Jemaat Jemaat Allah Al Maséhi

 

[244]

 

 

 

Kejadian 22, Judaisme, Islam dan Pengorbanan Ishak

 (Edition 2.0 19980407-20000425)

 

Dalam artikel ini kita akan meneliti hujah tentang pengorbanan Ishak sepertimana ianya disampaikan oleh Rabbi (Guru agama) E. Ben-Yehuda dan juga memeriksanya dalam konteks Alkitab dan Qur’an.

 

 

 

 

Christian Churches of God

PO Box 369,  WODEN  ACT 2606,  AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

 

(Hakcipta 1998, 2000 Thomas McElwain, ed. Wade Cox)

(Tr. 2002)

 

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org and http://www.ccg.org

 


Kejadian 22, Judaisme, Islam dan Pengorbanan Ishak [244]

 

 


Di dalam The Institute of Judaic-Christian Researcher, Volume 1, November 1986, Rabbi E. Ben-Yehuda telah menerbitkan suatu artikel bertajuk The Sacrifice of Isaac atau Pengorbanan Ishak.

 

Penulis ini hanya memberikan satu alasan kenapa isu ini diperiksa. “Kesemua respon para Yahudi tidak cukup untuk melawan pendirian orang Kristian yang mengatakan bahawa pengorbanan Yesus di salib adalah begitu besar kesannya sehingga semua orang Yahudi seharusnya menerima wataknya sebagai Mesias di samping juga sifat ketuhanannya. Karangan ini akan cuba menerangkan kepada masyarakat Yahudi bahawa ada suatu peristiwa lampau di dalam sejarahnya yang telah memberi kesan yang serupa kepada pandangan orang Yahudi.” (mukasurat 1). Satu-satunya alasan yang diberikan adalah untuk menyelesaikan isu tersebut.

 

Apa yang menyebabkan semua ini adalah idea bahawa ada kelemahan pada kepercayaan Yahudi jika tiada korban untuk dosa, di mana melaluinya Allah akan memberikan karuniaNya kepada manusia. “Oleh kerana korban tidak lagi dipersembahkan di dalam agama Judaisme (Yahudi), dari manakah datangnya kasih karunia Allah nanti>” (mukasurat 2). Rabbi ini menjumpai sumber karunia ini di dalam pengikatan Ishak. “Di dalam liturgi (doa), kita berulang-kali menyebut pasal ‘pengikatan Ishak’ sebagai alasan bagi Allah secara langsung untuk mengampuni dosa-dosa keturunan Ishak” (mukasura 2).

 

Selepas pengenalan itu, rabbi ini mengemukakan bukti yang berikut ini bahawa Ishak benar-benar telah dikorbankan sepertimana tertulis di Kejadian 22, dan kemudiannya dibangkitkan kembali. Hakikat bahawa Allah yang Maha Mengetahui perlu lagi “menguji” Abraham dipersoalkan di sini. Penggunaan perkataan radikal N-S dan bukannya N-S-H adalah perkataan yang sebenarnya digunakan di sini. Dengan itu, terjemahan “ujian” adalah suatu kesalahfahaman ayat tersebut. Sepatutnya ia diterjemahkan kepada “sepanduk” atau “contoh”, dan bukannya “ujian” (mukasurat 2). Kenapa pula pengikatan Ishak ini boleh dianggap sebagai suatu peristiwa yang sangat besar sepertimana tersebut di dalam liturgi Yahudi itu? (mukasurat 2).

 

“Komentari Yahudi menyatakan ‘Allah sendirilah yang memerintahkan agar Ishak dipersembahkan—tapi adakah Abraham akan membiarkan suatu malaikat biasa untuk membatalkan perintah Tuhannya?’ ” “Komentari menerangkannya, ‘malaikat tersebut berbicara dengan Abraham dan Abraham menolak untuk menghentikannya, sambil mengatakan bahawa Allah yang memberi perintah dan hanya Dia saja yang layak menghentikan saya’ ” (mukasurat 2). Perintah untuk tidak mencederakan Ishak bermaksud bahawa dia haruslah dipersembahkan dalam keadaan sempurna tanpa cacat-cela (mukasurat 3). Perkataan yang digunakan di sini boleh diterjemahkan sebagai ‘satu lagi domba jantan’  atau ‘domba jantan berikutnya’ (mukasurat 3). Tahat bno bermaksud ‘di bawah anaknya’ dan bukan ‘sebagai ganti anaknya’ (mukasurat 3). “Demikian” dan “engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan anakmu yang tunggal” menunjukkan bahawa Ishak telah dikorbankan (mukasurat 3). Ayat di sini melaporkan bahawa Abraham dan Ishak telah naik, tetapi hanya Abraham sahaja yang telah kembali (mukasurat 3). Abraham kemudiannya pergi terus ke Bersyeba. Kejadian 23:2 melaporkan bahawa Sara meninggal di Kiryat-Arba. Dengan itu, kesimpulannya Abraham tidak berani untuk berhadapan dengan Sara setelah mengorbankan Ishak, dan Sara mati kerana dukacita setelah mendengar bahawa Ishak telah mati (mukasurat 3).

 

Kejadian 23:2 mengatakan bahawa Abraham “datang” meratapi Sara, tapi tiada disebutkan tentang Ishak (mukasurat 3). Kejadian 24 menggambarkan tentang “mengambil seorang isteri untuk Ishak”, yang bermaksud, Abraham akan mengangkat suatu keturunan di bawah nama Ishak. Tiada disebutkan tentang Ishak, tetapi Ribka telah ditanya sama ada dia setuju. Ribka terkejut apabila mendapati bahawa Ishak masih hidup, lantas dia terjatuh dari untanya dan menutupi mukanya (mukasurat 3). Ishak telah datang dari arah sumur Lahay Roi, yang bermaksud ‘sumur kehidupan Dia yang melihat saya’, iaitu merujuk kepada hal dia telah dibangkitkan kembali (mukasurat 4). Pernyataan tentang kebangkitan di dalam doa-doa Yahudi wujud pada hari ini (mukasurat 4). Ishak terhibur selepas kematian ibunya dengan perkahwinannya kepada Ribka tiga tahun selepas berlakunya peristiwa tersebut, menunjukkan bahawa Ishak baru saja mengetahuinya setelah kebangkitannya (mukasurat 4). Upacara Yahudi Kidush Hashem adalah berdasarkan kepada kematian dan kebangkitan Ishak (mukasurat 4).

---

Mari kita teliti kesemua pernyataan ini satu demi satu:

 

1. Hakikat bahawa Allah yang Maha Mengetahui perlu lagi “menguji” Abraham dipersoalkan di sini. Penggunaan perkataan radikal N-S dan bukannya N-S-H adalah perkataan yang sebenarnya digunakan di sini. Dengan itu, terjemahan “ujian” adalah suatu kesalahfahaman ayat tersebut. Sepatutnya ia diterjemahkan kepada “sepanduk” atau “contoh”, dan bukannya “ujian” (mukasurat 2).

 

Perkataan N-S-H radikal ini digunakan 36 kali di dalam Kitab-kitab Ibrani dan hampir setiap kali digunakan untuk menyampaikan maksud “membawa kepada pengujian”. Contohnya adalah Keluaran 15:25; 1 Samuel 17:39 dan 1 Raja-raja 10:1. Penggunaannya dalam Kejadian 22:1 nampaknya tidak lari dari maksud asalnya. Namun begitu, walaupun ujian di sini bermaksud bahawa Allah “menjadikan Abraham suatu contoh” dan bukannya “membawanya kepada pengujian”, ini tidak memberikan kesan yang ketara ke atas penterjemahan maksud pengorbanan Ishak. Penggunaan ertikata ini masih tidak membawa maksud bahawa Ishak benar-benar dikorbankan dan sebaliknya hanya diikat pada mezbah.

2. Kenapa pula pengikatan Ishak ini boleh dianggap sebagai suatu peristiwa yang sangat besar sepertimana tersebut di dalam liturgi Yahudi itu? (mukasurat 2).

 

Jika rujukan kerap kali ditemui di dalam karya-karya tulis Yahudi mengenai pengikatan Ishak, ia sememangnya menyokong pernyataan rabbi tersebut bahawa pengalaman Ishak memberi pengaruh yang besar pada kepercayaan Yahudi. Namun ini tidak menyokong pendapat bahawa Ishak benar-benar dikorbankan. Ia juga tidak bermaksud bahawa pendapat ini tersebar sepenuhnya ke seluruh umat Yahudi. Rujukan liturgi yang disebutkan di sini menggunakan perkataan “pengikatan”, bukannya korban yang sebenarnya. Dengan itu, ia menolak pendirian rabbi tersebut.

 

3. “Komentari Yahudi menyatakan ‘Allah sendirilah yang memerintahkan agar Ishak dipersembahkan—tapi adakah Abraham akan membiarkan suatu malaikat biasa untuk membatalkan perintah Tuhannya?’ ” “Komentari menerangkannya, ‘malaikat tersebut berbicara dengan Abraham dan Abraham menolak untuk menghentikannya, sambil mengatakan bahawa Allah yang memberi perintah dan hanya Dia saja yang layak menghentikan saya’ ” (mukasurat 2).

 

Pendapat ini dibuat berdasarkan konflik antara pesanan-pesanan daripada Allah Elohim di Kejadian 22:1-2 dengan malaikat Tuhan di Kejadian 22:11-12. Implikasinya seolah-olah Abraham menganggap kedua-dua perintah ini berlainan, berasal dari dua sumber berbeza, dan memilih untuk menurut Allah Elohim yang mempunyai kekuasaan yang lebih tinggi daripada malaikat Allah.

 

Permasalahan kepada terjemahan ini adalah hakikat bahawa tiada ada satupun contoh kejadian di dalam Alkitab yang menyebut bahawa malaikat Allah bertentangan dengan Allah. Lebih-lebih lagi, malaikat Tuhan mewakili rapat YHVH sehingga ia kadang-kadang menggunakan kata nama Aku sebagai bermaksud YHVH, seperti dalam Kejadian 16:10 dan pada penghujung Kejadian 22:12. Kekeliruan mungkin bertambah lagi kerana seperti yang ternyata di dalam Kejadian 18, orang-orang ilahi di situ tidak pernah dikatakan sebagai malaikat, tetapi hanya dengan gelaran orang-orang dan YHVH, yang berkelakuan seperti manusia. Jadi, kita boleh membuat kesimpulan di sini, sekurang-kurangnya berdasarkan Kejadian 18 dan Kejadian 22:12, bahawa YHVH dan malaikat Tuhan (YHVH) membawa maksud yang sama. Di dalam Kejadian 19, orang-orang yang sama disebut sebagai malaikat.

 

Kejadian 22:12 sebenarnya memelihara persetujuan antara Allah Elohim dan malaikat Tuhan. Ia menyebut, “sebab telah Kuketahui sekarang, bahwa engkau takut akan Allah.” Kesimpulannya, ayat ini tidak menyokong idea bahawa ada pertentangan antara Allah dan malaikat Tuhan (Lihat artikel-artikel The Angel of YHVH [024]; The Elect as Elohim [001] dan The Pre-Existence of Jesus Christ  [243]).

 

4. Perintah untuk tidak mencederakan Ishak bermaksud bahawa dia haruslah dipersembahkan dalam keadaan sempurna tanpa cacat-cela (mukasurat 3).

 

Pendapat ini menyatakan bahawa ada persetujuan antara malaikat Tuhan dengan Allah. Dalam terjemahan ini, malaikat tersebut tidak melarang korban Ishak, dan sebaliknya hanya melarang daripada mencederakan Ishak sebelum korban tersebut. Jadi intisari kata-katanya di sini adalah supaya Ishak berada di dalam keadaan sempurna bagi upacara korban itu.

 

Nampaknya pendapat ini bercanggahan dengan pendapat ketiga tadi, jadi hanya satu daripada pendapat ini yang boleh dipilih. Kedua-duanya langsung tidak boleh diterima. Jika kita ada dua kemungkinan terjemahan bagi bahagian awal ayat 12, sepatutnya bahagian akhirnya akan menjelaskan mana satu terjemahan yang betul. Kalau berdasarkan pendapat keempat, ayat ini sepatutnya berbunyi seperti berikut: “Jangan kau apa-apakan Ishak, kerana korban haruslah sempurna: sebab telah Kuketahui sekarang, bahwa engkau takut akan Allah, dan engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku." Kalau kita lihat dengan teliti, tiada kesinambungan antara bahagian awal dan akhir ayat ini. Mengikut terjemahan asal ayat ini mempunyai maksud yang demikian: “Jangan kau apa-apakan Ishak atau teruskan upacara korban ini, sebab telah Kuketahui sekarang, bahwa engkau takut akan Allah, dan engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku." Jika begini ayatnya boleh difahami dan tidak bercanggah. Bahagian awal menghentikan upacara korban tersebut, sementara bahagian kedua menunjukkan bahawa ujian itu sudah selesai, kerana Abraham tidak segan-segan menyerahkan anaknya yang tunggal (sila rujuk karya The Angel and Abraham’s Sacrifice [071]).

 

Perkataan yang digunakan di sini boleh diterjemahkan sebagai ‘satu lagi domba jantan’ atau ‘domba jantan berikutnya’ (mukasurat 3). Implikasinya adalah bahawa domba jantan ini adalah korban tambahan kepada korban Ishak, kerana ia “satu lagi” atau “berikutnya”. Versi KJV menterjemahkan “ahar/satu lagi/ berikutnya” sebagai “di belakangnya” yang mana istilah terjemahan ini ditambah kepada ayat tersebut. Versi NIV pula mengeluarkan perkataan tersebut, dan hanya menyatakan bahawa “di antara semak ada domba jantan yang terperangkap melalui tanduknya.”

 

Dalam hal ini rabbi tadi betul. Pemahaman paling logik yang boleh dibuat mengenai perkataan yang digunakan tadi adalah satu lagi domba jantan. Memang benar juga Ishak adalah satu-satunya yang boleh dianggap sebagai domba pertama, kerana jelas sekali tidak ada binatang lain yang telah disediakan sepertimana dalam Kejadia 22:7. Namun ini tidak semestinya bererti bahawa Ishak betul-betul telah dikorbankan. Yang pasti hanyalah maksud bahawa dia telah dijadikan domba untuk dipersembahkan. Domba jantan yang satu lagi yang terperangkap di semak adalah juga persembahan korban.

 

5. Tahat bno bermaksud ‘di bawah anaknya’ dan bukan ‘sebagai ganti anaknya’ (mukasurat 3).

 

Memang benar perkataan tahat, sepertimana ia tertulis dalam bahasa asal, di sini bererti di bawah. Ia digunakan sedemikian di dalam Kejadian 1:7. Walau bagaimanapun, perkataan ini juga bermaksud sebagai ganti, dan telah digunakan sebegitu di dalam Kejadian 2:21 “TUHAN Allah mengambil salah satu rusuk daripadanya, lalu (sebagai ganti) menutup tempat itu dengan daging.” Tidak munasabah kita gunakan terjemahan di bawah bagi kes ini. Penggunaan maksud sebagai ganti juga dilakukan di dalam Kejadian 4:25; 30:15; Imamat 14:42; 2 Samuel 19:14. Sementara itu, maksudnya sebagai di bawah digunakan di dalam Kejadian 7:19; Keluaran 32:19; dan kemungkinannya 1 Tawarikh 29:34. Ia digunakan dengan maksud pengganti atau demi dalam Keluaran 21:26. Ia digunakan dengan erti dengan cara di dalam Mazmur 66:17. Di dalam buku Yeremia pula ia digabungkan dengan perkataan lain untuk memberi maksud yang berlainan. Kepelbagaian maksud yang digunakan bagi perkataan ini, dan hakikat bahawa maksudnya di bawah hanya digunakan sedikit sahaja di dalam Alkitab, menyangkal pendapat rabbi tersebut. Akhir sekali, penggunaan maksud di bawah dalam hal Ishak tidak masuk akal. Jika domba jantan itu diletakkan di bawah Ishak, bagaimanakah ia kedudukannya, sedangkan Ishak sudahpun terikat pada mezbah tersebut? Jika domba jantan itu dikorbankan di bawah Ishak, maknanya domba itu bukanlah ahar/satu lagi/kedua tetapi yang pertama. Penggunaan maksud sebagai ganti adalah penggunaan yang paling munasabah sekali.

 

6. “Demikian” dan “engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan anakmu yang tunggal” menunjukkan bahawa Ishak telah dikorbankan (mukasurat 3).

 

Rabbi ini telah merujuk kepada ekspresi ayat di dalam Kejadian 22:16 iaitu engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan anakmu untuk menunjukkan bahawa Ishak telah dikorbankan. Ekspresi ayat yang sama, iaitu loo chasakhtaa eth binkhaa, juga didapati di dalam Kejadian 22:12. Dalam ayat ini, Abraham jelas sekali belum lagi mempersembahkan Ishak sebagai korban, namun sudahpun menggenapi apa yang dimaksudkan sebagai tidak segan-segan menyerahkan anaknya. Oleh kerana penggunaan ekspresi ini pada Kejadian 22:12 tidak bermaksud bahawa korban bakaran telahpun dipersembahkan, tiada sebabnya kenapa penggunaannya pada Kejadian 22:16 boleh diertikan sebagai bermaksud bahawa persembahan korban bakaran telah dilaksanakan.

 

 7. Ayat di sini melaporkan bahawa Abraham dan Ishak telah naik, tetapi hanya Abraham sahaja yang telah kembali (mukasurat 3).

 

Memang benar itulah yang disebutkan oleh ayat tersebut. Namun begitu, walaupun tertulis bahawa dua orang yang naik dan seorang turun, tidak bermakna bahawa Ishak tidak kembali. Kejadian 12:14 mengatakan bahawa Abram telah datang ke Mesir. Ia tidak menyebut yang Sarai ada bersamanya. Kita lihat juga di dalam ayat-ayat sebelumnya bahawa Abram takut untuk membawanya ke Mesir. Jadi, dengan menggunakan cara penafsiran rabbi itu, munasabahlah jika kita menganggap bahawa pada saat-saat terakhir mereka telah memilih supaya dia (Sarai) tidak ikut masuk, agar mereka tidak perlu berdusta mengenai hubungan mereka. Namun begitu, walaupun ayat ini hanya menyebut pasal Abram sahaja masuk ke Mesir, ayat ini kemudiannya berterusan dengan ungkapan “orang Mesir itu melihat, bahwa perempuan itu sangat cantik”. Kalau bukan kerana ayat tujuhbelas, di mana nama Sarai disebutkan, besar kemungkinan kita telah menganggap, disebabkan cara penafsiran kita mengikut cara rabbi itu, bahawa Abram mempunyai seorang ‘isteri’ sementara dan berlainan pada sewaktu kemasukannya ke Mesir.

 

Kejadian 22:19 memberitahu bahawa mereka berdua bersama-sama pergi ke Bersyeba. Walaupun para orang muda (bujang) ada juga disebutkan, kita dengan pasti boleh katakan bahawa Ishak juga ada bersama mereka sepertimana juga dalam kes Sarai yang pergi ke Mesir di dalam Kejadian 12.

 

8. Abraham kemudiannya pergi terus ke Bersyeba. Kejadian 23:2 melaporkan bahawa Sara meninggal di Kiryat-Arba. Dengan itu, kesimpulannya Abraham tidak berani untuk berhadapan dengan Sara setelah mengorbankan Ishak, dan Sara mati kerana dukacita setelah mendengar bahawa Ishak telah mati (mukasurat 3).

 

Rabbi tersebut telah membuat andaian bahawa Abraham telah pergi Bersyeba dan bukannya kembali kepada Sara. Namun pada Kejadian 21:33, iaitu dua ayat jauhnya sebelum perintah untuk mengorbankan Ishak, ternyata bahawa Abraham tinggal di Bersyeba. Walaupun tidak dinyatakan, tidak sukar untuk kita andaikan bahawa isterinya Sara juga hidup bersama-sama dengan dia. Kejadian 21:34 menunjukkan bahawa Abraham telah lama tinggal di Bersyeba. Penggunaan ungkapan “masih lama” (“many days”) tidak bermaksud beberapa minggu sahaja. Ia serupa dengan ungkapan di dalam Mazmur 23:6, yang diterjemahkan oleh Alkitab versi KJV dan NIV sebagai bermaksud sepanjang masa/selama-lamanya. Cerita ini terhenti seketika bermula dari Kejadian 22:1, jadi ada kemungkinannya bagi dia tinggal di tempat yang lain pada masa itu. Namun hakikatnya, seperti tertulis di dalam Kejadian 22:19, bahawa dia pergi ke Bersyeba memberi alasan yang kukuh bahawa dia telah bermula dari situ, dan Sara sedang menunggu kepulangannya dari situ, atau setidak-tidaknya dia bersama dengan kumpulan orang muda tersebut. Cuma ayat ini tidak menyebut pasal Sara, dan jika kita mengikut cara penafsiran rabbi itu, ini boleh diertikan sebagai bermaksud bahawa dia sudah tiada lagi atau mati, dan dibangkitkan kembali untuk mati semula di dalam Kejadian 23.

 

Jalan terbaik untuk memahami ayat ini adalah dengan menganggap bahawa Abraham dan Sara tinggal di Bersyeba sekurang-kurangnya hingga penghujung Kejadian 22:19. Ceritanya terputus dari Kejadian 22:20 hingga permulaan Kejadian 23. Jadi tiada alasan yang tertulis yang menyatakan bahawa Abraham menjauhi dirinya daripada Sara.

 

9. Kejadian 23:2 mengatakan bahawa Abraham “datang” meratapi Sara, tapi tiada disebutkan tentang Ishak (mukasurat 3).

 

Rabbi mencadangkan bahawa Ishak pasti sudah mati kerana tidak disebutkan sebagai hadir pada waktu pengkebumian ibunya Sara. Sekali lagi, andaian  sebegitu yang dibuat berdasarkan apa yang tidak dinyatakan di dalam ayat, tidak boleh diterima, sepertimana yang kita telah buktikan sebelum ini. Jelas sekali bahawa Sara telah pergi ke Mesir, walaupun ayatnya hanya menyebut nama Abraham. Jelas sekali Sara masih hidup pada di dalam Kejadian 22, walaupun tidak dinyatakan bahawa dia hadir semasa upacara pengorbanan anaknya Ishak. Juga jelas sekali daripada ayat ini bahawa Ishak masih hidup pada waktu ibunya meninggal dunia. Dia masih hidup di dalam Kejadian 22:12 dan di Kejadian 24:6.

 

10. Kejadian 24 menggambarkan tentang “mengambil seorang isteri untuk Ishak”, yang bermaksud, Abraham akan mengangkat suatu keturunan di bawah nama Ishak. Tiada sebutan mengenai Ishak, tetapi Ribka telah ditanya sama ada dia setuju. Ribka terkejut apabila mendapati bahawa Ishak masih hidup, lantas dia terjatuh dari untanya dan menutupi mukanya (mukasurat 3).

 

Petunjuk pertama rabbi itu adalah bahawa Abraham harus menebus Ishak, yang sudah mati, dengan mengangkat suatu keturunan bagi Ishak dengan mengambil seorang isteri baginya. Pendapat ini dilenyapkan dengan kenyataan di dalam Kejadian 24:6 di mana Abraham menyuruh hambanya supaya jangan membawa balik anaknya Ishak ke kampung halamannya. Implikasinya jelas iaitu Ishak masih hidup dan isteri itu adalah untuk Ishak sendiri.

 

Petunjuk kedua rabbi itu adalah bahawa tiada penyuaraan pendapat daripada Ishak sementara Ribka ditanya pendapatnya. Dengan itu, kesimpulan yang dibuatnya adalah Ishak sudah mati. Namun begitu, sebenarnya pendapat Ishak tidak diperlukan lagi, kerana sudah pasti bahawa dengan umurnya yang sudah meningkat empatpuluh tahun, Ishak lebih daripada bersedia untuk berumahtangga. Pendapatnya hanya perlu diketahui jika dia dia tidak setuju. Penelitian rapi terhadap pendapat Ribka tidak bertentangan dengan kebiasaan perkahwinan yang diaturkan ataupun tradisi perkahwinan masyarakat Timur Tengah. Berfikiran sebaliknya adalah suatu prejudis masyarakat Barat.

Petunjuk rabbi yang keempat adalah bagaimana kelakuan Ribka yang terjatuh dari untanya serta menutup mukanya menunjukkan bahawa dia terkejut dengan kebangkitan Ishak. Kejadian 24:64 menulis bahawa dia turun dari untanya dan bukan terjatuh. Memang benar kata dasar yang digunakan iaitu N-P-L biasanya digunakan untuk membawa maksud jatuh. Namun begitu, ia satu daripada dua perkataan yang biasa digunakan untuk memberi maksud turun dari binatang tunggangan atau kenderaan. Begitulah juga penggunaannya di dalam 2 Raja-raja 5:21 dan Kejadian 24:64. Penafsiran rabbi ini tidak sesuai dengan kebiasaan penggunaan bahasa dan juga tidak diperlukan. Jika benar seseorang wanita itu terjatuh dari unta, yang lebih tinggi dari kuda, sudah pasti dia memerlukan lebih daripada cuma menutup mukanya. Di kawasan-kawasan luar bandar di Timur Tengah pada hari ini, masih lagi menjadi kebiasaannya bagi seseorang wanita itu turun dari tunggangannya jika dia bertemu dengan seorang lelaki yang datang ke arahnya di jalan. Tiada apa-apa pada kelakuan Ribka yang menunjukkan dia terkejut. Sebaliknya, kelakuannya ini adalah normal, lantas menyangkal ada terjadinya apa-apa kebangkitan.

 

11. Ishak telah datang dari arah sumur Lahay Roi, yang bermaksud ‘sumur kehidupan Dia yang melihat saya’, iaitu merujuk kepada hal dia telah dibangkitkan kembali (mukasurat 4).

 

Rabbi itu menafsirkan peristiwa Ishak datang dari arah sumur lahay roi’ sebagai bukti dia telah dibangkitkan. Namun begitu, perkataan ini tidak membawa maksud simbolik itu dalam penggunaannya di dalam ayat ini. Ia merujuk kepada suatu sumur yang dinamakan sebegitu oleh Hagar di dalam Kejadian 16:13-14. Ungkapan “Dia yang melihat saya” merujuk kepada pengalaman Hagar, bukannya Ishak. Ia sama sekali bukan bukti tentang kebangkitan Ishak.

 

12. Pernyataan tentang kebangkitan di dalam doa-doa Yahudi wujud pada hari ini (mukasurat 4).

 

Rabbi ini membuat kesimpulan bahawa pernyataan di dalam doa Yahudi tentang Allah membangkitkan yang mati, menunjukkan bahawa Allah sudahpun memulakan pekerjaannya membangkitkan yang mati. Dan kerana Allah sekarangpun adalah seorang yang menghidupkan orang mati, pasti Dia telah menghidupkan semula Ishak. Walaupun kita terima pendapat rabbi ini bahawa kini Allah sudahpun mula membangkitkan orang mati, ini tidak bermaksud bahawa Ishak adalah salah seorang daripadanya. Ada tertulis di dalam Alkitab  beberapa contoh penghidupan semula orang-orang yang telah mati, khasnya anak seorang janda pada zaman nabi Elia (1 Raja-raja 17:17), dan anak perempuan Sunem pada zaman nabi Elisa (2 Raja-raja 4:8).

 

Walaupun doa-doa Yahudi mungkin menunjuk kepada perkara penting di dalam kehidupan Yahudi, di mana ini adalah tujuan asal pengajian rabbi ini, ia tidak dapat memberikan bukti kepada sama ada ayat di dalam Kejadian ini betul-betul melaporkan suatu korban bakaran yang benar-benar terjadi dan diikuti dengan kebangkitan kembali, atau tidak.

 

13. Ishak terhibur selepas kematian ibunya dengan perkahwinannya kepada Ribka tiga tahun selepas berlakunya peristiwa tersebut, menunjukkan bahawa Ishak baru saja mengetahuinya setelah kebangkitannya (mukasurat 4).

 

Ini tidak masuk akal. Besar kemungkinannya Ishak berdukacita untuk ibunya selama tiga tahun, hinggalah perkahwinannya yang menghiburkannya itu. Tiada bukti bahawa Ishak mati dan dibangkitkan kembali.

 

14. Upacara Yahudi Kidush Hashem adalah berdasarkan kepada kematian dan kebangkitan Ishak (mukasurat 4).

 

Walaupun kepercayaan di dalam kematian dan kebangkitan Ishak mungkin telah membawa kesan ke atas segelintir orang Yahudi dan mendorong mereka untuk setia sampai mati atau mati syahid, kepercayaan ini bukanlah satu-satunya perkara yang mencetuskan kesetiaan sebegitu, mungkin tidak pentingpun. Kesetiaan sebegini juga tidak membuktikan adanya kepercayaan dalam kematian dan kebangkitan Ishak, ataupun sama ada peristiwa ini benar atau tidak.

 

Pada tahap ini, kita sudah boleh membuat satu penilaian am mengenai kajian ini. Masalah pertama adalah motif dan premis rabbi ini. Motifnya kurang jelas, dan kerana itu keputusannya juga kurang jelas. Satu-satunya motif atau tujuan yang sah untuk mengkaji ayat ini adalah untuk menemukan kebenaran, kebenaran sepertimana yang dimaksudkan oleh ayat ini pada asalnya dan bagaimana untuk menerapkannya ke dalam iman dan pengalaman diri sendiri. Rabbi ini tidak berminat untuk mencari kebenaran dan sebaliknya, dari kata-katanya sendiri, bertujuan untuk mencari dasar-dasar Kristian di dalam Judaisme. Dia mahu mendapatkan suatu pengganti berfungsi bagi peristiwa kematian Yesus di salib, sebagai ganti saluran kasih karunia ilahi. Dengan tujuan ini, dia telah memilih pengorbanan Ishak.

 

Premisnya (asas pendirian) juga tidak dapat dibuktikan. Premisnya adalah bahawa iman di dalam dia yang mati syahid dan dibangkitkan itu akan secara automatiknya membolehkan Allah untuk mengampuni dosa. Walaupun premis sedemikian boleh diterima oleh agama Kristian begitu saja, seseorang penuntut agama Yahudi wajib untuk membuktikan kebenarannya. Rabbi ini tidak melakukan apa-apa percubaan untuk berbuat demikian. Dia cuma menerima bulat-bulat pandangan Kristian ini dan bermula dari situ. Ini adalah suatu kesilapan metodologi yang serius.

 

Ada beberapa jenis kesilapan yang terdapat di dalam pembentangan rabbi ini. Pertama sekali adalah, kesilapan-kesilapan bahasa atau linguistik. Seolah-olah cara berfikir seumpama komputer itu telah mengurangkan kebolehan linguistik yang paling asas sekali. Memilih hanya satu maksud bagi sesuatu perkataan dan kemudiannya menetapkan ertikata ini bagi semua penggunaan perkataan itu, adalah suatu sifat cetek mekanikal dan tiada keikhlasan menganalisa yang tidak mungkin wujud sebelum zaman penterjemah mekanikal. Metodologi sebegini boleh didapati di dalam cara rabbi ini mengendalikan perkataan-perkataan tahat (sebagai ganti) dan tippol (dia turun). Penggunaan perkataan-perkataan seperti yang dilakukannya adalah suatu kesilapan penafsiran.

 

Ada juga masalah-masalah linguistik yang lain. Penterjemahan bersimbol tidak diperlukan jika ayat itu dengan jelas menunjukkan maksud yang sebenar. Rabbi ini membuat kesilapan ini apabila menafsirkan ungkapan sumur lahay roi’. Satu lagi kesilapan bahasanya adalah memberikan dua makna yang berlainan kepada ungkapan yang sama dalam konteks yang serupa, kecualilah konteksnya mengharuskannya. Rabbi telah berbuat begitu dengan ungkapan engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan anakmu yang tunggal, yang digunakan dua kali di dalam perenggan yang dimaksudkan. Akhir sekali, rabbi itu memberikan pendapat-pendapat linguistik yang tidak berkenaan sepertimana dalam perlakuannya terhadap perkataan radikal N-S-H.

 

Terdapat juga kesilapan-kesilapan logik. Rabbi itu telah membentangkan tafsiran-tafsiran berbeza berkenaan maksud Kejadian 22:12 sebagai bukti bagi penafsiran yang serupa ke atas pengorbanan Ishak. Ini secara logiknya adalah mustahil dan banyak melemahkan hujahnya. Rabbi ini membuat kesimpulan-kesimpulan yang tidak munasabah kerana perkara-perkara yang tidak dinyatakan di dalam ayat tersebut: iaitu bahawa Ishak tidak kembali bersama-sama dengan Abraham, bahawa Ishak tidak menghadiri pengkebumian ibunya, dan bahawa Ishak tidak terlibat di dalam perancangan perkahwinannya. Hujah yang berdasarkan sesuatu yang tidak wujud tidak mempunyai apa-apa nilai. Akhir sekali, rabbi ini telah membuat kesilapan-kesilapan logik dengan membuat kesimpulan-kesimpulan yang tidak munasabah mengenai kenyataan-kenyataan di dalam ayat itu. Dia menyimpulkan bahawa Sara berada di Kiryat-Arba sementara Abraham berada di Bersyeba dengan hanya berdasarkan kepada fakta bahawa dia telah meninggal di situ. Maklumat yang diberikan di dalam ayat itu tidak cukup untuk membuat kesimpulan ini.

 

Rabbi membuat kesimpulan berdasarkan anggapan yang salah dari segi budaya dan psikologi. Dia silap dalam anggapannya bahawa penelitian terhadap pandangan seseorang wanita itu adalah tidak bersesuaian dengan tradisi perkahwinan yang diaturkan. Dia juga silap dalam menganggap bahawa Ishak tidak mungkin meratapi ibunya selama tiga tahun.

 

Ada sekurang-kurangnya dua lagi kesilapan yang tidak boleh dimaafkan di dalam pengkajian rabbi ini. Pertama adalah pergantungannya ke atas wujudnya pertentangan antara Allah Elohim dengan malaikat Tuhan. Tiada bukti baginya di dalam Alkitab, ayat ini tidak memerlukannya, dan ia menimbulkan lebih banyak permasalahan teologi yang tidak diambil kira oleh rabbi. Idea bahawa adanya konflik antara Allah Elohim dan malaikat Tuhan sama sekali tidak boleh diterima dengan berdasarkan ayat Alkitab.

 

Kesilapan besar kedua adalah kegagalan rabbi ini untuk mempertimbangkan ayat-ayat yang jelas menyangkal kematian dan kebangkitan semula Ishak. Antaranya adalah Kejadian 24:6, yang menyatakan bahawa Ishak masih hidup pada masa di mana sepatutnya, jika mengikut teori rabbi itu, dia masih belum dibangkitkan semula.

 

Kajian ini juga tercacat kerana gagal mempertimbangkan ayat-ayat yang terdapat di dalam petikan ini sendiri, yang secara sendirinya membawa masalah. Yang paling ketara sekali adalah Kejadian 22:2 dan Kejadian 22:16, di mana Ishak disebutkan sebagai anak tunggal Abraham. Tidak pernah ada ketikanya di mana Ishak adalah satu-satunya anak tunggal kepada Abraham. Ini adalah satu bahagian cerita ini yang memerlukan perhatian, dan kita harus berterima kasih kepada Rabbi Ben-Yehuda kerana menimbulkan isu ini.

 

Artikel ini akan selanjutnya tertumpu kepada penelitian semula petikan Alkitab ini, tetapi dengan tujuan untuk menerangkan apa-apa yang tidak konsisten di dalamnya. Untuk tujuan ini, kita akan gunakan sebagai asas kita, Versi (Teks) Masoretik Alkitab Ibrani, yang kita pasti adalah konsisten dan berharmoni atau selaras dengan dirinya sendiri, sekurang-kurangnya bagi kes Kejadian 22.

 

Di dalam Kejadian 22:2 (dan juga Kejadian 22:16), Ishak dikatakan sebagai anak tunggal Abraham. Ini tidak konsisten dengan apa yang dilaporkan di dalam Teks Masoretik di Kejadian 16:15 bahawa Hagar telah melahirkan seorang anak bernama Ismael untuk Abram. Dari Kejadian 17:17-19, jelas sekali bahawa Ismael hidup sebelum kelahiran Ishak. Kejadian 21:2-3 melaporkan kelahiran Ishak selepas Ismael disunat (dikhatan) pada umur tigabelas tahun (Kejadian 17:25). Akhir sekali, Kejadian 25:9 melaporkan bahawa Ismael masih hidup selepas peristiwa-peristiwa di dalam Kejadian 22. Dengan itu, Ishak bukanlah satu-satunya anak Abraham pada waktu berlakunya peristiwa-peristiwa di dalam Kejadian 22 mahupun sebarang tempoh sebelum ini.

 

Ada masalah lain selain daripada masalah penulisan ini. Judaisme secara amnya menafsirkan cerita ini sebagai petunjuk kepada Abraham bahawa Allah tidak menerima korban bakaran manusia. Penafsiran para Kristian pula secara amnya menekankan ajaran mengenai penurutan.  Dengan itu, seseorang Kristian itu akan mengalami konflik teologi kerana perintah untuk mempersembahkan anak sebagai korban bakaran itu. Perintah sebegitu bertentangan dengan hukum dalam Keluaran 20:13, Jangan membunuh. Walaupun pakar teologi dapat menyelesaikan permasalahan ini di dalam pemahaman mereka sendiri, kebanyakan orang Kristian akan berasa serba-salah. Mereka tidak faham kenapa Allah boleh memberi perintah untuk membunuh anak sendiri.

 

Jika kita fahami cerita ini sepertimana ia difahami secara amnya—bahawa Allah benar-benar menyuruh Abraham untuk membunuh anaknya sendiri—maknanya ada masalah pada penyampaian cerita ini sepertimana ia tercatat di dalam Alkitab. Perbincangan di dalam Kejadian 22:7-8 tidak selaras dengan urutan peristiwa di mana Abraham bertujuan untuk benar-benar membunuh Ishak. Ishak bertanya di mana domba itu, seolah-olah seekor domba akan dipersembahkan dan bukannya dia. Abraham menjawab seolah-olah seekor domba akan dipersembahkan dan bukannya Ishak. Lebih-lebih lagi, tiada bukti berikutnya yang menunjukkan bahawa Abraham telah memberitahu Ishak akan keadaan sebenarnya, namun Ishak tetap menyertainya secara rela.

 

Apa yang sebenarnya digambarkan oleh Alkitab adalah bagaimana seorang ayah telah membawa anaknya, pergi ke suatu tempat yang terpencil bersama-sama sekumpulan orang lelaki yang kemudiannya bertugas sebagai penjaga, mengasingkan dirinya lebih jauh bersama anaknya, seolah-olah mempersembahkan anaknya sebagai korban, dan kemudiannya mengorbankan seekor binatang sebagai korban bakaran, dan kembali seolah-olah tanpa anaknya.

 

Di sepanjang proses ini, Ishak digelar sebagai anak tunggal. Dia tidak digelar sebegitu di mana-mana lagi di dalam kitab Kejadian. Gelaran ini khas bagi peristiwa ini sahaja. Peristiwa ini meliputi aksi-aksi persembahan korban dan satu siri pernyataan atau persoalan dan jawapan. Petikan ini memperlihatkan dirinya sebagai konsisten, walaupun ada yang kejanggalan pada beberapa ucapannya. Petikan ini tidak mengendahkan masalah-masalah teologi yang melibatkan pencubaan ilahi dan korban manusia, seolah-olah ini tidak penting.

 

Pada takat ini kita telah habis meneliti maklumat yang ada pada petikan tersebut. Jadi, perlu bagi kita untuk mencari bahan rujukan di luar petikan ini sendiri. Ada beberapa perkara yang harus disiasat. Kalau boleh, kita harus cari contoh-contoh pengorbanan olok-olok orang-orang muda oleh ayah mereka atau pihak berkuasa yang lain yang kemudiannya diikuti oleh korban gantian seekor binatang. Peristiwa-peristiwa korban ini haruslah mengandungi suatu siri pernyataan, yang mungkin tidak mengendahkan situasi yang terjadi sebenarnya. Dalam kata lain, contoh-contoh peristiwa yang menyerupai Kejadian 22.

 

Pada tahun 1909, A. van Gennep telah mengenalpasti dengan tepat situasi seperti ini di dalam bukunya Les rites de passage. Upacara penggenapan umur (rite of passage) jenis ini dilakukan pada budak lelaki yang mencapai suatu umur tertentu, walaupun ada juga upacara yang serupa di dalam masyarakat-masyarakat tertentu bagi budak perempuan. Upacara ini melibatkan suatu set pernyataan atau ucapan di dalam sesuatu yang digelar struktur penerimaan masuk (initiatory structure). Ada pembunuhan olok-olok ke atas pemuda itu, ada binatang sebagai korban gantian, dan ada kebangkitan olok-olok baginya. Biasanya pemuda itu diasingkan untuk suatu jangkamasa atau khasnya diasingkan daripada jantina yang satu lagi. Pada akhir upacara ini, pemuda ini dianggap telah beralih dari zaman kanak-kanaknya kepada kedewasaan, dan sudah boleh berumahtangga dan melakukan perkara-perkara dewasa; ataupun dia beralih dari suatu status ke status lain dalam hidup dewasanya.

 

Walaupun liturgi atau upacara sebegini biasanya didapati di kalangan masyarakat yang tidak mempunyai sistem tulisan atau rekod bertulis sendiri, terdapat contoh-contoh penulisan yang mengandungi struktur penerimaan- masuk ini di dalam pelbagai karya klasik agama di dunia ini. Satu daripadanya adalah bahagian pertama kepada Kathopanishad, salah satu daripada Vedic Upanishad yang terkandung di dalam Kitab-kitab Hindu klasik. Ada banyak lagi contoh-contoh sebegini yang terdapat di dalam karya-karya agama dahulukala dari seluruh dunia, dan tiada sebabnya kenapa kita tidak boleh mendapat contoh sedemikian di dalam Alkitab. Jadi jelas sekali bahawa cerita pengorbanan Ishak mengandungi semua unsur-unsur bagi upacara pengorbanan yang serupa.

 

Jika cerita ini melaporkan liturgi upacara penerimaan masuk, pernyataan-pernyataannya sudah ditentukan dan berkaitan dengan upacara tersebut. Memang benar ia berlaku pada masa tertentu di tempat tertentu dengan melibatkan individu-individu tertentu, tapi kita harus menyelaraskan, bila perlu, pengalaman ini dengan pengalaman setiap orang muda di dalam kebudayaan masing-masing.

 

Upacara ini bermula dengan panggilan Allah ke atas Abraham di dalam Kejadian 22:1. Tindakbalas Allah di dalam ayat 2 juga diselaraskan mengikut ungkapan-ungkapan tradisional bagi upacara ini. Ini menjelaskan kenapa Ishak terus-menerus disebut sebagai anak yang tunggal di sini. Ia sebahagian daripada upacara tersebut. Besar kemungkinan upacara ini merujuk kepada anak sulung setiap perempuan. Penandaan anak sulung adalah suatu peristiwa yang biasa terlihat di dalam Alkitab. Pengudusan anak sulung setiap perempuan mula-mula sekali disebut di dalam Keluaran 13 dan kemudiannya ayat-ayat yang lain. Ungkapan ini biasanya benar, dan hanya berbeza dalam keadaan berlakunya poligami, sepertimana kes Abraham. Namun begitu, walaupun dalam kes poligami sekalipun, ayat-ayat upacara yang sama akan digunakan bagi upacara pengorbanan, kerana liturgi tradisional atau ayat-ayat sesuai yang sama bagi korban itu akan sentiasa digunakan.

 

Ciri-ciri umum bagi upacara penggenapan umur boleh diselaraskan kepada cerita Kejadian ini seperti berikut: Kumpulan lelaki sahaja ini pergi selama tiga hari (Kejadian 22:3,4). Mereka yang tidak terlibat secara langsung akan ditinggalkan untuk berjaga (Kejadian 22:5). Kebanyakan upacara sebegini akan melibatkan bahan-bahan seperti kayu sebagai persembahan, api, dan suatu senjata (Kejadian 22:6). Kebanyakan upacara sebegini juga mengandungi suatu set standard ayat-ayat ucapan dan respon antara kedua-dua orang yang terlibat (Kejadian 22:7,8). Kebanyakan upacara sedemikian juga mengandungi persediaan pengorbanan dan pengorbanan olok-olok orang ini di mana ia diikat atau ditinggalkan di dalam bilik yang gelap (Kejadian 22:9-10). Upacara sebegini juga termasuklah suatu korban gantian yang disertakan suatu siri ucapan, yang menggantikan orang tersebut, dan dikorbankan (Kejadian 22:11-13). Banyak upacara sejenis juga meliputi penamaan tempat itu atau penamaan semula orang ini, atau lebih jarang lagi, petugas yang melaksanakan upacara ini (Kejadian 22:14). Kebanyakan upacara penggenapan umur juga berakhir dengan satu berkat bagi orang ini, suatu penyataan kemasukannya ke alam dewasa atau status yang berpatutan (Kejadian 22:15-18). Ada juga upacara yang berakhir dengan pemuda itu perlu kembali dengan sendirinya, demi menunjukkan statusnya yang baru itu (Kejadian 22:19).

 

Setakat ini, petikan Kejadian 22 telah diteliti dengan menganggapnya sebagai suatu upacara penggenapan umur. Cara ini nampaknya memang padan dan selaras dengan maksud petikan tersebut.

 

Penafsiran semula petikan ini sebagai suatu upacara penggenapan umur menyelesaikan kebanyakan hal yang tidak konsisten di dalam Kejadian 22. Ucapan-ucapan yang nampaknya tidak berpatutan, contohnya ungkapan Ishak sebagai anak tunggal Abraham, kelihatan bersesuaian dari segi konteks upacara ini. Kejanggalan teologi yang timbul dengan perintah untuk mengorbankan nyawa manusia hilang begitu saja. Pencubaan oleh Tuhan yang diperkatakan sebelum ini, ternyata cuma melibatkan penebusan anak sulung bagi setiap perempuan, atau menggambarkan bahawa Abraham adalah teladan bagi generasi seterusnya.

 

Mungkin persoalan ditimbulkan sama ada kita berhak untuk menafsirkan petikan ini sebagai suatu upacara penerimaan sedangkan tiada kenyataan mengenainya di dalam petikan tersebut. Namun kita mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk tidak mengambil tafsiran yang lain daripada ini. Jika lain, kita akan berhadapan dengan permasalahan seperti yang dinyatakan sebelum ini, di mana ada antaranya yang penting untuk kita pastikan sementara ada pula yang jelas sekali. Memang sesuai untuk kita gunakan penerangan melalui upacara ini, dan bukan saja kerana ia didapati di seluruh dunia di dalam banyak kebudayaan di Australia, Asia, Afrika dan Amerika. Hakikatnya bahawa strukur-struktur penerimaan sebegini terdapat di dalam tulisan-tulisan agama yang lain, contohnya Kathopanishad, walaupun nampaknya sesuai, tidak bermaksud bahawa kita harus membuat kesimpulan yang sama mengenai petikan ini. Kita boleh menerima tafsiran upacara ini kerana penebusan anak sulung diperintahkan di dalam Keluaran 13 dan digambarkan serta dinyatakan banyak kali. Apa saja perkara yang diperintahkan dan dinyatakan seharusnya juga mempunyai suatu amalannya. Amalan inilah yang digambarkan di dalam Kejadian 22.

 

Harus dinyatakan di sini bahawa petikan ini, Pengorbanan Ishak, telah membawa kesan yang besar pada pengalaman keagamaan. Salah faham tentang bagaimana Allah boleh memerintah seseorang itu untuk mengorbankan nyawa manusia telah membuka jalan kepada kritikan ke atas agama pada satu segi, dan amalan yang tidak menentu pada segi lain. Di dalam Judaisme, nampaknya moral bagi cerita ini adalah bagaimana Allah mengajarkan kepada Abraham secara grafik bahawa Dia tidak menerima korban nyawa manusia. Ajaran ini disampaikan dengan cara yang begitu grafik sekali kerana amalan persembahan korban manusia di Kanaan pada masa itu mungkin akan mempengaruhi Abraham dan keturunannya nanti.

 

Agama Kristian melihat moral kisah ini sebagai kesetiaan Abraham untuk diteladani oleh semua yang datang kemudiannya. Kedua-dua Judaisme dan agama Kristian telah menggunakan cerita ini sebagai suatu sumber kritikan terhadap agama Islam. Qur’an (Surah 37: 103-106) melaporkan peristiwa yang sama tetapi melibatkan Ismael dan bukannya Ishak. Seseorang pembicara Muslim mungkin menyatakan bahawa ungkapan “anak tunggal” di dalam Kejadian 22:2 itu sebagai sisa yang tertinggal daripada ayat yang sebenarnya yang merujuk kepada Ismael, iaitu satu-satunya anak Abraham dalam ertikata sebenarnya. Pembicara sedemikian mungkin akan mengatakan bahawa ayat asal ini telah diubahsuai oleh orang Yahudi sehingga sebaliknya menceritakan mengenai Ishak.

 

Jika dilihat dari segi senario upacara penerimaan tadi, lain jadinya. Kedua-dua Ismael dan Ishak, kedua-duanya anak sulung ibu mereka masing-masing, perlu melalui penebusan anak sulung. Dr McElwain mengakhiri ayat itu dengan komen-komen: Penebusan penerimaan, iaitu pengorbanan gantian telah dilaksanakan ke atas kedua-dua mereka. Kesudahannya, petikan ini diselaraskan, dan kedua-dua Alkitab dan Qur’an adalah betul. Tiada lagi pertentangan dan yang tinggal cuma cabaran ini iaitu bolehkah kita hidup secara berharmoni dalam keadaan aman damai. Adakah kita akan menyahut cabaran ini?

 

Namun begitu ada suatu kesilapan serius di dalam andaian-andaian yang telah dibuat mengenai Islam dan pengorbanan Ismael. Ayat Qur’an di Surah 37:103-106 itu seolah-olah tidak berbicara mengenai Ismael langsung.

 

Andaian yang dibuat adalah berdasarkan kepada bagaimana ayat Surah 37:112 kemudiannya menyebutkan pasal kelahiran Ishak. Jadi andaian dibuat bahawa ayat ini merujuk kepada Ismael dahulu barulah kemudiannya Ishak. Sebenarnya ayat ini merujuk kepada bagaimana Ishak telah diberkati sebagai nabi bagi orang benar sejak sebelum kelahirannya. Ayat ini merujuk kepada kelahiran Ishak dan pemberkatannya dan kenabiannya, atau statusnya sebagai nabi di kalangan nabi di dalam Alkitab (dengan Nuh (Surah 37:79-82), Abraham/Ibrahim (37:83 dan seterusnya), Ishak (37:112 dst), Musa dan Harun (37:120 dst), Elia/Ilyas (37:130 dst), dan Yunus (37:139 dst). Ia diumumkan kepada Abraham sebelum kelahirannya. Sebenarnya, Surah 37 tiada kaitan dengan Ismael dan merupakan suatu pengulangan bagi cerita di dalam Kejadian 22:2 dan 25:5-6,9,11,12. Ia menamakan Ishak sebagai nabi. Surah ini memperkatakan hal penyembahan palsu dan tuhan-tuhan dunia ini, dan ianya sama dengan tujuan kepada cerita  pengorbanan Ishak. Perjanjian dengan Abraham di sini adalah penggantian terisytihar kepada pemberian korban manusia di bawah sistem Moloch (Sakut) dan Baal-Istar. Ia berleluasa di negeri-negeri Arab dan dunia secara amnya sehinggalah pada waktu apabila penyembahan Anak Lembu Emas dihapuskan oleh agama Krisitan (lihat artikel The Golden Calf [222]). Idea penglibatan Ismael yang dikatakan ini dibuat berdasarkan andaian bahawa rujukan berduaan tentang kelahiran di dalam Surah 37:101, 112, merujuk kepada dua anak dan iaitu Ismael dan Ishak walaupun Ismael tidak disebutkan. Andaian yang telah dibuat ini kemudiannya digunakan untuk menyatakan adanya pertentangan antara Qur’an dan ayat tersebut di dalam Kejadian. Dengan itu Islam hari ini menggunakan alasan tersebut iaitu tiada ilham Tuhan pada Kitab dan Hukum Allah seperti tertulis di dalam Taurat, untuk menyokong pendiriannya yang tidak menerima Kitab dan Hukum Tuhan. Cuba kita selidik keseluruhan ayat mengenai Abraham dan Ishak ini:

99.       Dan Nabi Ibrahim pula berkata: Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar).

 

100.     Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!

 

101.     Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar.

 

102.     Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.

 

103.     Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

 

104.     Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim!

 

105.     Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

 

106.     Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;

 

107.     Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

108.     Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:

 

109.     Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!.

 

110.     Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

 

111.     Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

 

112.     Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

 

113.     Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.

 

Ayat ini terus kepada fasa seterusnya dan keturunan nabi seterusnya selepas Abraham/Ibrahim dan Ishak, iaitu Musa dan Harun (37:114). Ismael tidakpun disebutkan mahupun keturunan Ismael dan bangsa Arab. Jika Ismael terlibat ianya cuma satu kebetulan terhadap tujuan Surah ini dan mesti disimpulkan juga sebagai suatu upacara penggenapan.

 

Terjemahan Qur’an oleh Arberry (The Koran Interpreted, Oxford, 1964) menggunakan perkataan then atau kemudian untuk menunjukkan suatu urutan masa yang menyokong pendapat bahawa Ismael dan Ishak disebutkan tapi kebebasan menterjemah sebegitu tidak dibuat oleh Pickthall dalam terjemahannya. Sale (Warne and Co., mukasurat 336-337) seolah-olah membuat suatu andaian mengenai sifat perduaan pernyataan-pernyataan tersebut dan kerana itu ada disebutkan tentang dua anak di dalam versi terjemahannya walaupun tiada sebabnya dia berbuat demikian memandangkan cara susunan perkataannya di dalam terjemahannya itu. Sepatutnya, perkara yang sebaliknya berlaku. Terjemahan Dawood juga menurut maksud asal ayat sepertimana Pickthall dan cuma mengulang hal berkenaan Ishak di dalam 37:112.

 

Abdullah Yusuf Ali membentangkan pendapat yang meyakinkan di dalam komentarinya (The Qur’an, Text, Translation and Commentary, Tahrike Tarsile Qur’an Inc, 1987 print, p, 1205) bahawa selama empat belas tahun Ismael adalah satu-satunya anak Abraham dan tidak pernah ada satu ketikapun di mana Ishak adalah anak tunggal Abraham. Dia berpendapat bahawa pendirian yang dikemukakan kemudiannya oleh agama Judaisme dan Kristian adalah bertujuan untuk meninggikan taraf cabang keluarga yang lebih muda, iaitu Ishak. Namun begitu, kita tahu dengan pasti, daripada kajian arkeologi moden dan tulisan-tulisan purba, bahawa itulah (sepertimana yang diterangkan sebelum ini) maksud dan ayat sebenarnya sepertimana pada Kitab dahulukala, pada zaman Kristus dan merupakan ayat yang diterima pada zaman Muhammad, dan juga merupakan ayat Alkitab yang asal.

 

Selain itu, kita juga tahu bahawa pada waktu peristiwa tersebut, Ismael dan ibunya Hagar telah dihantar pergi, disebabkan konflik antara Hagar dan Sara. Dengan itu Abraham hanya ada Ishak sebagai anaknya yang tunggal dan itulah yang dimaksudkan oleh petikan Alkitab ini.

 

Ayat di dalam Qur’an tidak bertentangan dengan apa yang ternyata di dalam ayat-ayat Alkitab di dalam Kejadian dan ini menjadi bukti selanjutnya bahawa tafsiran para guru agama Yahudi yang mengatakan Ishak benar-benar dikorbankan, adalah salah sama sekali. Tambahan pula, pemahaman yang betul sepertimana yang ternyata di dalam Surah itu, sepertimana juga difahami oleh Muhammad, adalah sejajar dengan ayat Alkitab. Memangpun sepatutnya. Namun begitu, jika masih ada bantahan bahawa Ismael memang terlibat, daripada bentuk ayat tersebut, maka kita boleh gunakan idea upacara penggenapan itu untuk melenyapkan konflik tersebut dan pada masa yang sama menekankan betapa perlunya bagi umat Allah untuk membuang sistem-sistem lama dari antaranya, tidak kira mereka dari bangsa Arab atau Israel, sistem fizikal atau rohani.

 

Perjanjian Tuhan adalah mandatori bagi iman kita dan bagi keturunan Abraham walau apa saja tahap kepercayaan agama mereka.