Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

[029]

Domba-domba Tuhan

(Edisi 2.0 19940521-20000617)

Karya ini telah ditulis oleh seorang penggembala yang melatih domba dan kambing untuk filem keluarga ‘Babe’ yang disanjung tinggi dan telah memenangi banyak anugerah. Dia memeriksa pelajaran-pelajaran berhubung penternakan kambing domba dengan pekhabaran alkitabiah dari penciptaan. Peranan-peranan domba dan gembala juga dikaji. Kelakuan domba serta jangkaan-jangkaan seorang gembala dibangunkan. Perbezaan antara sistem-sistem Mesir dan alkitabiah serta implikasi-implikasi rohaninya ditunjukkan.

Christian Churches of God

 PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

(Hakcipta ©1994,2000 Storm Cox)

(Tr. 2005)

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


Domba-domba Tuhan



Pengenalan

Dari umur sangat muda saya telah didedahkan kepada kehidupan seorang pengurus domba. Sejak zaman muda saya, melalui sekolah, di universiti dan kemudiannya dari bekerja sebagai seorang pelatih haiwan [domba dan kambing bagi filem Babe], saya telah terlibat rapat dalam pengurusan serta penternakan umum domba di samping kebanyakan binatang ladang. Pengalaman ini telah membuatkan saya merenungi cara-cara petani-petani alkitabiah, yang nampaknya merupakan pekerjaan dominan semua lelaki dalam zaman Perjanjian Lama. Pengalaman-pengalaman saya telah membimbing saya untuk mempertimbangkan apa yang dimaksudkan dengan analogi-analogi domba dan gembala yang kerap digunakan. Saya akan membincangkan pemerhatian-pemerhatian yang telah banyak saya lakukan sewaktu hidup saya dan mengaitkan mereka kepada Jemaat-jemaat Tuhan.

Asal-usul Kawanan Domba

Pada hari kelima penciptaan Tuhan menghendaki tanah mengeluarkan makhluk-makhluk hidup.

Kejadian 1:24-26 Berfirmanlah Allah: "Hendaklah bumi mengeluarkan segala jenis makhluk yang hidup, ternak dan binatang melata dan segala jenis binatang liar." Dan jadilah demikian. 25 Allah menjadikan segala jenis binatang liar dan segala jenis ternak dan segala jenis binatang melata di muka bumi. Allah melihat bahwa semuanya itu baik. 26 Berfirmanlah Allah: "Baiklah Kita menjadikan manusia menurut gambar dan rupa Kita, supaya mereka berkuasa atas ikan-ikan di laut dan burung-burung di udara dan atas ternak dan atas seluruh bumi dan atas segala binatang melata yang merayap di bumi."

Istilah Ibrani untuk binatang ternakan adalah miqneh, yang juga bermakna benda milik, belian atau bahan. Perkataan ini juga bermakna kawanan dan kumpulan, dan dengan itu termasuk domba, kambing, lembu dan semua binatang halal berkaki empat yang lain. Mereka dikhususkan sebagai binatang-binatang yang digunakan untuk dimakan. Istilah Ibrani untuk domba adalah Tson yang bermakna, domba, kambing dan lembu muda, melainkan perkataannya adalah Kaseb (Kejadian 30:32,33,35; Imamat 1:10; 7:23; 22:19; 22:27; Bilangan 18:17 dan Ulangan 14:4), yang secara langsung merujuk kepada domba yang kita ketahui hari ini.

Rachel bermakna menggembara dan dicirikan kepada domba betina. Ia dipakaikan kepada haiwan betina seperti mana Kebes dipakaikan kepada haiwan jantan.

Perkataan Ibrani untuk lembu adalah Behemah yang bermakna binatang berkaki empat. Maksudnya di sini adalah selain perkataan Kaseb, yang hanya digunakan dalam 9 ayat saja, perkataan-perkataan bagi lembu, domba, kambing, dan semua binatang halal berkaki empat yang lain adalah sama. Begitu juga, dalam bahasa Yunani, perkataan bagi domba yang digunakan di seluruh Perjanjian Baru adalah Probaton iaitu perkataan Yunani bagi perkataan Ibrani Behemah yang, seperti yang disebutkan, bermakna binatang berkaki empat dan dipakaikan juga kepada semua haiwan ternakan yang halal.

Memilih mana satu spesis yang digunakan dalam sebarang ayat yang diberikan adalah satu keputusan pada pihak penterjemah, bergantung pada dasar Alkitabnya.

Semua lembu, domba dan kambing adalah saling berkaitan dari segi biologi kerana mereka semua adalah ahli-ahli famili bovidae. Ciri-ciri famili ini adalah:

  1. Ruminan,
  2. Kuku berbelah, dan,
  3. Mereka semua mempunyai tanduk yang berongga.

Setiap satu memenuhi syarat-syarat alkitabiah bagi kehalalan seperti yang digariskan dalam Imamat 11 dan Ulangan 14, dan dengan itu boleh dimakan.

Asal-usul Gembala

Seperti yang telah kita baca dalam Kejadian 1:26, manusia telah dilantik oleh Tuhan sejak penciptaan untuk memerintah semua binatang. Maka, boleh diandaikan bahawa ianya sebahagian dari tanggungjawab kita untuk melakukan hal ini dengan cara yang betul. Dengan itu, pekerjaan gembala telah ditakdirkan sejak dari mula.

Perkataan Ibrani bagi gembala adalah Ra’ah. Dari Konkordans Strong (SHD 7462) kita baca;

… untuk menjaga kawanan, iaitu membawanya ke padang rumput; memakan rumput (literal atau kiasan); secara umumnya, memerintah; bergaul dengan (sebagai seorang sahabat):- * pecah, teman, menemani, membaham, melahap, permohonan jahat, memberi makan, menggunakan sebagai sahabat, bersahabat dengan, penggembala, memelihara (domba), pastor, + rumah pencukuran, gembala, merayau, membazir.

Ra’ah terbit dari perkataan Ra’ yang bermakna kesusahan, penderitaan, keburukan, malapetaka dan kejahatan. Ra’ bermakna membinasa atau merobohkan, sedangkan Ra’ah bermakna berpaut bersama di bawah kesukaran. Perkataannya adalah bentuk betina perkataan Ra’ dan dengan itu mempunyai erti bertentangan.

Dalam bahasa Yunani, perkataannya adalah poimen (sebutannya poy-mane) yang ringkasnya bermakna gembala atau pastor.

Setakat ini saya telah memberikan kamu latar belakang dari Alkitab mengenai gembala dan pengurusannya terhadap binatang-binatang halal yang Tuhan telah berikan kepada manusia untuk dimakan. Binatang-binatang halal adalah pemberian Tuhan kepada kita sebagai makanan, agar kita dapat tinggal atas bumiNya dalam sistem yang telah diaturNya untuk kesejahteraan kita. Inilah sebabnya kenapa pemberian Habel kepada Tuhan lebih menyenangkan daripada Kain dalam pandangan mata Tuhan, kerana ia berasal dari Tuhan.

Apakah Maknanya Menjadi Domba?

Dalam zaman alkitabiah, seperti hari ini, peranan utama domba adalah untuk menyediakan bulu (Imamat 13:47-48; Ayub 31:20), daging (1Samuel 14:32), kulit (Keluaran 25:5; Ibrani 11:37), susu (Ulangan 32:14; Yesaya 7:21-22), dan hasil-hasil yang lain seperti tanduk untuk dijadikan bekas dan alat-alat muzik (1 Samuel 16:1 dan Yosua 6:4).

Pada zaman dahulu, bulu domba merupakan komoditi yang berharga dan kerana itu adalah alat perdagangan yang signifikan. Kita tahu dari 2 Raja-raja 3:4 bahawa Mesa, Raja Moab, terpaksa membayar Raja Israel bulu dari seratus ribu domba jantan setiap tahun.

Domba juga disifatkan sebagai kekayaan seseorang. Dalam Alkitab, seseorang merupakan pemilik beribu-ribu atau berpuluh ribu kambing domba (Mazmur 144:13).

Dari Alkitab kita boleh mendapat pemahaman tentang sifat binatang itu. Dari 2 Samuel 12:3 mereka difahami penuh dengan kasih sayang. Dari Yesaya 53:7, Yeremia 11:19 dan Yohanes 10:34, domba tidak bersifat agresif. Dari Mikha 5:8 dan Matius 10:16 domba secara relatifnya tidak dapat mempertahankan diri dan, paling penting sekali, dari Bilangan 27:17, Yehezkiel 34:5 dan Matius 9:36; 26:31, mereka memerlukan penjagaan dan pengawasan sepanjang masa.

Dalam Perjanjian Lama, apabila seorang gembala dan kawanan dombanya dibincangkan, ia biasanya dalam ertikata literal. Bagaimanapun, dalam Perjanjian Baru, ia hampir selalunya dalam ertikata kiasan.

Dalam Ensiklopedia International Standard Bible pada halaman 464 ia memetik Mazmur 95:7.

kitalah umat gembalaan-Nya dan kawanan domba tuntunan tangan-Nya.

Dan ia meneruskan dengan menyatakan:

Kata-kata lazim ini menggunakan metafora alkitabiah yang biasa yang menekankan pergantungan penuh umat manusia pada Tuhan untuk kewujudan, keselamatan, dan kesejahteraan mereka. Gambaran ini sedia mengakui kedua-dua keperluan umat manusia sebagai makhluk-makhluk ciptaan dan kecukupan Tuhan sebagai pencipta dan penyedia bagi segala keperluan manusia. (merujuk kepada 2 Samuel 24:17; 1 Tawarikh 21:17, Mazmur 78:52, Yehezkiel 34:31, Zakharia 11:4-17, 13:7 dan Yohanes 10:10-15).

Dari sini kita boleh lihat persamaan-persamaan antara hubungan-hubungan literal dan kiasan antara domba dan umat Tuhan.

Sangat menakjubkan bagi kebanyakan orang, domba adalah sebenarnya binatang-binatang yang cukup bijak. Domba berkelakuan tidak menentu pada masa-masa tertentu kerana ia senang dilukai. Domba mempunyai mekanisme pertahanan diri yang paling kurang dari kebanyakan haiwan darat. Disebabkan ini, domba adalah binatang yang mudah goyah dan penakut. Teknik-teknik pengurusan zaman moden dengan kawanan domba yang besar dengan menggunakan anjing dan motorsikal menambah lagi kepada sifat penakut binatang ini.

Pada zaman dahulu, pengurusannya berbentuk lain. Gembala memimpin domba dari depan. Domba akan mendengar suaranya dan mengikut, terjamin dalam kehadirannya. Apabila domba berasa terjamin mereka akan memakan rumput seolah-olah dalam keadaan berkhayal dan mudah tersimpang tanpa menyedari apa yang berlaku di sekeliling mereka. Seseorang dapat menangkap seekor domba dengan agak mudah dalam padang kurungan.

Domba melihat, mendengar, berfikir dan belajar seperti haiwan-haiwan lain. Setiap binatang mempunyai tahap-tahap kebijaksanaan yang berlainan, lebih kurang sama seperti manusia. Sewaktu saya bekerja sebagai pelatih haiwan, saya memerhatikan bahawa bukan semua binatang dapat mempelajari sesetengah kelakuan yang diharapkan dari mereka. Ada domba yang memerlukan waktu yang lebih lama untuk maju. Ada yang akan bereaksi pantas. Lazimnya ia bergantung pada pengalaman-pengalaman sebelumnya dengan manusia serta pengalaman-pengalaman dalam sekitaran latihan mereka.

Lazimnya lebih besar keinginan, lebih tertumpu lagi binatang untuk belajar dan dengan itu menerima ganjarannya dalam bentuk makanan yang manis. Oleh sebab itu, berbahagialah dia yang laparkan dan dahagakan kebenaran.

Ianya juga menarik untuk memerhatikan bahawa domba terlatih apabila diletakkan semula dalam kawanan, disebabkan kemajuannya, akan menjadi pemimpin dalam kawanan tersebut dan domba lain akan mengikutnya. Dengan itu, kita menjadi penjala manusia.

Jika seekor domba telah dilayan baik oleh manusia ia tidak akan gelisah, dan dengan itu lebih bersedia untuk berhubung dengan lebih rapat. Jika domba telah dilayan secara kasar oleh seseorang, maka ia akan gementar dan tidak ingin berhubungan. Walaupun setelah domba itu dilatih selama berbulan-bulan, ia masih akan melarikan diri jika pelatihnya berada dalam keadaan tegang atau berdiri atas binatang itu dan membuat pergerakan yang terlalu pantas. Kami diajar untuk hanya bergerak ke arah binatang ini pada paras mata, bergerak perlahan dan dengan lembut. Jika kamu berada dalam keadaan tegang kerana permulaan hari kamu tidak baik, kamu tidak melatih sehinggalah kamu tenang dan dalam keadaan yang lebih tenteram. Ianya mudah untuk membatalkan usaha berminggu-minggu dengan memberikan binatang tersebut pengalaman yang negatif, walaupun binatang itu ditakutkan dengan tidak sengaja.

Dari sini kita dapat simpulkan bahawa domba adalah sensitif, bersifat pemerhati dan berjaga-jaga. Mereka mempunyai keupayaan daya ingatan yang diremehkan dan domba yang lebih cekap akan mempelajari tugas-tugas seperti berjalan melalui jalan-jalan berhalangan, dihantar ke tempat-tempat bertanda, kembali bila diperintah dan juga menaiki atas blok-blok dalam beberapa minggu.

Domba adalah haiwan herbivor dan, dengan itu, tidak menjadi pemangsa binatang lain. Mereka puas hati dalam sekitaran yang selamat, tidak berbahaya dan tidak menganggu. Permintaan mereka adalah sederhana dan mereka hanya berbunyi bila mereka lapar atau mereka takutkan bahaya.

Domba secara naluri tinggal berdekatan antara satu sama lain untuk selamat. Apabila seekor domba betina yang mempunyai anak jatuh sakit atau terjatuh, domba-domba betina yang lain akan melindungi anak-anaknya melainkan bahayanya terlalu besar. Lazimnya seekor domba mengandung atau gemuk akan berguling atas belakangnya dan tidak akan dapat kembali berdiri. Maka, ia bergantung pada penjaga manusianya untuk kembali atas kakinya. Burung-burung paling kecil akan membunuh seekor domba jika ia terjatuh atau cedera. Melarikan diri adalah satu-satunya pertahanan domba. Ia adalah binatang yang aman, bergantung sepenuhnya pada sahabat manusianya.

Alkitab bercakap tentang domba yang mendengar dan menurut suara gembalanya (Yohanes 10:3) dan gembala-gembala dapat memanggil domba mereka dengan nama (lihat karya ia Memanggil Mereka Dengan Nama: Suatu Kajian Mazmur 23 (No. 18)). Ini menunjukkan bagaimana para gembala dan semua orang dapat, melalui simbiosis, membentuk hubungan-hubungan berkomunikasi yang luar biasa dengan semua jenis haiwan ternakan sebagai sebahagian dari teknik-teknik pengurusan mereka. Inilah sebabnya kenapa manusia sangat suka memiliki binatang peliharaan.

Saya akan menegaskan idea bahawa Jemaat digunakan dalam konteks satu kawanan bukan kerana kita adalah peliharaan-peliharaan Tuhan, tetapi sebagai satu kumpulan yang hanya berfungsi dengan betul sebagai keseluruhan yang bersatu.

Ini boleh diteruskan, tetapi saya pasti kita dapat menghargai perbandingan-perbandingannya kepada seorang Kristian dan melihat kenapa analogi-analogi domba/gembala digunakan – aman, tidak berbahaya, bersatu dan memandang gembala kita yang prihatin.

Memahami sifat domba membenarkan kita menghargai fungsi serta kepentingan tugas gembala dengan lebih baik lagi.

Apakah maknanya menjadi Gembala?

Apabila memahami ini, kita harus mula-mula menyedari kepentingan tanggungjawab-tanggungjawab yang diletakkan pada para gembala. Jika kamu hanya mempunyai bahagian kecil makanan untuk dijadikan makanan kamu dan keluarga kamu untuk satu tempoh masa dan tanpanya kamu akan lapar, maka saya pasti kamu akan menggunakan segala apa yang ada untuk mempertahankan sumber makanan kamu ini, kalaulah seseorang memecah masuk ke dalam kediaman kamu dan cuba mencurinya.

Kawanan-kawanan domba adalah sumber hidup keluarga-keluarga para gembala. Kawanan-kawanan ini memberi makan dan memelihara semua orang termasuk golongan janda, anak-anak yatim dan yang cacat. Jika haiwan-haiwan ini dicuri atau mati mereka tidak akan dapat menampung semua dengan cukup, maka dengan itu tugas seorang gembala memang sangat besar.

Satu lagi hal untuk dipertimbangkan sebelum kita teruskan adalah sikap atau cara pemikiran yang terlibat dalam sistem penggembalaan ini.

Kejadian 46:34 maka jawablah: Hamba-hambamu ini pemelihara ternak, sejak dari kecil sampai sekarang, baik kami maupun nenek moyang kami--dengan maksud supaya kamu boleh diam di tanah Gosyen." --Sebab segala gembala kambing domba adalah suatu kekejian bagi orang Mesir.

Budaya penternakan domba orang Ibrani dibenci oleh akal fikiran orang Mesir. Cara pemikiran orang Mesir adalah, dan difahami di seluruh Alkitab, proses pemikiran anti Tuhan. Bangsa Mesir adalah bangsa berdagang yang kaya. Mereka adalah kapitalis (satu lagi perkataan adalah materialis), yang mengejar kekayaan dan kemakmuran dalam bentuk benda-benda fizikal. Mentaliti ini mendorong mereka mengabdikan Israel. Mereka menjadi kaya dari usaha, dan kerugian bangsa-bangsa lain. Kita telah melihat perkara ini dalam zaman lebih moden dengan pengabdian orang Afrika oleh Amerika Syarikat. Sebab kenapa para gembala dibenci adalah kerana, dalam pengurusan kawanan-kawanan serta keluarga dan kepimpinan umum mereka, mereka menghuraikan jenis pemerintahan kepimpinan pelayanan. Ini adalah sistem yang bertentangan dengan orang Mesir, dan dengan itu adalah kesaksian penuh yang melawan sistem mereka.

Sewaktu saya bekerja sebagai pelatih haiwan, saya bekerja berjam-jam setiap hari untuk memastikan keperluan-keperluan binatang-binatang tersebut dipenuhi. Saya menjadi hamba kepada mereka dan, untuk menerima dari mereka, saya terpaksa memberikan banyak masa dan tenaga. Gembala-gembala, demi memastikan orang-orang mereka mendapat makan, juga terpaksa bekerja keras dan memperhambakan diri mereka kepada kawanan-kawanan mereka, walaupun ia membawa maut (Yeremia 49:19 dan Amos 3:12; lihat di bawah).

Para gembala hanyalah hamba-hamba kepada umat mereka, satu kedudukan yang sangat rendah tidak seperti keangkuhan orang Mesir.

Dari Alkitab kita tahu bahawa Yesus Kristus adalah Gembala kita dan kita adalah kawanan dombanya. Bagaimanapun, kita juga ditakdirkan untuk menjadi para gembala sebagaimana Kristus juga adalah gembala. Ini digariskan dalam Roma 8:17 di mana kita membaca:

Dan jika kita adalah anak, maka kita juga adalah ahli waris, maksudnya orang-orang yang berhak menerima janji-janji Allah, yang akan menerimanya bersama-sama dengan Kristus, yaitu jika kita menderita bersama-sama dengan Dia, supaya kita juga dipermuliakan bersama-sama dengan Dia.

Dari sini kita dapat simpulkan bahawa kini ia adalah tanggungjawab kita untuk belajar menjadi gembala seperti mana Yesus adalah gembala. Analogi ini khasnya digunakan agar orang-orang yang terutamanya berasal dari latar belakang agrarian (tanah dan pertanian), seperti juga yang akan kita jadi sewaktu Milenium, dapat melihat prinsip-prinsip pengurusan rohani dalam format fizikal yang merupakan sebahagian dari kewujudan harian mereka. Hari ini, ramai antara kita tidak mempunyai peluang ini.

Apakah Fungsi-fungsi Para Gembala?

Dalam ertikata sebenar, fungsi-fungsi asas pengurus ladang dalam ertikata penjagaan haiwan ternakannya terletak dalam dua kategori utama. Mereka adalah:

Dari dulu, dan hingga kini, ini adalah tugas para gembala.

1. Memberi Makanan dan Minuman kepada Kawanan

Pemberian makanan kepada domba adalah tanggungjawab terpenting gembala. Sewaktu saya memberi domba saya makanan, saya mempertimbangkan makanan apakah yang paling bermanfaat kepada haiwan itu dan menyediakan kelebihan zat terbanyak kepada haiwan tersebut.

Tugasnya adalah untuk menggemukkan atau menyediakan kambing domba untuk pemakanan atau digunakan sebagai persembahan yang diterima kepada Tuhan, jika kita pertimbangkan hal ini dalam ertikata alkitabiah. Ini adalah dasar kemurkaan Tuhan dalam Maleakhi di mana korban Tuhan dianggap keji; namun ianya tanggungjawab para gembala sendiri untuk mengikat dan menyediakan apa yang telah dipertanggungjawabkan Tuhan kepada mereka. Alkitab jelas tentang peranan gembala. Gembala harus mencari padang rumput untuk kawanannya (Yehezkiel 34:2,9,13) dan air. Kawanan domba memerlukan air yang tenang (Mazmur 23:3). Domba, yang merupakan haiwan-haiwan yang resah, tidak akan meminum terus dari sungai-sungai berarus deras. Sesiapa yang telah cuba menggerakkan kawanan-kawanan domba yang besar menyeberangi sungai dapat membuktikan ini. Ia mungkin menjadi pengalaman yang memakan masa yang panjang, membosankan dan lazimnya menghampakan.

Apabila air yang tenang tiada berhampiran, baldi atau palung kulit digunakan (Kejadian 30:38; Keluaran 2:16). Ianya usaha yang keras dan intensif jika kamu pertimbangkan bahawa setiap domba akan memerlukan pemberian minuman sekurang-kurangnya tiga kali sehari, dengan sajian tambahan pada tengah hari pada kemuncak kepanasan hari. Ini dijelaskan dalam Kejadian 29:2-10.

Fungsi utama Kristus adalah untuk menggembala dombanya (memberi makan). Kita tahu ini dari Yohanes 21:15-17.

Yohanes 21:15-17  Sesudah sarapan Yesus berkata kepada Simon Petrus: "Simon, anak Yohanes, apakah engkau mengasihi Aku lebih dari pada mereka ini?" Jawab Petrus kepada-Nya: "Benar Tuhan, Engkau tahu, bahwa aku mengasihi Engkau." Kata Yesus kepadanya: "Gembalakanlah domba-domba-Ku." 16 Kata Yesus pula kepadanya untuk kedua kalinya: "Simon, anak Yohanes, apakah engkau mengasihi Aku?" Jawab Petrus kepada-Nya: "Benar Tuhan, Engkau tahu, bahwa aku mengasihi Engkau." Kata Yesus kepadanya: "Gembalakanlah domba-domba-Ku." 17 Kata Yesus kepadanya untuk ketiga kalinya: "Simon, anak Yohanes, apakah engkau mengasihi Aku?" Maka sedih hati Petrus karena Yesus berkata untuk ketiga kalinya: "Apakah engkau mengasihi Aku?" Dan ia berkata kepada-Nya: "Tuhan, Engkau tahu segala sesuatu, Engkau tahu, bahwa aku mengasihi Engkau." Kata Yesus kepadanya: "Gembalakanlah domba-domba-Ku.

Kristus tegas dalam hal menggembala kawanannya. Di sinilah para pelayan diperintahkan untuk menyebarkan firman kebenaran seperti yang dinyatakan dalam Alkitab. Seperti gembala-gembala baik yang dituntut untuk memberi makan kepada kawanan, begitu juga jabatan pelayanan dituntut untuk menyebarkan kebenaran sebagai makanan untuk kawanan. Ia adalah fungsi utama kita untuk menyebarkan injil kebenaran. Jika kita tidak mengajar kebenaran seperti yang diinginkan Tuhan dari kita, kita menjadi seperti pencuri. Kristus memberitahu kita tentang hal-hal ini dalam Yohanes 10:1.

Sesungguhnya siapa yang masuk ke dalam kandang domba dengan tidak melalui pintu, tetapi dengan memanjat tembok, ia adalah seorang pencuri dan seorang perampok

Yohanes 10:10 menyatakan:

Pencuri datang hanya untuk mencuri dan membunuh dan membinasakan;

Pencuri berada di situ untuk menipu kita dan untuk mencuri mahkota kita agar kita tidak dapat menyertai Kristus dalam kebangkitan pertama dan dengan itu kita melepaskan kedudukan kita sebagai sebahagian dari umat pilihan.

2. Melindungi dan Menyembuhkan Domba

Seperti yang kita bincangkan awal-awal lagi, tugas para gembala adalah tugas penting; keselamatan umat mereka terletak pada diri mereka. Maka, melindungi kawanan-kawanan mereka adalah bahagian penting pekerjaan ini.

Sesungguhnya, seperti singa yang bangkit keluar dari hutan belukar sungai Yordan mendatangi padang rumput tempat kawanan domba, demikianlah Aku akan membuat mereka lari dengan tiba-tiba dari negeri itu dan mengangkat di dalamnya dia yang Kupilih. Sebab siapakah yang seperti Aku? Siapakah yang berani mendakwa Aku? Siapakah gerangan gembala yang tahan menghadapi Aku?

Kata-kata kunci di sini adalah singa, gembala dan tahan. Ayat ini menggunakan gembala sebagai satu contoh kekuatan. Demikian juga dalam Amos 3:12 kita baca:

Beginilah firman TUHAN: "Seperti seorang gembala melepaskan dari mulut singa dua tulang betis …dst.

Pemahaman umumnya di sini adalah bahawa si penulis menganggap peranan gembala, berhubung kawanan dombanya, adalah dia akan, dengan tangan kosongnya, melepaskan dombanya dari mulut singa. Sesungguhnya, keselamatan kawanan domba dianggap lebih berat dari apa yang kita mungkin mula-mula fikirkan. Dalam Daud kita dapat ingat semula kisah gembalanya yang mendakwa membunuh binatang liar dengan tangan kosongnya untuk menyelamatkan domba Daud. Apa sekalipun pesanan langsung cerita ini, implikasinya dalam konteks ini adalah betapa besarnya tanggungjawab-tanggungjawab sebagai seorang gembala.

Tugas terbesar gembala adalah perlindungan domba. Hari ini, kita mempunyai kemudahan teknologi-teknologi seperti bahan-bahan untuk pagar, senapang untuk membunuh haiwan-haiwan liar, lampu sorot untuk memeriksa haiwan-haiwan ini pada waktu malam dan dunia yang lebih berpenduduk dengan sempadan-sempadan yang diketahui dalam sistem yang lebih teratur. Bagaimanapun, tugas memeriksa kawanan domba setiap hari untuk mencari yang sakit dan tempang, masih lagi perlu sekarang seperti dahulu. Tugasnya lebih sukar lagi dahulunya, namun tanggungjawab-tanggungjawabnya adalah serupa. Tanpa gembala, domba tidak bermaya. Mari kita periksa Bilangan 27:17.

yang mengepalai mereka waktu keluar dan masuk, dan membawa mereka keluar dan masuk, supaya umat TUHAN jangan hendaknya seperti domba-domba yang tidak mempunyai gembala.

Konsep yang sama digariskan dalam 1 Raja-raja 22:17; 1 Tawarikh 18:16; Zakharia 10:2; Matius 9:36 dan Markus 6:34.

Setiap malam para gembala memimpin domba ke dalam apa yang dipanggil sebagai kandang domba (Kejadian 31:39; 1 Samuel 17:34). Sebuah kandang domba diertikan sebagai:

suatu kurungan untuk domba terhadap bahaya-bahaya waktu malam iaitu cuaca, haiwan liar, dan perompak. Kadangkala digunakan bersama oleh sebilangan gembala untuk kawanan yang banyak dan diawasi oleh seorang pembantu sepanjang malam, di mana setiap gembala kemudiannya memanggil dombanya sendiri keluar pada waktu pagi (Yohanes 10:14). Kurungan-kurungan kekal seperti itu dimasuki melalui sebuah pintu (Yohanes 10:2) dan mungkin adalah sebuah kawasan yang dipagari dinding-dinding batu, yang mewakili usaha seumpama membina sebuah kota (Bilangan 32:16). (The Interpreters Dictionary of the Bible, halaman 316).

Gua-gua juga digunakan sebagai kandang-kandang domba (Yesaya 24:3). Lubang masuk gua-gua ini biasanya dijaga oleh gembala sendiri (Yohanes 10:7,9).

Ianya menarik untuk memperhatikan bahawa Daud, seorang gembala, adalah sangat mahir dengan umban (pengumban). Kebolehannya untuk membunuh Goliat dengan umbannya menunjukkan kepada umatnya kecekapannya sebagai seorang gembala, kerana umban dan tongkat atau gada adalah cara dengan mana seorang gembala melindungi kawanan dombanya. Maka, dengan begitu cekap sekali, dia menunjukkan komitmennya kepada pekerjaannya sebagai seorang gembala. Oleh sebab itu, dia nyata sekali layak untuk memimpin Israel. Kisah ini ada dalam Yesaya 17:49.

Cara umum dengan mana gembala dapat melindungi dombanya dengan cekap sekali adalah melalui latihan. Saya tahu dari pengalaman saya sebagai seorang pelatih haiwan, bahawa selepas satu tempoh saya dapat memanggil domba saya ke sisi saya apabila mereka mula mengenali suara saya dan mengenalinya sebagai suara jaminan dan pemberi makanan dan minuman. Bagaimanapun, ini mengambil masa.

Apabila kami mula-mula diberikan domba untuk dilatih, kami biasanya menghabiskan satu hingga dua jam sehari dengan hanya berjalan dan duduk bersama haiwan itu, terus bercakap, mententeramkannya dan membiasakannya dengan suara kami. Yohanes 10:4 berbunyi

Jika semua dombanya telah dibawanya ke luar, ia berjalan di depan mereka dan domba-domba itu mengikuti dia, karena mereka mengenal suaranya.

Ini menandakan corak latihan yang serupa. Suatu proses ikatan terjadi.

Bila saja seorang petani membawa masuk kawanan dombanya untuk dibasahkan atau dicukur, dia menghitung mereka untuk memastikan tiada yang tertinggal di padang kurungan. Kejadian yang sama ini terjadi dalam zaman Alkitab. Setiap malam sementara mereka memasuki kandang domba mereka dihitung dan, begitu juga, setiap pagi apabila mereka pergi. Satu teori telah diajukan (ISBE, Vol. 4, halaman 464) bahawa setiap kawanan mempunyai bilangan kira-kira 100 ekor (Matius 18:12 dan Lukas 15:4). Sebarang perbezaan dalam bilangan domba harus dipertanggungjawabkan oleh para gembala (Kejadian 31:39 dan 1 Samuel 25:15-21).

Nampaknya seorang gembala tidak memakan sebarang haiwannya sendiri, tidak kira betapa buruk keadaannya, disebabkan tanggungjawab kepada umatnya (Kejadian 31:38-40; Yehezkiel 34:7-16; Amos 3:12). Tanggungjawab Yakub terhadap Laban adalah teladan yang kita harus ikuti kerana domba itu bukan miliknya (Kejadian 31:38-40). Yehezkiel 34:7-16 menunjukkan apa yang tidak boleh dilakukan. Yohanes 10:12 menunjukkan tahap komitmen yang ada pada seorang gembala terhadap dombanya.

Dari segi penyembuhan kita boleh bergantung pada doktor haiwan hari ini. Ini tidak begitu pada masa lalu. Gembala terpaksa mengambil peranan doktor haiwan. Kita tahu dari Yesaya 1:6 dan Yeremia 8:22 bahawa balsam, minyak zaitun atau lemak haiwan diperlukan sebagai minyak (minyak sapu), biasanya apabila domba memasuki kawasan berbahaya (Yehezkiel 34:5; Matius 12:11; 1 Raja-raja 15:4).

Perintah jelas yang kita ada adalah untuk menjaga domba dari tangan Tuhan. Kita dihakimi dengan bagaimana kita menjaga sesama sendiri, sebagai gembala dan sebagai domba. Setiap kita adalah gembala dan domba. Marilah kita mengasihi sesama sendiri seperti mana gembala kita mengasihi kita.

q