Jemaat Jemaat Allah Al Maséhi

 

[013z]

 

Ringkasan:

Tanda Yunus dan Sejarah Pembangunan Semula Bait Suci [013z]

(Edisi 1.2 19940402-19980822)

 

Tanda Yunus sepatutnya adalah satu-satunya tanda bagi pelayanan Mesias. Tanda tersebut berkaitan dengan pembangunan semula Bait Suci serta nubuatan tujuh puluh minggu bagi tahun itu. Tanda tersebut berlanjutan hingga dan mempunyai kepentingannya bagi zaman kita ini. Nubuatan tersebut masih lagi beroperasi dan berakhir di suatu masa hadapan yang tidak lama lagi. Pemahaman di dalam perkiraan masa bagi pembangunan semula bait suci adalah sangat penting.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 1994, 1998 Wade Cox)

(Tr. 2003)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


 

 

Tanda Yunus dan Sejarah Pembangunan Semula Bait Suci [013z]

 

 


Terdapat tiga versi kisah pembangunan semula Bait Suci:--pertama di dalam Alkitab, kedua adalah Apocrypha pada 1 Esdras dan ketiga oleh Josephus di dalam karya The Antiquities of the Jews pada Buku XI Bab I hingga IV.

 

Semua pihak setuju bahawa Koresh telah menghantar artifak-artifak Bait Suci kepada Sesbazar iaitu Pembesar (Ezra 1:8) atau Pemerintah (Ezra 5:15 atau 1Esdras) bagi Yehuda untuk disimpan sehinggalah pembinaan Bait itu siap. Ianya kemudiannya dibawa balik oleh umat buangan yang kembali.

 

Mezbah Tuhan telah dibina pada bulan ketujuh tahun pertama kepulangan mereka. Kebanyakan daripada umat buangan ini telah kembali ke tempat mereka masing-masing dan bukannya ke Yerusalem (Ezra 3:1-3). Dasar Bait Suci itu belum lagi diletakkan (Ezra 3:6). Kerja dimulakan pada tahun kedua setelah dasarnya diletakkan (Ezra 3:10). Dari masa itu, umat Yahudi sering dikacau di dalam usaha mereka oleh penduduk-penduduk kawasan itu, iaitu orang-orang Samaria kemudian. Mereka bukanlah dari bangsa Israel tetapi merupakan orang-orang Kuta dan Madai, yang ditempatkan semula di Israel setelah kesepuluh suku [Israel] itu dibawa pergi, di mana ini adalah polisi yang sengaja dilakukan oleh Esarhaddon, Raja Asyur.

 

Josephus mengatakan bahawa Zerubabel telah kembali serta-merta selepas dekri Koresh. Surat kepada Ahasyweros adalah surat kepada Cambyses, dan pembinaan tersebut telah disempurnakan pada zaman pemerintahan Darius I. Ezra dan Nehemia kembali sewaktu pemerintahan tersebut dan nabi-nabi Hagai dan Zakharia juga dibangkitkan pada tahun kedua pemerintahan tersebut. Menurutnya, pembinaan itu akan sempurna pada 516 SM. 519-516 SM merupakan masa terawal yang dibenarkan di dalam nubuatan tujuh puluh tahun yang dibuat oleh Yeremia dan yang diulangi oleh Daniel yang menyatakan masa bagi Yerusalem dibinasakan.

 

Bukti Di Luar Alkitab

 

Bukti kesahihan terbaik terhadap kisah Alkitab itu datangnya daripada Surat-surat Aramaik, yang diterjemahkan oleh H.L. Ginsberg dan diterbitkan di dalam The Ancient Near East: An anthology of texts and pictures (ed. James B. Pritchard, Princeton, 1958, muka 278-282), iaitu surat-surat kepada dan daripada orang-orang Yahudi yang berada di Kubu Elephantine. Kubu ini telah diduduki oleh orang-orang Yahudi serta orang-orang Semite lain yang bukan Yahudi sejak zaman kerajaan Mesir pada sebelum penaklukan bangsa Medo-Persia. Suatu Bait yang istimewa sekali telah dibina di situ dan sudah lama berdiri ketika Cambyses menyerang Mesir.

 

Sewaktu pemerintahan Koresh Macrocheir atau Artahsasta I, pencerobohan Athens ke atas Mesir dihentikan pada tahun 454 SM. Pembesar yang dilantik untuk menjaga keadaan adalah seorang Medo-Persia yang bernama Arsames yang telah memerintah daripada tahun 455/4 SM sehingga sekurang-kurangnya 407 SM.

 

Sewaktu sekurang-kurangnya sebahagian daripada masa itu, pemimpin orang-orang Yahudi di dalam pasukan tentera masa itu adalah seorang Yahudi yang bernama Yedoniah. Pada tahun kelima Darius II, iaitu sekitar tahun 420/419 SM, Hananiah, seorang penulis berbangsa Yahudi bagi Arsames telah menulis kepada Yedoniah di Elephantine. Surat tersebut memberitahunya bahawa Darius telah menyampaikan pesanan kepada Arsames, membenarkan perayaan Roti Tidak Beragi bagi pasukan tentera Yahudi itu. Ia juga memberikan butir-butir hari-hari perkiraan perayaan tersebut bermula dengan 14 Nisan.

 

Perayaan ini melalui perintah Darius pada tahun kelima pemerintahannya, adalah perayaan Paskah yang disebutkan di dalam Ezra 6:13-22. Perayaan ini diadakan sempena dedikasi Bait Suci tersebut, yang sepatutnya berlaku pada 419/8 SM dengan berpandukan pada surat-surat di Elephantine itu.

 

Surat tersebut menunjukkan bahawa Bait ini adalah satu-satunya bait yang masih berdiri setelah serangan Cambyses itu. Ia juga menunjukkan bahawa apabila malapetaka itu terjadi, sepucuk surat telah diutus kepada imam besar di Yerusalem yang bernama Johanan (410 SM). Ini membuktikan tanpa sebarang keraguan lagi bahawa Darius dari Persia yang dimaksudkan di dalam Nehemia 12:22 itu adalah Darius Kedua.

 

Pembinasaan Bait di Elephantine itu merupakan permulaan suatu siri pemberontakan Mesir yang bersifat anti-Semitik. Ini bermula pada 410 SM dan berterusan sehinggalah pemerintahan Artahsasta II yang berhadapan dengan suatu pemberontakan Mesir sewaktu kenaikan takhtanya pada tahun 404 SM. Pada 402 SM dia kehilangan Mesir. Pada 401 SM dia terlibat di dalam perang saudara di Persia ketika orang-orang Yahudi taat setia kepadanya dan menerima layanan yang baik.

 

Mitos Dekri Artahsasta

 

Alkitab tidak pernah menyebut tentang adanya sebarang dekri daripada Artahsasta yang berkaitan hal pembinaan Bait Suci kecualilah untuk menghentikan pembinaan, seperti yang dituliskan di dalam Ezra 4:23. Ketika dekri perlengkapan keperluan dikeluarkan, Bait tersebut sudahpun dibina tidak kira ianya dikeluarkan oleh Sasta I atau Artahsasta I atau II. Tidak terdapat sebarang pernyataan di dalam sejarah dahulukala, sama ada berpunca daripada Alkitab atau tidak, yang menyokong hakikat Artahsasta I telah mengeluarkan dekri yang membantu pembangunan Bait Suci ataupun menyediakan keperluan orang-orang Lewi. Ini adalah ciptaan yang lebih moden.

 

Ahli-ahli teologi yang menyokong hal Artahsasta I ini, khususnya berkaitan 2,300 hari itu atau tujuh puluh minggu tahun yang disebutkan di dalam Daniel 9, telah silap. Di mana Alkitab nampaknya berlainan daripada sumber-sumber sejarah, ianya terbukti betul dengan pertambahan pengetahuan.

 

Tujuh Puluh Minggu Tahun

 

Nubuatan tujuh puluh minggu tahun pada Daniel 9:25-27 apabila dikiran daripada dekri Darius II, tamat pada tahun 70 TM. Ianya bermula dengan kepungan Yerusalem yang dilakukan oleh tentera Titus pada 1 Nisan dan berterusan sehinggalah pembinasaan bait itu pada 70 TM. Hal ini tamat dengan penutupan Bait di Leontopolis di Mesir (lihat bawah).

 

Orang Diurap pertama adalah Nehemia yang telah mendirikan semula keimamatan Bait itu pada 372 SM (7 minggu tahun) dan menguduskan hari-hari Sabat serta memulakan pemberian persepuluhan semula. Dia menyiapkan tembok-tembok kubu Bait serta tembok-tembok kota dan telah menyusun semula Yerusalem.

 

Orang Diurap kedua adalah daripada pelayanan Mesias. Namun nubuatan itu merujuk kepada Yerusalem dan kepada fungsi Bait, bukannya kepada zaman pelayanan Mesias. Pendamaian bagi dosa dan kebenaran berkekalan tidak boleh dianggap sudah sempurna atau datang sekiranya undang-undang upacara masih lagi berjalan. Dengan itu, penggenapan nubuatan itu bergantung pada penyingkiran atau pembuangan tempat persembahan korban.

 

Sementara persembahan korban masih berterusan di dalam Bait, pengorbanan Mesias tidak boleh dikatakan sebagai sudah benar-benar menghentikan korban harian itu sungguhpun ini terlaksana dengan kematiannya. Nubuatan ini masih belum tamat, namun bukan sebagai minggu yang dibelah seperti yang didakwa segelintir orang, tetapi di dalam hakikat bahawa penghujung yang telah didekrikan belum lagi dicurahkan ke atas pembinasa itu, iaitu sistem Rom. Ini akan terjadi, menurut Wahyu, apabila kota itu dimusnahkan dan empayar ketujuh/kelapan bagi sepuluh raja itu akhirnya dimusnahkan.

 

Jika dekri itu dikira daripada 516 SM sewaktu pemerintahan Darius I, maka 70 minggu tahun akan berakhir pada 26 SM, yang nampaknya tidak berkaitan dengan apa-apa kejadian yang penting. Umat Kristian moden cuba untuk mengaitkan hal ini kepada 27 TM dan menegaskan bahawa pelayanan Kristus bermula pada masa itu sedangkan ianya tidak. Josephus jelas sekali salah berkenaan permulaan tersebut dan lanjutan-lanjutan yang dibuatnya kepada dinasti Kasdim nampaknya bertujuan untuk melanjutkan pemerintahan mereka bagi melanjutkan tarikh-tarikh kerajaan raja-raja Persia agar memberi kesinambungan kepada nubuatan 70 minggu tahun daripada Koresh.

 

Pengubahsuaian masa pembangunan semula Bait Suci itu daripada Darius II kepada Darius I nampaknya merupakan suatu ciptaan post-Kristian (yang diadaptasi oleh Josephus). Ianya suatu percubaan untuk melemahkan kepentingan nubuatan 70 minggu tahun itu dan kemungkinan sekali adalah tujuan 1 Esdras Apocrypha, yang salah sama sekali.

 

70 minggu tahun itu tidak bermula dari pemerintahan Darius I atau daripada dekri [yang tidak wujud] Artahsasta I, tetapi sebaliknya bermula dari Darius II. Ianya merupakan bukti positif akan kedudukan Mesias Kristus dan tidak memerlukan sebarang usaha mengkaji hal jangkamasa tiga setengah atau tujuh tahun yang tidak sempurna.

 

Tanda Yunus

 

Tanda Yunus merupakan aspek paling penting bagi pelayanan Mesias (rujuk Matius 12:39-40). Ini diulangi di dalam Lukas 11:29-32. Tanda Yunus bukan saja melibatkan tempoh tiga hari tiga malam di dalam perut ikan paus itu, tetapi dia juga memasuki Niniwe, yang lebarnya adalah sebanyak tiga hari berjalan. Setelah berjalan sehari ke dalam kota itu, dia bernubuat kepada Niniwe, yang kemudiannya telah bertaubat setelah diberikan masa 40 hari untuk berbuat demikian (Yunus 3:3-10).

 

Daripada pembaptisan Kristus kita melihat percubaan Iblis selama 40 hari di dalam gurun, sebelum Paskah tahun 28 TM dan sebelum permulaan pelayanan Kristus. Percubaan Iblis selama 40 hari di gurun itu dengan sendirinya beranalogi dengan jangkamasa yang diberikan kepada Niniwe, dan Iblis dihakimi.

 

Sebagai bukti kukuh bagi pelayanan Kristus, Yerusalem diberikan satu tahun untuk satu hari berbanding Niniwe. Peringkat ketiga 40 hari itu adalah, bagi Yehuda, 40 tahun, dan berakhir dengan pemusnahan total Yerusalem pada 70 TM, 40 tahun selepas kematian Kristus. Tidak seperti Niniwe, mereka tidak bertaubat walaupun suatu tanda yang lebih besar diberikan kepada mereka berbanding Yunus di Niniwe.

 

Signifikan utama bagi misi Yunus adalah bahawa misinya itu adalah bagi bangsa luar dan bahawa dia seorang dari antara nabi-nabi Ibrani telah menyebabkan pertaubatan bangsa asing ini. Ini merupakan prototaip kepada peranan Mesias sepertimana yang disebutkan Yesaya 53.

 

Jika golongan Farisi dan Saduki menerima idea bahawa pembinaan Bait itu telah berlaku sewaktu pemerintahan Darius II, maka sudah pasti mereka akan kelihatan bersalah, dan kerana itu mereka terus membuat urutan-urutan [idea-idea] yang palsu dan mengelirukan. Pemutarbelitan yang dilakukan agama Kristian moden sehinggakan 70 minggu tahun itu dikaitkan dengan Artahsasta I adalah bertentangan dengan Ezra dan Nehemia, dan kerana ini ditolak oleh Judaisme. 70 minggu tahun itu tamat betul-betul selepas genapnya jangkamasa 40 tahun yang diberikan untuk pertaubatan Yehuda dan Yerusalem bermula daripada 1 Nisan 70 TM sehingga 1 Nisan 71 TM, bilamana Bait tersebut sudahpun dimusnahkan. Rujukan Kristus terhadap Niniwe dan Salomo menunjukkan kepentingan tempoh Bait tersebut dan penghentian upacara korban. Yerusalem telah dikepung pada 1 Nisan dan ianya dirompak dan Bait itu dimusnahkan pada hari Pendamaian 70 TM. Masih terdapat sebahagian urutan tersebut yang masih belum digenapi.

 

70 Minggu Tahun itu bermula pada tahun pertama Jubli yang baru. Ianya juga jatuh pada tahun kedua pemerintahan Darius II. Pada penghujung Jubli tersebut kita lihat Pemulihan Ezra dan Nehemia (lihat karya Membaca Hukum Bersama Ezra dan Nehemia (No. 250)).

 

Apa yang tidak difahami secara umum adalah bahawa upacara korban masih lagi berterusan di Yehuda setelah pemusnahan Bait itu bagi menggenapi suatu nubuatan di dalam Yesaya 19:19.

 

Ianya difahamkan bahawa suatu Bait telah dibina di Elephantine dan upacara korban berterusan di situ sementara Bait di Yerusalem terlantar musnah daripada pembinasaan Yerusalem oleh orang-orang Babilon. Bait ini terus beroperasi sepenuhnya sehinggalah ia dirompak setelah Bait Yerusalem itu dibina semula sewaktu pemerintahan Darius II. Yerusalem kemudiannya meneruskan peranannya sebagai pusat penyembahan Bait untuk hampir dua abad lamanya sehinggalah abad kedua SM. Yesaya telah menubuatkan bahawa suatu Bait akan dibina di Mesir. Nubuatan ini berkaitan dengan Mesias (Yesaya 19:20) yang akan menebus Mesir. Mereka berada di bawah kuasa Rom pada masa itu dan Mesias benar-benar telah dihantar ke Mesir demi keselamatannya sewaktu masih anak. Ini adalah untuk menggenapkan nubuatan tersebut dan yang ada di dalam Hosea, agar dia boleh dipanggil keluar daripada Mesir sebagai anak Tuhan dan anak sulung Israel.

 

Upacara korban telah berterusan di Elephantine sewaktu tempoh Bait pertama itu dalam keadaan binasa. Tuhan tidak membenarkan Bait ini terus kekal selepas pembinasaan Bait di Yerusalem. Kali ini, Bait yang baru akan dibangunkan dengan batu-batu hidup dan kekuasaan itu dipindahkan daripada Yehuda kepada Jemaat di gurun. Fasa Tanda Yunus ini adalah bagi menghakimi para bangsa selama 40 Jubli. Upacara korban dihentikan sewaktu seluruh jangkamasa 40 Jubli ini. Sesiapa yang cuba untuk memperkenalkan semula upacara korban itu telah dibunuh atau dimusnahkan.

 

Ini menggenapkan 70 minggu tahun itu, iaitu tempoh yang diperuntukkan bagi Bait kedua. Tanda Yunus juga disempurnakan dan Bait ketiga daripada masa ini dipindahkan daripada Yerusalem dan diselerakkan.

 

Bait ketiga, atau khemah suci keempat, dibina dengan blok-blok individu Anak-anak Tuhan yang dilahirkan Roh (Zakharia 3:8-10 dan Zakharia 4). Daripada kedatangan Kristus, yang “menyingkirkan dosa negeri itu dalam satu hari”, kita lihat perkembangannya melalui Zakharia 4:1-3 akan tujuh zaman Jemaat itu dan dua pohon zaitun. Dua pohon zaitun ini adalah dua Orang Yang Diurapi itu dan yang menyalurkan minyak daripada diri mereka melalui dua pipa emas (Zakharia 4:12). Oleh itu, Bait ketiga itu adalah daripada Roh Tuhan dan akan menyempurnakan semua perkara dengan minyak Roh Tuhan. Kerana karunia diberikan kepadanya (Zakharia 4:7). Daripada Zakharia 4:6 kita lihat bahawa segala perkara selepas itu akan terjadi “Bukan dengan keperkasaan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan roh-Ku, firman TUHAN semesta alam.”

 

Kerana ini, Bait kedua atau khemah suci ketiga, terhad dari segi masa. Ia haruslah memberi jalan kepada Bait ketiga dan yang bersifat rohani, khemah suci keempat, dengan tujuh kaki pelita, iaitu tujuh zaman Jemaat (bandingkan dengan Wahyu 2 dan 3). Zaman-zaman ini dinamakan sempena kawasan-kawasan yang terasing daripada Yerusalem dan bermula dengan Efesus sebagai era atau zaman Efesus.

 

Daripada tahun 70 TM, hati Yehuda dikeraskan agar mereka tidak faham kepentingan semua itu. Mungkin juga para penguasa rabinikal masa itu mengetahui kepentingan sepenuhnya nubuatan tersebut dan bahawa mereka terkutuk kerananya. Sejak itu, ciptaan kisah pembinaan yang bermula pada pemerintahan Darius I itu telah mula menyamarkan kepentingan hal tersebut.

 

Bahagian terakhir Tanda Yunus membabitkan empat puluh Jubli. Kita lihat daripada hidup Musa bahawa peringkat ketiga dan terakhir dibayangkan oleh tempoh empat puluh tahun Israel berada di gurun sebelum ia menerima pusakanya. Tempoh empat puluh tahun ini merupakan prototaip empat puluh Jubli. Jubli pertama membabitkan kelahiran Kristus dan pengalamannya sehingga pelayanannya. Yohanes Pembaptis memulakan pelayanannya pada tahun Jubli 27 TM, yang, kerana ianya adalah ulangtahun kelima belas pemerintahan Tiberias, seharusnya jatuh pada bulan Oktober. Jadi signifikannya di sini adalah bahawa dia bermula apabila Jubli bermula.

 

Seperti yang sudah kita lihat, perlambangan pemulihan Yosia adalah pada tahun pertama Jubli yang baru. Ianya benar-benar apa yang dilakukan Kristus. Dia memulakan pelayanannya pada 28 TM selepas Paskah. Oleh itu, tempoh empat puluh Jubli itu melanjutkan Tanda Yunus sehingga kepada penubuhan Milenium itu pada tahun pertama Jubli baru pada Mac/April 2028 TM. Urutan tiga puluh tahun itu adalah antara 1997 dan 2027.

 

Jalan Yang Salah

 

Tumpuan ahli-ahli teologi Protestan terhadap dekri Artahsasta berpunca daripada percubaan-percubaan untuk mengaitkan nubuatan yang terhasil daripada salah tafsir Daniel 9:25 di dalam Alkitab King James Version. Lewat tahun 1830an, William Miller telah memilih ini sebagai tarikh permulaan nubuatan 2,300 tahun itu. Agak mengelirukan bagaimana dia dan orang lain dapat membuat kesilapan ini.

 

Permulaan nubuatan tersebut dinyatakan di dalam Daniel sebagai dari masa tempat kudus dibinasakan dan korban bakaran [yang sentiasa berterusan] di dalam Bait dihentikan. Tempoh ini tidak berpunca daripada, atau berlaku pada masa yang sama dengan, sebarang dekri pembinaan mahupun dekri perlengkapan keperluan.

 

Menerangkan Nubuatan 2,300 Hari


 

Masa terawal yang boleh dipakai bagi nubuatan tersebut adalah masa di mana Yerusalem dicerobohi dan Bait itu dicemari Ptolemy (Soter) pada penghujung 302 SM. Ini meletakkan penggenapan nubuatan ini, seawal-awalnya, pada penghujung tahun 1998. Kerana ini adalah tarikh yang paling mungkin sekali, ini bermakna bahawa segalanya akan genap bermula daripada 1999. Ada yang mengaitkan penghentian korban harian itu kepada Antiochus Epiphanes pada 167 SM, yang akan meletakkan penggenapan nubuatan itu pada 2133 atau 2134, namun ini tidak bersesuaian dengan Daniel 12 ataupun Wahyu. Begitu juga, suatu tarikh 197 SM akan menghasilkan tarikh penggenapannya 2108.

 

Pada 197 SM, Yehuda menjadi wilayah Empayar Seleucid, iaitu waris Timur kepada Alexander dari mana datangnya Antiochus Epiphanes.

 

Tamatnya 70 Minggu Tahun

 

Penamatan nubuatan 70 minggu tahun serta butir-butir berkenaan pembinasaan Bait Suci itu pada 70 TM memerlukan kajian terperinci demi memastikan pemahaman yang betul.

 

Bidang kuasa Yahudi ke atas Bait Suci diakui dan disokong orang-orang Rom. Larangan-larangan terhadap bangsa lain daripada memasuki kawasan-kawasan dalaman Bait itu disokong oleh orang-orang Rom dan hukumannya adalah maut, walaupun dia seorang warga Roma. Orang-orang Rom mengesahkan undang-undang kapital Yahudi terhadap mereka yang bukan Yahudi. Kerana sebab inilah, Paulus terpaksa memohon kepada Maharaja (Kisah 25:9-12) dan itu saja yang telah menghalang Festus daripada memperlakukan Paulus menurut undang-undang Yahudi.

 

Orang-orang Yahudi juga dikecualikan daripada khidmat ketenteraan bagi menghindari konflik dengan perayaan-perayaan serta hari-hari Sabat. Yehuda kekal sehingga 70 TM sebagai suatu unit pentadbiran dengan kerajaan wilayahnya tersendiri.

 

Tentera Rom di Kaisarea, sehinggalah Perang Yahudi tahun 66 TM, kebanyakannya terdiri daripada askar-askar Aram, Kaisarea dan Sebastene.

 

Pembinaan terakhir di Bait itu adalah pembinaan suatu tembok pada bahagian tertinggi bangunan itu yang merupakan sebahagian daripada kawasan dalaman pada sebelah barat, bagi menghalang pandangan Agripa ke dalam pelataran dalaman sewaktu upacara-upacara (Schurer, Vol. I, muka 475). Pemusnahan tembok ini telah dihalang dengan permohonan kepada Nero dan atas pengantaraan Poppea, isteri Nero. Pada waktu ini, para imam besar, kerana dilantik oleh Agripa, mula merebut persepuluhan-persepuluhan dan menyebabkan kematian imam-imam yang lebih miskin kerana kebuluran ((ibid., muka 465, muka 468-470).

 

Menjelang tahun 62 TM, pembinaan terakhir di Bait ini telah siap dan penyingkiran perpuluhan-perpuluhan yang ditetapkan sebagai kebiasaan oleh calon-calon Agripa, bermula dengan Ananus.

 

Dari 62 TM di bawah imam besar Ananus iaitu calon Agripa, ramai daripada keimamatan itu dibunuh. Imam besar khemah suci keempat atau Bait ketiga itu, iaitu Yakobus, Biskop Yerusalem, saudara kepada Yesus Kristus, telah dibunuh (ibid., mukasurat 468). Ini menandakan tamatnya keimamatan Bait itu di Yerusalem dan tamatnya 62 minggu tahun. Pegawai yang baru, Albinus, (62-64 TM) merupakan seorang yang amat jahat, merompak wang kepunyaan umum mahupun peribadi, termasuklah perbendaharaan.

 

Sejak dari itu, keimamatan besar menjadi sarang bagi orang-orang bangsat. Pada tahun 64 TM Nero telah mengisytiharkan penganiayaan umat Kristian di Rom, dan tradisi mengatakan bahawa Petrus dan Paulus telah mati syahid. “Pakatan dengan semua” yang melawan orang-orang Yahudi dan Kristian berleluasa. Pada tahun 68 TM, biara di Qumran telah dimusnahkan, dan Nero juga telah digulingkan.

 

Kumpulan revolusi membentuk amalan menculik keimamatan bagi pertukaran banduan. Tibanya tahun 66 TM, pihak-pihak berkuasa bersama-sama dengan orang-orang Aram et al. memulakan tindakan itu, yang menjadi Perang Yahudi.

 

Dari 1 Nisan 70 TM, Yerusalem dikepung. Pada Hari Pendamaian 70 TM, Bait Suci dimusnahkan dan sejak hari itu, tidak ada Bait mahupun upacara korban dan persembahan sehinggalah penghujung peperangan itu pada tahun 73 TM dengan kejatuhan Masada. Tempoh ini adalah apa yang dicatatkan di dalam Daniel 9:27.

 

Selama satu minggu tahun, tubuh utama umat itu berhenti daripada mengamalkan agama mereka, iaitu daripada 63 TM hingga 70 TM disebabkan pencemaran Bait Suci dan pencurian persepuluhan serta kematian-kematian di kalangan keimamatan. Istilah Pada pertengahan tujuh masa itu ia akan menghentikan korban sembelihan dan korban santapan secara amnya dianggap merujuk kepada setengah daripada satu minggu tahun itu, tetapi ia mungkin merujuk kepada masa selepas pembinasaan daripada tahun 70-73 TM apabila negeri itu terus berperang tetapi tanpa Bait mahupun korban.

 

Oleh itu, 70 minggu tahun itu jelas sekali adalah suatu nubuatan yang digenapi. Setelah kematian James (Yakobus) dan sebelum pemusnahan tersebut pada 70 TM, Jemaat telah melarikan dari Yerusalem dan pergi ke Pella ((ibid., muka 498 & nota 65). Mereka tahu daripada nubuatan bahawa tempoh itu akan berakhir dan Bait tujuh jemaat seterusnya, yang keempat daripada kerub-kerub Yehezkiel yang menutupi (Yehezkiel 1:15), akan bermula. Daripada Pengkhotbah 6:6, Salomo telah menunjukkan bahawa ia mungkin bertahan selama dua ribu tahun. Tanda Yunus kemudiannya maju kepada fasa seterusnya yang paling kurang difahami, iaitu masa bagi bangsa-bangsa lain. Ini akan berlanjutan selama empat puluh Jubli sehinggalah kedatangan kembali Mesias dan permulaan Milenium itu yang disebutkan di dalam Wahyu 20:4.

 

Jemaat di bawah pimpinan Symon anak saudara Mesias, telah kembali ke Yerusalem sekitar 72 TM dan mendirikan jemaat-jemaat Desposyni ataupun yang dimiliki Tuhan. Mereka menyediakan biskop-biskop kepada jemaat-jemaat Asia dan Mesir untuk beberapa dekad lamanya sehinggalah Rom menggantikan mereka dengan orang-orang Yunani.

 

Mungkin kita tertanya-tanya: Apakah yang mungkin terjadi jikalau orang-orang Yahudi telah bertaubat? Jawapannya diberikan oleh rujukan mengenai Israel di gurun di mana para pengintip atau saksi telah diutus untuk mengintip tanah perjanjian tersebut. Mereka tidak mahu menerima pusaka mereka, menyatakan pendirian mereka melawan produktiviti pusaka mereka itu. Tiada seorangpun di atas dua puluh tahun yang telah merungut terhadap Tuhan yang dibenarkan untuk memasuki tanah perjanjian itu kecualilah Yosua dan Kaleb (Bilangan 14:6-7). Anak-anak diberikan masa empat puluh tahun di gurun sebagai gembala-gembala yang merantau demi menjalani hukuman kerana ketidaksetiaan mereka itu. Ini mewakili Yehuda dan Lewi pada zaman Mesias.

 

Empat puluh hari kesaksian itu menjadi empat puluh tahun Tanda Yunus, dari Mesias hinggalah pemusnahan Bait Suci itu. Empat puluh tahun di gurun itu menjadi empat puluh Jubli lamanya tempoh perantauan sehinggalah kedatangan kedua itu.

 

Yehuda mungkin bertaubat dan kita ditempatkan di bawah kepimpinan mereka. Namun mereka tidak berbuat demikian, dan Tuhan memang tahu bahawa mereka tidak akan bertaubat. Kita kemudiannya dipanggil keluar di bawah keadaan-keadaan berbeza. Yehuda akan diberikan pertaubatan tidak lama lagi.

 

Penghujung jangkamasa itu, selama satu minggu tahun, tubuh utama umat itu akan berhenti daripada mengamalkan agama mereka, dan selama setengah daripada masa itu, korban dan persembahan akan berhenti.

 

Kajian terhadap pemusnahan Yerusalem dan Bait Suci menunjukkan bahawa nubuatan ini digenapi pada tahun 70 TM.

 

Ada yang mengajar bahawa penamat yang telah didekrikan akan dicurahkan ke atas pembinasa selama 3 ½ tahun, iaitu tempoh bagi tulah-tulah kemurkaan Tuhan di dalam Wahyu. Sungguhpun benar bahawa tempoh 3 ½ tahun itu akan berlaku, mencuba untuk mengaitkannya kepada nubuatan tersebut adalah suatu usaha yang sangat meragukan. Ada juga yang mengajar bahawa tempoh satu minggu tahun itu diperuntukkan bagi masa-masa akhir. Yang pastinya, tidak ada sokongan terhadap pendapat sedemikian.

 

 

q