Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

[292]

 

 

 

 

FAQ tentang Yehezkiel Bab 36-48 dan Pengudusan Bait Suci [292]

(Edisi 1.1 20020301-20041114)

 

Teks dalam Yehezkiel 36-48 ialah satu nubuatan untuk hari-hari masa hadapan dan meliputi sistem milenium di bawah Yesus Kristus. Seluruh dunia akan melakukan apa yang Yehezkiel katakan akan dibuat dalam sistem Milenium pada kedatangan Kristus. Perintah-perintah di situ ialah ulangan Hukum Tuhan dan, melainkan pelaksanaan upacara-upacara korban, wajib bagi jemaat hari ini dalam penerapannya akan Hukum Tuhan dalam sistem Kristian.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 2002 Wade Cox)

(Tr. 2007)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


 

FAQ tentang Yehezkiel Bab 36-48 dan Pengudusan Bait Suci [292]



Pengenalan

 

Teks

Yehezkiel 36:17-19 menyatakan bahawa apabila Israel berada di tanah mereka sendiri mereka telah mencemarkannya dengan mengikut jalan mereka sendiri dan dengan perbuatan mereka dan Tuhan telah menyerakkan mereka di kalangan orang kafir dan mereka dihamburkan ke semua negeri menurut jalan mereka dan menurut perbuatan mereka.

 

Yehezkiel 36:24-38: Tuhan berfirman Dia akan memulihkan Israel, memasukkan roh baru dalam mereka dan mereka sekali lagi akan mentaati Tuhan dan tanah itu akan disembuhkan, dan penduduk dunia akan tahu Tuhan-lah yang melakukannya. Penyembuhan tanah akan berlaku dengan perintah Kristus pada kedatangannya.

 

S1. Apa atau siapakah Israel?

 

Jawapan: Bangsa Israel terdiri daripada satu siri suku-suku keturunan Yakub yang kemudiannya dikenali sebagai Israel. Suku Yehuda hanya satu daripada suku-suku bangsa Israel. Suku-suku Israel ialah: Yehuda, Isakhar dan Zebulon di kawasan Timur, Ruben, Simeon dan Gad di kawasan Selatan, Efraim, Manasye dan Benyamin di kawasan Barat dan Dan, Asyer dan Naftali di kawasan Utara di sekeliling Khemah Pertemuan Tuhan dalam Pentateuch pada Bilangan bab 10. Suku Lewi berada di tengah-tengah mengelilingi dan bertanggungjawab untuk Khemah itu. Suku Yusuf dibahagikan kepada dua suku separuh iaitu Efraim dan Manasye dan mengizinkan Lewi memberi tumpuan kepada Khemah sebagai suku ketiga belas.

 

Sesudah Daud, dan kemangkatan Salomo anaknya bangsa Israel berpecah kepada dua dengan sepuluh suku di utara Kanaan dengan ibu kotanya di Samaria. Yehuda, sebahagian daripada Lewi dan Benyamin terus menetap di selatan taat kepada anak Salomo, Rehabeam.

 

Sepuluh suku di utara menyembah berhala dan ditawan Asyur pada 722 BCE dan dipindahkan ke utara Sungai Araxes di Mesopotamia dan terus menetap di situ hingga abad kedua era sekarang dan kejatuhan Empayar Partia. Suku-suku ini ialah majoriti suku-suku Israel. Pada kejatuhan empayar Partia mereka berpindah ke arah barat laut ke dalam kawasan Eropah Barat dan menyeberang ke Kepulauan British di mana mereka menyertai elemen lain suku-suku itu yang sudah lama berpindah ke situ.

 

Yehuda ditawan orang Babel sekitar 597 BCE dan dikembalikan ke Tanah Suci oleh dekri Cyrus (Koresh) dan raja-raja berikutnya (lihat karya Tanda Yunus dan Sejarah Pembangunan Semula Bait Suci [013]). Mereka tinggal di situ hingga selepas pelayanan Mesias dan terhambur pada 70 CE sesudah kejatuhan Bait pada 70 CE sesuai dengan Tanda Yunus.

 

Dari Pelayanan Mesias dan pengeluaran Roh Kudus pada Pentakosta 30 CE, bangsa Israel menjadi satu kuasa rohaniah dan Bait Tuhan menjadi suatu bangunan batu-batu hidup. Batu-batu hidup ini yang juga merangkumi bangsa-bangsa lain menjadi bangsa Israel yang diperluaskan yang diberikan kepada suku-suku itu menurut pimpinan rohani dan dinyatakan dalam Kebangkitan Pertama.

 

Selepas kepulangan daripada tawanan Babel itu di bawah John Hyrcanus suku-suku Edom ditundukkan dan menjadi sebahagian daripada orang Yahudi di tanah Yudea. Sesudah pembubaran bangsa Yahudi sejak 70 CE pada 740 CE suku-suku Gomer Ashkenazi telah ditambah kepada Yehuda dengan pemualafan kepada Judaisme di selatan Steppe Rusia.

 

Justeru bukan semua Yahudi berbangsa Israel dan bukan semua bangsa Israel orang Yahudi. Dengan pemualafan bangsa bukan Yahudi, Israel ialah suatu kesatuan rohaniah dan jasmaniah yang diperluaskan yang meliputi berkat-berkat Abraham melalui janji-janji hak kelahiran yang diberikan kepada suku-suku.

 

Dalam Yehezkiel kita perhatikan pembahagian lanjut suku-suku itu di sekeliling bait (lihat bawah).

 

Penjelasan Keturunan Abraham dan anak-anak Israel juga diliputi dalam karya Lazarus dan Orang Kaya [228].

 

S2. Sudahkah apa-apa pemulihan Israel berlaku?

 

Jawapan: Beberapa pemulihan Israel telah berlaku selama ini. Setiap kali Israel menyembah berhala dan murtad mereka ditawan dan dipulihkan kemudian bila bertaubat (lihat karya-karya Simson dan Para Hakim [073]; Bala Tentera Gideon dan Zaman Akhir [022] dan Pemulihan Yosia [245]). Pemulihan ini berlaku dalam Keluaran dan kemudian di bawah Hakim-hakim. Israel kemudian diizinkan ditawan kerana keberhalaannya yang berulang di luar Tanah Perjanjian pada 722 BCE di bawah orang Asyur dan mereka terus tinggal di utara Araxes. Mereka membentuk gerombolan Partia sehingga mereka semua berhijrah ke Eropah pada abad kedua era sekarang untuk menyertai orang lain daripada kumpulan mereka di Eropah Barat dan Kepulauan British (lihat karya Peperangan Unitarian/Trinitarian [268]).

 

Yehuda telah ditawan di bawah orang Babel pada abad keenam BCE (sekitar 597 BCE) dan dipulihkan sebagaimana yang kita lihat dalam teks-teks Alkitab daripada dekri-dekri Koresh dan raja-raja Persia berikutnya serta di bawah Ezra dan Nehemia (lihat karya Pembacaan Hukum Dengan Ezra dan Nehemia [250]). Mereka tinggal di Tanah Perjanjian sehingga akhir waktu nubuatan yang diliputi di bawah Tanda Yunus. Mereka akhirnya ditawan dan dibubarkan sejak 70 CE seperti yang diramal nubuatan. Karya Tanda Yunus dan Sejarah Pembangunan Semula Bait Suci [013] menceritakan aspek ini.

 

Pemulihan Yehuda bermula dengan penawanan Palestin dalam Perang Dunia Pertama oleh angkatan Komanwel British dan deklarasi Tanah Air Yahudi oleh Lord Balfour pada 1917. Ini memulakan pemulihan Israel dalam Zaman Akhir dan akan diselesaikan dengan kedatangan Mesias (lihat karya Firman Tuhan [184]).

 

Bahagian 2

 

Kebangkitan dan Pemulihan

Yehezkiel 37 mengisahkan penglihatan kebangkitan bangsa dan penggabungan Israel dan Yehuda serta kepulangan Israel ke tanah yang diberikan kepada leluhur mereka. Mereka akan menjadi satu bangsa dan Daud akan memimpin atas mereka.

 

S3. Adakah kebangkitan Yehezkiel 37 ini kebangkitan pertama semua umat pilihan yang sudah meninggal sepanjang abad-abad lalu?

 

Jawapan: Kebangkitan yang digambarkan dalam Yehezkiel 37 merujuk kepada pemulihan Israel dan Tanah Perjanjian dan bermula dari Kebangkitan Pertama. Ia berlaku dalam Alkitab sebelum gabungan Israel dan Yehuda sekali lagi kerana Mesias-lah yang melaksanakan tugas itu akhirnya pada kedatangannya.

 

Ia juga menunjukkan bahawa seluruh kebangkitan itu berciri jasmaniah dan membabitkan pengangkatan umat pilihan yang dibangkitkan sesuai dengan ayat lain Alkitab. Semua yang telah mati akan dibangkitkan sebagai orang jasmaniah sebelum pengangkatan mereka pada mana-mana tahap pertumbuhan mereka diletakkan dalam rencana Tuhan.

 

S4. Adakah gabungan Yehuda dan Israel ini berlaku sewaktu kebangkitan ini atau jika tidak, bilakah ia akan berlaku?

 

Jawapan: Gabungan Israel dan Yehuda berlaku selepas pemualafan Yehuda dan pada kedatangan Mesias.

 

Bahagian 3

 

Perang Gog dan Magog

Yehezkiel 38-39 mengisahkan perang-perang Gog, Magog dan bangsa-bangsa kafir yang lain melawan Israel, dan hukuman-hukuman akibatnya.

 

S5. Kita tahu bangsa-bangsa ini bangkit menentang Israel pada akhir milenium. Adakah ini bererti bahawa ini ialah nubuatan berganda dua dan semua perang ini berlaku pada awal dan akhir milenium?

 

Jawapan: Perang Gog dan Magog adalah berganda dua. Perang ini berlaku pada awal Milenium ketika cawan-cawan kemurkaan Tuhan, yang disebutkan dalam Wahyu bab 16, untuk memuliakan Tuhan dalam pandangan mata dunia dan untuk mempamerkan kemurkaanNya kepada semua bangsa. Terdapat juga satu lagi perang semua bangsa dalam Wahyu 20:7-10. Ini berlaku pada akhir Milenium dan membabitkan kumpulan-kumpulan sama yang cuba membinasakan umat Tuhan dan bait Tuhan. 

 

S6. Jika terdapat dua perang, satu pada setiap hujung Milenium, adakah hukuman yang sama, tulah dan sebagainya, berlaku pada kedua-dua kalinya?

 

Jawapan: Alkitab seolah-olah menunjukkan bahawa Tuhan membinasa mereka namun perang akhir berdiam tentang caranya. Kita hanya boleh menyimpulkan daripada ciri umum teks Yehezkiel 38 bahawa cara yang sama digunakan untuk menangani mereka tiap kali.

 

Yehezkiel 39 nyata berlaku pada awal Milenium. Justeru kita bercakap tentang dua perang; satu pada awal dan satu pada akhir.

 

 

Bahagian 4

 

Bait Suci

Yehezkiel 40-43 menggambarkan Bait.

 

S7. Bait inikah yang akan dibina dan beroperasi sepanjang Milenium?

 

Jawapan: Ya. Bait yang digambarkan dalam Yehezkiel ialah Bait Milenium dan amalan-amalan di situ akan dilaksanakan dalam sistem milenium. Bait ini berciri jasmaniah dan rohaniah.

 

S8. Adakah acara korban akan diadakan semula? Jika ya, kenapa?

 

Jawapan: Salah satu aspek nubuatan ini yang paling membingungkan sekali adalah berhubungan fakta bahawa acara korban, iaitu korban pagi sahaja, dijalankan di sini. Nubuatan itu menangani fakta bahawa korban-korban dalam sistem Bait menunjuk ke arah Kristus dan Jemaat. Korban-korban itu telah digenapi dalam Kristus namun ia menunjuk ke arah jemaat sebagai hasil-hasil sulung lengkap Tuaian Gandum pada Pentakosta. Mereka digambarkan oleh korban-korban Bulan Baru dan Hari Raya sebagai 144,000 dan Korban Petang menunjuk ke arah Kumpulan Besar Orang Banyak (lihat karya Tuaian-tuaian Tuhan, Korban-korban Bulan Baru dan Umat 144,000 [120]). Semua ini adalah sebahagian daripada Kebangkitan pertama. Namun terdapat satu lagi aspek bahawa Kumpulan Besar itu yang digambarkan oleh Korban Pagi tidak dituai hingga selepas Kebangkitan Pertama dan dengan itu menggambarkan satu lagi aspek sistem Bait, yang mana kita ialah Bait itu.

 

Pemakanan daging dikawal sewaktu zaman Bait dan kuali-kuali adalah kudus bagi Tuhan. Sistem Persepuluhan akan memastikan semuanya sentiasa cukup untuk Sabat-sabat Tuhan untuk menyara semua dalam bangsa itu. Ini dijelaskan dalam Pungutan (Bagian) Raja dalam Yehezkiel bab 45. Ketetapan pungutan daging pada waktu-waktu hari raya dijelaskan dalam Zakharia 14:16-21.

 

Terjemahan Zakharia 14:16-21 dalam New Revised Standard Version membawa erti sebenar istilah yang diterjemahkan “orang Kanaan” dalam teks KJV dan menyatakan bahawa: Tidak akan ada lagi pedagang di rumah TUHAN semesta alam pada waktu itu.

 

S9. Adakah korban-korban ini sekadar peringatan korban Kristus atau adakah ia mempunyai lebih banyak signifikans?

 

Jawapan: Seluruh aspek korban-korban ini menangani pemulihan sistem ibadat dalam Israel dan bahawa sistem pemberian Tuhan adalah adil dan betul. Penyembelihan semua daging memerlukan hutang darah dan ditebus sebagai sebahagian daripada sistem Bait. Sekali lagi keimamatan akan menguruskan semua penyembelihan binatang.

 

Soal menebus untuk dosa sebagai hutang juga akan dipulihkan dengan hukum. Aspek-aspek ini diliputi dalam siri Hukum Tuhan [L1].

 

Sistem itu sebagaimana yang digunakan dalam Kalendar Tuhan dan ternakan yang disediakan memastikan bahawa sistem itu berjalan dengan betul dan hari-hari raya dapat dipelihara dengan sumber yang cukup.

 

Mengendalikan Bait

 

Yehezkiel 44 membicarakan pengendalian Bait.

 

S10. Siapa boleh memasuki bait?

 

Jawapan: Kemasukan ke dalam Bait dikawal.

 

Tiada seorangpun boleh masuk melalui pintu gerbang luar yang menghadap Timur kecuali raja. Dia seorang saja masuk melalui Pintu Gerbang Timur dan keluar mengikut jalan yang sama.

 

Orang lain masuk melalui satu pintu gerbang lain  dan keluar mengikut pintu bertentangan iaitu dari Selatan ke Utara. Hanya orang asing di Israel yang disunat hati dan dagingnya boleh memasuki Bait.

 

Orang Lewi yang tersesat selepas menyembah berhala akan memikul hukuman mereka. Mereka akan melayani dalam tempat kudus dengan pengawasan di pintu-pintu gerbang Bait Suci dan mereka akan menyembelih korban-korban bakaran dan akan melayan umat. Oleh kerana mereka menyebabkan Israel tersandung mereka tidak akan menghampiri Tuhan sebagai Imam-imam tetapi mereka akan dilantik untuk mengurus bait dan peraturannya.

 

Dengan kata lain orang Lewi yang bukan sebahagian daripada umat pilihan sama ada dalam 144,000 atau Kumpulan Besar Orang Banyak tidak akan menghadap Tuhan dalam Roh tetapi akan melayani dalam sistem jasmaniah.

 

Keimamatan Zadok boleh menghadap Tuhan kerana mereka setia dalam Lewi. Justeru kita berhadapan dengan dua bahagian berasingan keimamatan dan hanya mereka yang setia dalam Lewi mencapai Kebangkitan itu. Dengan itu orang yang benar hidup menurut percayanya dan anak-anak Lewi terbahagi kepada golongan setia dan tidak setia. Hanya mereka yang setia daripada setiap zaman dan mereka yang berdiam dalam Kristus menghadap Tuhan. Justeru keimamatan Melkisedek melebihi Lewi, dalam mana bukan semua Lewi itu Melkisedek dan bukan semua Melkisedek itu Lewi, dan Melkisedek tidak ditentukan oleh keturunan sebab ia tanpa bapa dan tanpa ibu. Dua belas suku itu disenaraikan dalam Wahyu bab 7. Ia menunjukkan bahawa Lewi ialah satu daripada suku-suku itu dan sebahagian daripada keimamatan Melkisedek yang lebih besar dengan semua ditentukan sebagai anggota-anggota salah satu suku-suku itu.

 

S11. Apakah tugas orang Lewi dan Imam?

 

Jawapan: Golongan tidak setia terbatas kepada tugas-tugas jasmaniah sistem Bait. Mereka melaksanakan penyembelihan dan distribusi di situ. Mereka menjaga dan melakukan segala pekerjaannya.

 

Golongan setia memasuki Tempat Kudus. Dengan kata lain anak-anak Tuhan yang lahir melalui Roh dapat menghadap Tuhan dalam pelayanan sebagai makhluk-makhluk Roh.  Teks ini mengecam sama sekali keimamatan Lewi yang gagal menerima Mesias dan juga golongan Keimamatan Melkisedek yang gagal mendukung kedudukan mereka dan gagal Kebangkitan Pertama.

 

Keimamatan setia bertanggungjawab (sebagai raja dan imam – Wahyu 1:6) melaksanakan tugas-tugas tertentu di hadapan Tuhan. Mereka bertanggungjawab memimpin (2 Tawarikh 8:14) dalam bait (rohani) Tuhan. Antara tugas-tugas ini ialah doa (Yoel 2:17) untuk umat, malah seluruh bangsa ini – lihat Q-22. Mereka harus memberi teladan peribadi (Imamat 10:8-10); dan mengenali hukum (Maleakhi 2:7) dengan cukup baik untuk mengajarnya kepada bangsa (Imamat 10:11). Tuhan secara konsisten mendapat beberapa orang dari abad ke abad, yang telah setia memelihara semua ini dan tugas-tugas lain. Ini akan membawa erti tambahan dan baru pada kedatangan Mesias.

 

S12. Apakah pakaian, kelakuan, korban dan penghakiman mereka?

 

Jawapan: Imamat setia memasuki pelataran dalam dengan berpakaian lenan. Ini ada dua erti.

 

Imamat setia yang hidup dalam Milenium melaksanakan fungsi-fungsi Mesias dalam upacara-upacara Pendamaian.

 

Orang kudus daripada umat pilihan yang telah berjaya, masuk dengan pakaian lenan menghadap Tuhan sebagaimana Mesias masuk pada penerimaannya sebagai persembahan Unjukan Berkas (lihat karya Persembahan Unjukan Berkas (No. 106b)). Justeru umat pilihan akan berjumpa Tuhan sebagai anak-anak Tuhan dan membuat pendamaian bagi Israel dan bangsa-bangsa yang dibawa masuk ke dalamnya sebagai para imam dan rajanya.

 

Sistem persepuluhan akan dikuatkuasakan dan Jabatan Imamat akan melaksanakannya (Yehezkiel 44:28-31).

 

Bahagian 5

 

Pembahagian Tanah kepada Suku-suku

Yehezkiel 45 membincangkan pemulihan Israel dengan kawasan-kawasan tanah milik suku yang khusus yang digambarkan dalam bab 48. Seperti ditunjukkan di atas bab ini didahulukan dengan satu gambaran bait yang akan dibangunkan. Bait ini kelihatan seperti suatu pembangunan yang berlaku susulan kembalinya Kristus dan perintah-perintah diberikan kepada kita berhubung pentadbiran umat dan bait.

 

Yehezkiel 45:1 menyatakan bahawa PADA WAKTU negeri itu dibahagi-bahagi dengan jalan mengundi, suatu persembahan khusus harus diberikan kepada Tuhan. Persembahan ini terdiri daripada bidang-bidang tanah dengan ukuran khusus. Beberapa ayat berikutnya bercakap tentang tempat kudus itu sendiri, ukurannya, kawasan untuk rumah-rumah keimamatan, Lewi dan Raja.

 

S13. Sebab kita sekarang mempunyai keimamatan Mazhab Melkisedek, siapakah orang Lewi dan kenapakah mereka diperkenalkan semula?

 

Jawapan: Bahasa Alkitab bercakap tentang Keimamatan Lewi yang telah gagal dan perjalanan jasmaniah Bait. Terdapat suatu divisi dalam keimamatan dan mazhab Melkisedek tidak disebut di sini. Golongan setia Lewi kita tahu ditempatkan dalam 144,000 dan Kumpulan Besar Orang Banyak bab 7. Kitab Ibrani memberitahu kita apa dia mazhab Melkisedek di bawah Kristus. Raja disebutkan dan pembahagian kawasan-kawasan untuk imamat dipamerkan dalam dimensi simbolik dan literal. Kita boleh mengertikan pembahagian-pembahagian ini dengan dua cara dan menghasilkan pengajaran daripada nubuatan ini dengan dua cara yang sama itu.

 

S14. Siapakah raja dalam konteks ini? Kristus atau Daud? Oleh sebab ada tanah yang dikhususkan untuknya, seseorang mungkin menganggap ia Daud, kerana Kristus merupakan makhluk rohani dan boleh menunjukkan dirinya bila-bila dikehendakinya.

 

Jawapan: Ia kedua-duanya, Kristus ialah Raja Israel dan Daud memerintah di bawahnya. Kita semua ialah Keluarga Daud dan akan seperti elohim dan Malaikat Tuhan mengepalai kita. Yakni kita akan menjadi tuhan, seperti Yesus Kristus, dalam Pemulihan Milenium itu. Kota Yerusalem akan menjadi pusat pentadbiran kita untuk planet ini dan kita akan memerintah sebagaimana Iblis dan para Iblis sepatutnya telah memerintah bumi tetapi gagal (lihat Zakharia 12:8).

 

Bahagian 6

 

Korban-korban Pendamaian

 

Yehezkiel 45:13-16 Ini merupakan perintah berkenaan persembahan bijirin dan minyak, serta seekor domba daripada setiap 200 – untuk semua perayaan yang ditetapkan, Bulan Baru dan Sabat – untuk membuat pendamaian bagi keluarga Israel. Ini disediakan oleh umat itu untuk Raja. Pada ayat 17 peranan Raja adalah untuk menyediakan korban bakaran dan korban sajian dan korban curahan untuk mengadakan pendamaian untuk keluarga Israel. (lihat karya Pemberian Persepuluhan [161]).

 

S15. Ini kelihatan seperti perintah khusus susulan kepulangan Kristus untuk mendamaikan umat kepada Tuhan?

 

Jawapan: Persembahan-persembahan yang dibuat di bawah Pungutan Raja adalah untuk menyediakan keperluan untuk Sabat, Bulan Baru dan Hari Raya dan hari-hari ini akan menjadi Sabat kepada Tuhan dalam Israel. Seluruh Israel akan dapat makan di hadapan Tuhan tidak kira apa keadaannya di bawah sistem persepuluhan. Raja bertanggungjawab menyediakan pungutan ini. Justeru kepimpinan jasmaniah Israel akan terus berjalan.

 

Bahagian 7

 

Menyucikan Tempat Kudus

 

Yehezkiel 45:18 Hari pertama bulan pertama – seekor lembu jantan muda dikorbankan untuk menyucikan tempat kudus.

 

S16. Adakah ini tanggal 1 bulan 1 tahun 1 zaman Yobel 1 di bawah pemerintahan langsung Kristus, ketika Iblis sudah dikurung dan bukan lagi pemerintah dunia ini?

 

Jawapan: Ya. Seluruh sistem milenium akan berlangsung pada dan bermula dari hari pertama bulan pertama tahun pertama Yobel Milenium. Atas sebab inilah Kristus datang namun dia datang lebih awal dan waktu Iblis dipendekkan. Jika dia tidak datang tentunya tiada lagi manusia yang masih hidup untuk diselamatkan. Oleh itu dia datang awal dan Paskah dipelihara tepat pada waktunya dan tidak lambat (lihat konsep-konsepnya dalam karya Tujuh Paskah Agung Alkitab [107]).

 

S17. Perintah ini nampaknya diberikan untuk menyucikan dan menguduskan tempat kudus yang baru dibangunkan?

 

Jawapan: Penyucian tempat kudus dituntut di bawah hukum dan dilaksanakan oleh Mesias dari Tahun Baru pada tahun korbannya untuk mengajar kita apa yang diperlukan dari Tahun Baru hingga hari raya Paskah dan Roti Tidak Beragi.

 

Pendamaian untuk Bait

 

Yehezkiel 45:20 Persembahan yang sama pada tanggal 7 harus disediakan untuk mereka yang berbuat dosa tanpa mengerti dan tidak sengaja. Begitulah engkau harus membuat pendamaian untuk Bait.

 

S18. Ini seolah-olah memberi maksud bahawa ia pengudusan mula-mula untuk bait yang baru dibangunkan itu, dan umat yang baru dikumpul bersama yang perlu diajar sekali lagi tentang perintah dan ketetapan Tuhan dan bagaimana untuk melaksanakannya?

 

Jawapan: Puasa untuk pengudusan Orang Berdosa Tanpa Mengetahui dan Tidak Sengaja menunjuk kita dengan jelas apakah peranan kita dalam proses Pengudusan Bait dan umat. Ini boleh diterapkan kepada semua yang berdosa dan gagal kerana tidak sengaja dan tidak mengerti, dan kita dengan pendekatan umum kita kepada Tuhan melalui Kristus memohon pengampunan dan pendamaian dan pemulihan umat kita. Kita melakukan ini setiap tahun dalam upacara kita memperingati peranan yang dimainkan oleh Kristus dalam Paskah dan sebagai Tuan kita. Begitu juga kita melihat Musa berdoa untuk kita agar kita tidak binasa di Mesir dan juga Samuel dan orang lain yang merupakan hakim-hakim di Israel berdoa untuk kita, sama seperti Daud dan para nabi dan Kristus dan jemaat kemudiannya secara berterusan. Sebagaimana mereka menghakimi Israel begitu juga kita dijadikan raja dan hakim yang menghakimi Israel di bawah Kristus. Kita berdoa dan berpuasa dalam pengantaraan untuk bangsa sebagaimana pendahulu kita melakukannya sebelum ini untuk umat kita dan untuk diri kita sendiri yang dipanggil kepada iman itu. Memahami aspek ini adalah amat penting kepada iman dan merupakan aspek paling kurang difahami dalam abad kedua puluh oleh sebab kelalaian imamat zaman kemudian jemaat. Ini penting bagi pemulihan iman itu dalam zaman akhir dan sepatutnya telah dilakukan berterusan. Kalaulah Jemaat telah membaca hukum setiap tujuh tahun seperti diperintahkan, hal ini tentunya tidak hilang.

 

S19. Jika umat pilihan ialah bait Tuhan dari segi rohaniah, dan ini ialah bait jasmaniah maka bukankah golongan berdosa tidak sengaja dan tanpa mengetahui berasal daripada keluarga Israel?

 

Jawapan: Golongan Berdosa Tidak Sengaja dan Tanpa Mengetahui ialah mereka yang berdosa tidak kira apa asal usul mereka sama ada umat pilihan atau bangsa itu atau bangsa-bangsa yang akan menjadi sebahagian daripada Israel secara berterusan.

 

S20. Bukankah kita sekarang ini golongan berdosa tidak sengaja dan tanpa mengetahui?

 

Jawapan:  Umat pilihan ialah pilihan Tuhan yang harus mengembangkan pengetahuan mereka akan Allah Maha Esa dan Yesus Kristus yang diutusNya (Yohanes 17:3). Mereka akan berbuat dosa dengan tidak sengaja kerana tidak mengetahui atau tidak mengerti namun mereka dikaruniakan Roh Kudus agar mereka menjadi golongan sulung yang dipanggil dari antara ramai saudara. Justeru campur tangan mereka penting kepada fungsi berterusan jemaat.

 

S21A. Bukankah korban Kristus sudah mendamaikan kita semua sama sekali?

 

Jawapan: Proses tersebut tiada kena mengena dengan hakikat bahawa Kristus telah mendamaikan kita semua sama sekali. Aktiviti-aktiviti kita adalah sebahagian daripada jemaat dalam menangani umat kita dan membawa mereka kepada Tuhan. Ketidakmampuan untuk memahami tanggungjawab lebih luas umat pilihan berpunca daripada mentaliti elitis yang timbul daripada pemencilan umat pilihan daripada masyarakat dalam mana mereka hidup. Divisi ini membawa kepada ketidakmampuan memahami pengantaraan yang diperlukan daripada jemaat untuk umat dan tuntutan menyerahkan hidup mereka untuk iman itu secara berterusan.

 

S21B. Musa boleh menaiki gunung itu tetapi bangsa itu tidak boleh. Dia turun dari gunung itu, pergi kepada bangsa itu dan menguduskan umat itu (Keluaran 19:10-14). Merujuk kepada kita hari ini, adakah ini bermaksud bahawa hanya imamat terbaptis sahaja yang boleh menghadap takhta Tuhan sementara mereka yang tidak dibaptis tidak boleh?

 

Jawapan: Apa yang patut difahami di sini adalah terdapat suatu urutan pengudusan. Anak sulung Israel dikuduskan dan kemudian Israel sendiri dikuduskan keseluruhannya untuk bertemu muka Tuhan yang kita tahu ialah Yesus Kristus. Begitulah juga dengan kita. Bait dikuduskan dari tanggal pertama bulan pertama dan bait itu ialah kita (1 Korintus 3:16-17). Kemudian kita pula menguduskan mereka yang di luar bait pada tanggal tujuh bulan pertama. Tuhan berdiam dalam kita sebagai bait melalui Roh Kudus (1 Korintus 6:19).

 

S21C. Jadi kita sebagai bait Tuhan ialah mezbah Tuhan dan boleh membuat pengantaraan kepada Tuhan sebagai sejenis pengorbanan diri untuk menguduskan mereka yang telah bersalah kerana tidak mengetahui dan tidak sengaja?

 

Jawapan: Proses pengudusan merupakan suatu proses penyucian dalaman. Tuhan menguduskan kita (Keluaran 31:13; Imamat 20:8; 21:8; 22:9). Mezbah menguduskan pemberian kerana apa sekalipun yang menyentuh mezbah itu menjadi kudus (Keluaran 29:37). Perkakas untuk mezbah juga menjadi kudus (Keluaran 30:29). Bagaimanapun, hadirat Tuhan dalam tempat kudus itulah yang menguduskan dan menjadikannya kudus (Keluaran 29:43; Keluaran 40:34-35). Jadi hadirat Tuhan dalam umat pilihan sebagai Roh Kudus menjadikan tubuh Mesias sebagai bait, kudus dalam semua aspeknya. Ini membuatkan semua yang berhubung dengannya kudus.

 

Kita dikuduskan dalam kebenaran dalam kasih. Kristus menguduskan dirinya untuk kita dan kita juga harus menguduskan diri kita dalam kebenaran, iaitu firman Tuhan (Yohanes 17:17).

 

S22. Jika persembahan sama harus digunakan pada tanggal 7 seperti yang dipersembahkan pada tanggal 1, patutkah hari ini dipelihara sebagai Sabat? Nampaknya tiada lagi ayat lain Alkitab yang menunjukkan bahawa hari ini patut dipelihara sebagai satu Sabat.

 

Jawapan:  Teks ini mengatakan engkau harus melakukan hal yang sama pada hari ketujuh sebagaimana engkau lakukan pada hari pertama. Tahun Baru selalunya satu perkumpulan raya bukan saja kerana ia Bulan Baru tetapi juga sebab Mazmur 81:3-5 mengkhususkannya sebagai bulan Israel keluar dari Mesir iaitu Bulan Baru kepada Bulan Abib atau Bulan Pertama dalam Tahun. Oleh itu Tanggal Tujuh Bulan Pertama adalah suatu perkumpulan raya.

 

Proses Pengudusan difahami oleh istilah yang digunakan Menguduskan.

 

Menguduskan mengikut Kamus Universal Oxford bererti: Mengkhususkan dari segi agama untuk satu jawatan atau fungsi; mentahbiskan [seorang raja], 2. menghormati sebagai sesuatu yang kudus, menyatakan kekudusan, b. menyatakan sebagai kudus 3. mentahbiskan (sesuatu), mengkhususkan sebagai kudus atau suci. 4. Menjadikan (seseorang) kudus; menyebabkan pengudusan berlaku. 6. Memberi kekudusan nyata atau yang kelihatan kepada; memberi rupa kemoralan atau kemurnian kepada; membenarkan atau menyetujui, kini jarang atau tidak dipakai. 1606. 7. Menjadikan sesuatu berhasil dalam atau mendatangkan kekudusan atau berkat rohani.

 

Kita mengantara untuk bangsa dan menghadap takhta rahmat, sebagaimana kita mampu buat, untuk mengkhususkan bangsa kita dalam pelayananNya. Ini mungkin perkara paling penting kita lakukan sebagai jemaat sepanjang tahun dan ia tidak difahami sepenuhnya.

 

Kita menginginkan pengampunan dan belas kasihan dalam hubungan langsung dengan Tuhan melalui Yesus Kristus. Tuhan memberitahu kita melalui hamba-hambaNya para nabi bahawa kita menguduskan jemaat dengan puasa (Yoel 1:14; 2:15-17). Kita meminta Tuhan mengampuni kita dan juga untuk cemburu kerana umatNya dan tanahNya, dan tidak lagi menjadikan kita cela di kalangan bangsa-bangsa. Bukankah ini tugas paling penting sekali?

 

Atas sebab itulah kita berpuasa pada Tanggal Tujuh Bulan Pertama.

 

S23: Jadi engkau katakan tanggal 7 bulan 1 ialah satu perkumpulan raya. Adakah itu bererti bahawa kami memeliharanya seperti mana-mana hari raya lain? Teks ini nampaknya menunjukkan bahawa satu lagi lembu jantan akan dikorbankan dan darah diletakkan pada tempat yang sama, dan rujukan dibuat kepada korban yang dipersembahkan pada kedua-dua hari yang serupa.

 

Jawapan: Teks mengatakan kita buat pada hari ketujuh apa yang kita lakukan pada hari pertama. Maka ini seharusnya suatu perkumpulan raya. Jelas sekali kita semua tidak dapat berada di situ untuk perkumpulan itu. Ini bukan Sabat tetapi satu ulangan ibadat hari Pertama dan menunjukkan kedua-duanya saling berkait dalam Pengudusan.

 

S24: Seekor lembu jantan dikorbankan pada tanggal 1, 7 dan 14 bulan pertama. Adakah setiap lembu itu mewakili, dan menunjuk kepada Kristus sebagai korban Paskah?

 

Jawapan: Ya. Semua aspek ini menunjuk kepada Kristus sebagai Paskah dan lembu jantan Pengudusan. Melalui kemampuan ini dalam memahami apa yang dilakukannya, kita sebagai satu jemaat mengikut teladannya dalam menyucikan Bait dan Menguduskan jemaat.

 

S25. Apakah implikasi rohaniah aspek ini?

 

Jawapan: Kita harus seperti dia dan bertindak seperti dia. Dia menyucikan Bait sebelum memasukinya sebagai Anak Domba Korban. Kita juga patut menyucikan Bait iaitu kita sendiri dalam persiapan untuk Paskah. Justeru Empat belas hari dalam Bulan Pertama itu amat penting bagi penyucian ini dan pengudusan bangsa melalui pengantaraan kita dalam nama Kristus. Tuhan telah memilih kita untuk bertindak bagi Dia dan Kristus dalam membawa umat pilihan kepada jemaat dan penghakiman. Tanpa aktiviti-akviti jemaat kita tidak akan tumbuh atau terus wujud. Dengan pelaksanaan yang betul jemaat akan diperkenankan Tuhan dan akan digunakan Tuhan.

 

Urutan ini adalah untuk jemaat dari 1 Abib hingga 14 Abib dan untuk bangsa dari 15 Abib hingga 21 Abib untuk hari raya Roti Tidak Beragi. Maka bulan Puasa itu mendamaikan bagi Israel dan bangsa-bangsa yang dipanggil ke dalamnya secara progresif.

 

Paskah

 

Yehezkiel 45:21: Pada tanggal 14 bulan itu Paskah harus dirayakan. Ini perayaan tujuh hari dan roti tidak beragi harus dimakan. Raja bertanggungjawab menyediakan korban-korban yang sepatutnya setiap hari dan semua ini digambarkan. Bab ini berakhir dengan perintah bahawa korban-korban untuk Hari Raya tanggal 15 bulan 7 adalah sama. Hari-hari Raya di antaranya tidak disebutkan.

 

 S26. Adakah tiada sebutan ini membawa maksud bahawa hari-hari itu tidak lagi akan dirayakan?

 

Jawapan: Tidak. Perayaan tujuh hari itu dimaksudkan untuk dirayakan kerana ia telah ada dalam semua pemulihan dan setiap perayaan dirayakan tujuh hari. Tiada pengabaian di sini. Kedua-dua perayaan itu sama dan harus dirayakan tujuh hari untuk membabitkan dua aspek jemaat dalam penyelamatan umat itu. Hari-hari Raya perantaraan iaitu Pentakosta dan Sangkakala-sangkakala serta Pendamaian tidak bermaksud bahawa hari-hari ini tidak dirayakan tetapi sebaliknya teks ini mengisahkan kepentingan tujuh hari itu dan korban setiap hari perayaan-perayaan itu dilakukan dengan cara yang sama untuk setiap perayaan. Korban-korban ini mewakili kepimpinan dalam jemaat dan rencana Tuhan dalam struktur Kalendar, dan korban-korban sebagai para pemimpin sistem Tuhan. Aspek ini mempunyai kajiannya tersendiri (lihat karya Tujuh Hari Perayaan [049]).

 

Ini ialah ketetapan milenium. Israel dituntut untuk memelihara semua korban dan upacara itu pada semua perayaan dan Hari raya yang ditentukan. Ia diulangi untuk pengertian kita dan penekanan Hukum (lihat Yesaya 66:23; Zakharia 14:16-19).

 

S27. Adakah Pengudusan itu satu peringatan korban pendamaian Kristus – tidak menunjuk kepada sesuatu di masa hadapan sebagaimana dalam Perjanjian Lama? Pastinya tidak lagi perlu untuk satu lagi korban.

 

Jawapan: Ya. Pengudusan ini adalah berdasarkan korban Kristus dan hakikat bahawa kita sekarang dapat menghadap takhta Tuhan dengan berani hanya kerana penerimaannya.

 

Korban lain tidak lagi diperlukan untuk Mendamaikan. Kita memohon untuk umat kita dalam pengantaraan sebagaimana kita diperintah.

 

Tiada disebutkan penderitaan jiwa yang dilakukan pada Hari Pendamaian – hanya pendamaian untuk Israel dan Bait. Jadi boleh diandaikan bahawa kita tidak perlu berpuasa. Bagaimanapun, apabila kita menguduskan jemaat, ini selalunya dengan satu puasa dan itulah teladan kita melalui para nabi dan Kitab Mazmur. Maka ia dituliskan dalam Hukum kita (lihat Kisah 13:2).

 

S28. Sekiranya Kristus telahpun mendamaikan semua sama sekali, bukankah sebarang usaha kita untuk mendamaikan sekarang mencabar korban Kristus dan sama seperti membuat satu persembahan Hari Pendamaian?

 

Jawapan: Tidak. Kita diperintah untuk berpuasa pada hari Pendamaian dan Kristus telah mendamaikan untuk kita. Justeru dengan pemikiran sebegitu, perbuatan kami pada hari Pendamaian mungkin dilihat sebagai mencabar korban Kristus namun ini tidak mungkin kerana ia suatu perintah Tuhan untuk selamanya. Dengan cara yang sama setiap hari raya menunjuk ke arah aktiviti tertentu dalam rencana Tuhan dan setiap korban juga menunjuk ke arah entiti-entiti dalam aktiviti itu. Kita mengenangi hari-hari itu kepada Tuhan dalam ingatan. Sama seperti itu, kita memperingati Kristus dalam pertemuan Perjamuan Tuhan (P. Suci) pada malam yang sama dia dikhianati dan kita mengambil roti dan anggur selepas pembasuhan kaki bukan untuk menggantinya tetapi untuk memperingatinya.

 

S29. Dengan berpuasa kita boleh meminta Tuhan untuk membantu golongan berdosa tanpa mengetahuinya dan tidak sengaja, namun adakah ia melebar-lebarkan erti Alkitab untuk mengatakan kita boleh membuat pendamaian untuk mereka?

 

Jawapan: Kita mengantara untuk mereka melalui kuasa yang dianugerahkan kepada kita oleh Tuhan melalui Kristus. Kita bukan membuat pendamaian untuk mereka.

 

Bahagian 8

 

Sabat dan Bulan Baru

 

Yehezkiel 46 menceritakan tentang kemasukan raja pada hari-hari Sabat dan bulan baru, dan semua korban pada hari-hari itu.

 

S30. Adakah hari Bulan Baru hari bekerja atau hari Sabat menurut teks?

 

Jawapan: Ia digolongkan sebagai hari tanpa bekerja bersama hari Sabat. Korban-korban itu lebih pada Bulan Baru daripada hari Sabat.

 

Ketika zaman Bait, Imam Besar memasuki Bait pada hari Bulan Baru dan hari Sabat (lihat bawah) dan tiada urusan perdagangan diizinkan pada Bulan Baru dalam Israel Purba. Lihat karya-karya Soalan-soalan Lazim: Bulan Baru [158]; dan Bulan-bulan Baru [125].

 

Kemasukan raja melalui pintu gerbang timur pada hari Bulan Baru dan Sabat tetapi tidak pada hari-hari bekerja, mensahkan pandangan ini.

 

Pintu gerbang timur dalam tembok di atas Gunung Bait sehingga hari ini ditutup, menunggu raja memasukinya pada kedatangannya.

 

Semua orang Yahudi termasuki Yahudi Diaspora merayakan hari Sabat, Bulan Baru, dan pesta-pesta tahunan. (Schurer. E., The History of the Jewish People in the Age of Jesus Christ, vol. III.i, ms 144).

 

Imam Besar hanya wajib mempersembahkan korban penghapus dosa besar pada Hari Pendamaian bagi pihak bangsa (Imamat 16), dan selain ini dia bebas sama sekali untuk mempersembahkan apa saja yang dikehendakinya. Josephus mencatatkan (Wars of the Jews, v. 5,7)  bahawa dia juga mempersembahkan korban harian pada minggu sebelum Pendamaian. Menurut Josephus, dia juga mengadakan korban pada waktu-waktu perayaan Israel, iaitu setiap Hari Sabat, setiap Bulan Baru dan hari Tahun Baru iaitu suatu Bulan Baru. Korban-korban ini jangan dikelirukan dengan persembahan gandum harian yang wajib dipersembahnya dalam namanya sendiri (Schurer, ibid., vol. II, ms 276).

 

Raja-raja juga mengadakan korban di bawah sistem Bait dan khususnya kemudian di bawah golongan Hasmonea.

 

Bahagian 9

 

Pusaka Israel

 

Yehezkiel 47:23 menyatakan bahawa kalau di tengah-tengah sesuatu suku ada tinggal orang asing, di situlah kamu berikan milik pusakanya. Ini ayat Alkitab penting.

 

S31. Ini seolah-olah bermaksud bahawa apabila Milenium bermula orang asing (orang yang tidak insaf) akan hadir di kalangan Keluarga Israel yang akan diterima dalam suku yang memiliki tanah tempat mereka tinggal waktu itu. Adakah ini pengertian yang betul dan adakah perkara lanjutan untuk diketahui di sini?

 

Jawapan: Ya. Orang asing dan pendatang di tengah-tengah kita dibahagikan kepada suku-suku itu dan akan hidup di kalangan kita sebagai bangsa ini. Caranya sama sebagaimana kumpulan berbagai bangsa keluar dari Mesir bersama kita dalam Keluaran dan bangsa-bangsa lain di Kanaan yang terselamat menjadi sebahagian daripada Israel.

 

Bab 47 mengisahkan penyembuhan tanah dan kawasan-kawasan tanah terbabit.

 

Bab 48 mengisahkan kawasan-kawasan suku dan kawasan-kawasan kediaman para Imam, Lewi dan Raja.

 

S32. Daripada pembahagian tanah, dapatkah kita tahu kalau ada sesiapa antara kita yang sudah berada di tanah pusaka kita?

 

Jawapan: Petunjuk tentang pusaka Israel boleh ditemui dalam pembahagian tanah selepas Keluaran. Beberapa suku menerima pusaka mereka di luar Israel dan fakta ini nampaknya menunjuk ke arah kawasan tanah yang bertambah. Kita tahu dengan pasti bahawa Israel mempunyai bangsa-bangsa sekeliling mereka yang bergabung dengan mereka dan meluas hingga Efrat dan Gurun Arab atas Yordan. Keturunan Lot melalui Amon bersatu semula dengan keturunan Israel.

 

Begitu juga kita mempunyai pusaka lain. Pusaka kita sekarang melalui janji-janji yang dibuat kepada Abraham akan menyaksikan orang asing dibahagikan kepada kita sementara kita maju sekarang ke arah Milenium.

 

q