada raja Abimelekh di Gerar. Ini merupakan kebuluran lain daripada kebuluran pada zaman Abraham bilamana dia pergi ke Mesir (Kejadian 12:10). Tuhan datang kepada Ishak dan menyuruhnya jangan pergi ke Mesir.

 

“Tinggallah di negeri ini sebagai orang asing, maka Aku akan menyertai engkau dan memberkati engkau, sebab kepadamulah dan kepada keturunanmu akan Kuberikan seluruh negeri ini, dan Aku akan menepati sumpah yang telah Kuikrarkan kepada Abraham, ayahmu. Aku akan membuat banyak keturunanmu seperti bintang di langit; Aku akan memberikan kepada keturunanmu seluruh negeri ini, dan oleh keturunanmu semua bangsa di bumi akan mendapat berkat, 5 karena Abraham telah mendengarkan firman-Ku dan memelihara kewajibannya kepada-Ku, yaitu segala perintah, ketetapan dan hukum-Ku." 6 Jadi tinggallah Ishak di Gerar.” (Kejadian 26:3-6)

 

Ribka, seperti Sara, juga sangat cantik. Jadi apabila kaum lelaki tempat itu bertanya Ishak tentang isterinya dia berkata, “Dia saudaraku”. Dia takut untuk mengatakan Ribka isterinya sebab dia khuatir orang-orang itu mungkin membunuhnya dan merampas isterinya. Bagaimanapun, sesudah Ishak berada di situ beberapa lama raja itu memandang ke luar jendelanya satu hari dan melihat Ishak bercumbu-cumbuan dengan isterinya. Jadi dia memanggil Ishak dan berkata, “Dia sebenarnya isterimu! Kenapa engkau mengatakan dia saudaraku?”

 

Ishak memberitahu raja bahawa dia takut yang dia akan dibunuh kerana Ribka. Jadi Abimelekh marah sebab sesiapapun antara orangnya mungkin telah mengambil Ribka sebagai isteri. Lalu dia memberi perintah kepada seluruh bangsanya bahawa jika sesiapa menyentuh Ribka ia akan dihukum mati (Kejadian 26:7-11).

 

Menarik diperhatikan bahawa Abraham bapa Ishak melakukan hal sama ini juga ketika dia pergi ke Mesir. Dia berbohong tentang fakta bahawa Sara (Sarai) ialah isterinya dan mengatakan dia saudaranya. Seperti Ishak, dia juga berfikir bohong ini akan menyelamatkan nyawanya sendiri (Kejadian 12:11-14). Mereka berdua sepatutnya telah mempercayai Tuhan untuk memelihara mereka sebab Dia sudahpun membuat janji.

 

Ishak menanam tanaman dan selang waktu dia menjadi sangat kaya, dan ini berterusan. Dia mempunyai banyak sekali kumpulan kambing domba dan lembu sapi serta ramai anak buah sehingga orang Filistin cemburu dan berlaku keji. Mereka kemudian memenuhi sumur-sumur Ishak yang banyak dengan tanah. Akhirnya Abimelekh menyuruh Ishak berpindah kerana dia telah menjadi terlalu berkuasa (Kejadian 26:12-16). Bilamana Tuhan mengabulkan janji-janji perjanjianNya umatNya diberkati dan mereka dianggap sebagai ancaman kepada orang lain di tempat-tempat di mana mereka tinggal.

 

Jadi Ishak berpindah dan menetap di lembah Gerar. Dia membuka kembali sumur-sumur lama yang ditinggalkan bapanya. Anak buah Ishak menggali di lembah itu dan menemui satu mata air yang segar di situ. Tetapi gembala-gembala lain bertengkar dengan mereka dan mengatakan air itu milik mereka. Jadi dia menamakan sumur itu Esek kerana mereka bertengkar dengannya. Selepas itu mereka menggali satu lagi sumur dan mereka bertengkar tentang itu juga jadi dia memanggilnya Sitna. Dia berpindah dan menggali satu lagi sumur dan tiada yang bertengkar atasnya. Dia memanggilnya Rehobot, dan berkata, “Sekarang TUHAN telah memberikan kelonggaran kepada kita, sehingga kita dapat beranak cucu di negeri ini.” (Kejadian 26:17-22).

 

Dari situ Ishak pergi ke Bersyeba. Di situ Tuhan muncul kepadanya dan berkata, “Akulah Allah ayahmu Abraham; janganlah takut, sebab Aku menyertai engkau; Aku akan memberkati engkau dan membuat banyak keturunanmu karena Abraham, hamba-Ku itu” (Kejadian 26:23-24).

 

Ishak mendirikan satu mezbah di sana dan memanggil nama Tuhan. Di situ dia memasang khemahnya dan di situ anak buahnya menggali sumur. Sementara itu Abimelekh datang kepadanya dari Gerar bersama beberapa orangnya. Ishak bertanya: “Mengapa kamu datang mendapatkan aku? Bukankah kamu benci kepadaku, dan telah menyuruh aku keluar dari tanahmu?” (Kejadian 26:25-27).

 

Mereka menjawab: “Kami telah melihat sendiri, bahwa TUHAN menyertai engkau; sebab itu kami berkata: baiklah kita mengadakan sumpah setia, antara kami dan engkau; dan baiklah kami mengikat perjanjian dengan engkau, bahwa engkau tidak akan berbuat jahat kepada kami, seperti kami tidak mengganggu engkau, dan seperti kami semata-mata berbuat baik kepadamu dan membiarkan engkau pergi dengan damai; bukankah engkau sekarang yang diberkati TUHAN” (Kejadian 26:28-29).

 

Ishak kemudian membuat perjamuan untuk mereka dan mereka makan dan minum. Perjamuan ini adalah untuk menunjukkan persahabatan antara pihak-pihak perjanjian itu. Awal pagi esoknya mereka saling bersumpah-sumpahan. Kemudian Ishak melepas mereka dan mereka meninggalkan dia dengan damai. Hari itu juga anak buah Ishak datang memberitahunya bahawa mereka telah menemui lebih banyak air. Dia memanggil sumur itu Syeba dan sampai hari ini nama kota itu ialah Bersyeba (Kejadian 26:30-33).

 

Berkat Ishak diwariskan

 

Anak-anak Ishak membesar dan Esau menjadi seorang pemburu cekap sementara Yakub bekerja dekat rumah di kalangan khemah-khemah. Ishak lebih menyayangi Esau dan Ribka lebih menyayangi Yakub (Kejadian 25:27-28), jadi si ibu dan si bapa mempunyai anak kesayangan masing-masing. Ini bukan perkara baik diamalkan dalam keluarga. Bagaimanapun, walaupun ibu bapa sangat menyayangi semua anak mereka, mereka kadangkala mungkin menyukai seseorang lebih daripada yang lain.

 

Esau ialah anak sulung jadi dia merupakan waris kepada janji-janji hak kesulungan. Hak kesulungan ini termasuk hak pusaka anak sulung. Ini bermakna Esau berhak mendapat bahagian dua kali ganda daripada harta milik bapanya. Sebab tertekan, Esau menjual hak kesulungannya kepada adiknya Yakub. Demikianlah Esau memandang rendah Yakub dan hak kesulungannya (Kejadian 25:29-34).

 

Yakub dan ibunya telah bermuslihat untuk mendapatkan berkat itu untuk Yakub. Tuhan telahpun menjanjikan Ribka bahawa anak lebih tua akan menjadi hamba anak lebih muda, jadi dia sepatutnya beriman bahawa Tuhan akan melaksanakan apa yang telah dikatakanNya (Kejadian 25:23). Disebabkan rasa tidak senang yang terbentuk antara dua saudara itu, Yakub disuruh pergi untuk keselamatannya sendiri dan untuk mendapatkan seorang isteri. Untuk lebih banyak tentang cerita anak-anak Ishak ini sila lihat karya Yakub: Anak Ishak (No. CB13).

 

Yakub akhirnya berdamai dengan saudaranya Esau dan dia pulang kepada bapanya Ishak di Hebron di mana Abraham dan Ishak telah menetap. Sesudah Ishak hidup 180 tahun dia menghembuskan nafas terakhirnya dan “ia mati dan dikumpulkan kepada kaum leluhurnya; ia tua dan suntuk umur.” Anak-anaknya Esau dan Yakub menguburkan dia (Kejadian 35:27-29).

 

q