Jemaat-jemaat Allah Al Maséhi

[125z]

Ringkasan:

Bulan-bulan Baru [125z]

(Edisi 2.0 19950708-19990810) Audio

Kepentingan alkitab bagi pemulihan Bulan-bulan Baru serta dasar perayaan-perayaan itu di bawah hukum diteliti di dalam karya ini. Amalan-amalan rabbi awal dikaji, bersama dengan teks-teks daripada mana mereka berkerja. Sokongan Perjanjian Baru terhadap perayaan-perayaan Bulan Baru adalah suatu hakikat.

Christian Churches of God

 PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

(Hakcipta ©1995, 1999   Wade Cox)

(Tr. 2003)

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


Bulan-bulan Baru [125z]


Tahun dibuat agar bermula pada bulan persembahan korban, yang mewakili pengorbanan Paskah Mesias. Bulan ini memulakan tuaian yang pertama, iaitu tuaian jelai. Terdapat tiga tempoh penuaian: Paskah dan Roti Tidak Beragi, Perayaan Minggu-minggu, serta Perayaan Pondok Daun atau Pengumpulan. Perayaan Minggu-minggu melambangkan penuaian Jemaat sebelum kedatangan Mesias. Ini adalah suatu proses berterusan.

Posisi Sejarah Umum

Perayaan Bulan Baru, yang dikenali orang-orang Yahudi sebagai Rosh Hodesh, berlangsung pada hari pertama bulan, dengan kemunculan fasa pertama bulan (Hayyim Schauss The Jewish Festivals History and Observance, tr. Samuel Jaffe, Schocken Books, New York, 1938, mukasurat 275). Dengan itu ianya berkaitan dengan kemunculan Bulan yang Baru.

Alkitab menunjukkan bahawa Bulan Baru adalah sama penting dengan tetapi tidak melebihi hari Sabat. Ia lebih penting daripada perayaan-perayaan itu seperti yang akan kita lihat.

Alkitab jelas menyamakan Bulan Baru dengan perayaan-perayaan itu (Bilangan 10:10). Perayaan Bulan Baru adalah suatu hari perayaan dan ianya dikatakan dirayakan pada hari selepas Bulan yang Baru itu dilihat (New Catholic Encyclopedia, Vol. 10, McGraw Hill, NY, 1967, mukasurat 382). Namun, kita tahu bahawa hal ini hanyalah suatu buatan agama Yahudi semata-mata. Philo memberitahu kita bahawa Bulan Baru adalah menurut konjunksi itu.

Ini adalah Bulan Baru, atau permulaan bulan lunar, iaitu tempoh di antara satu konjunksi dengan konjunksi seterusnya, di mana panjang masanya telah dikira dengan tepat di dalam sekolah-sekolah astronomi (Judaeus Philo, The Special Laws, II, XXVI, 140, Persetujuan oleh F.H. Colson (Harvard University Press: Cambridge, MA, 1937)

Tiada sebarang keraguan bahawa Bulan Baru itu semasa dahulukala, adalah sekurang-kurangnya sama penting dengan hari Sabat. Bulan Baru pastinya adalah masa yang suci, dan dirayakan, jika pernyataan beberapa para terpelajar moden dapat dipercayai, pada hari selepas penglihatan Bulan yang Baru. Ini adalah andaian semata-mata yang berdasarkan propaganda rabbinikal kemudiannya. Ianya tidak dilakukan begitu. Permulaan yang baru ini ditandakan dengan korban-korban yang khusus (Bilangan 28:11-15) pada mana sangkakala-sangkakala ditiupkan (Bilangan 10:10; Mazmur 81:3). Pekerjaan biasa tidak dilakukan.

Tahun Baru pada hari Bulan Baru pada bulan pertama Abib mempunyai maksud istimewa (Mazmur 81:3-5; rujuk karya Bulan dan Tahun Baru [213]). Bulan Baru bagi bulan ketujuh juga khususnya dikuduskan (Imamat 23:24-25; Bilangan 29:1-6).

2Raja-raja 4:23 menyarankan bahawa kedua-dua Bulan Baru dan Sabat dianggap sebagai memberi peluang untuk mendapat nasihat daripada para nabi. Yehezkiel menandakan Bulan Baru sebagai hari kebaktian/ibadah yang khusus (Yehezkiel 46:1,3).

Mazmmur 121:6 menyarankan bahawa bulan mampu mempengaruhi individu mungkin daripada perkaitannya dengan fikiran sepertimana yang kita faham mengenai istilah lunacy (gila).

Perayaan Bulan Baru telah kehilangan kepentingannya, namun umat Yahudi sememangnya telah memelihara Bulan-bulan Baru itu sepertimana Jemaat. Namun orang kebanyakan bersikap tidak tentu dan ingin berdagang sepertimana yang telah dilakukan mereka dengan hari-hari Sabat serta Perayaan-perayaan itu.

Bilakah bulan baru berlalu, supaya kita boleh menjual gandum dan bilakah hari Sabat berlalu, supaya kita boleh…(Amos 8:5)

Pendapat Alkitab

Perayaan Bulan Baru adalah salah satu daripada perayaan-perayaan Tuhan. Ia disenaraikan pada Bilangan 10:10.

Korban-korban itu telah digenapi di dalam Kristus. Perayaan-perayaan atau Sabat-sabat itu sendirinya tidak dihapuskan. Persembahan-persembahan korban rohani kini diperlukan bagi setiap hari di dalam urutan Hari Suci, daripada Sabat-sabat kepada Bulan-bulan Baru kepada Perayaan-perayaan. Korban-korban di bawah hukum itu diperuntukkan daripada suatu cukai khas yang diagihkan di bawah tanggungjawab pihak berkuasa kebangsaan. Cukai Raja diteliti di dalam karya Persepuluhan [161]).

Persembahan ini adalah satu perpuluhan minyak dan setengah perpuluhan daripada perpuluhan korban-korban sajian. Ini dikumpulkan oleh raja untuk kegunaan korban-korban Sabat, Bulan Baru, Hari-hari Suci dan persembahan-persembahan (Yehezkiel 45:14-17).

Jadi ianya tidak betul untuk mendakwa bahawa persepuluhan telah dihapuskan bersama dengan korban-korban itu kerana ia jelas sekali disediakan secara berasingan. Teks ini juga adalah berkenaan hasil-hasil sulung daripada Yehezkiel 44:29-30, dan perintah-perintah itu dibuat bagi pemulihan Israel di dalam tanah-tanah negerinya. Dengan itu Mesias akan mendirikan sistem yang kononnya telah dihapuskannya pada penyalibannya, dan Alkitab tidak boleh dilanggar.

Perayaan Bulan Baru dirayakan seperti suatu Shabbatown atau Sabat Suci. Korban-korban dipersembahkan seperti yang kita lihat di atas sebagai suatu peringatan (Bilangan 28:11-15). Kita lihat daripada teks ini bahawa Bulan-bulan Baru seharusnya ada pada setiap bulan sepanjang bulan-bulan tahun. Syarat-syarat yang sama ditetapkan bagi Bulan-bulan Baru sepertimana dengan Perayaan-perayaan lain serta hari-hari Sabat.

Kita lihat bahawa Bulan-bulan Baru adalah sebenarnya perantaraan antara hari-hari Sabat dan Perayaan-perayaan itu. Seperti Perayaan-perayaan ini dan Sabat-sabat, hubungan antara korban-korban serta Bulan-bulan Baru itu telah digenapi di dalam Mesias. Namun begitu, pemeliharaan bulan-bulan itu sendirinya tidak dihapuskan (1Tawarikh 23:31). Pemeliharaan sebegini tidak harus disalahfahamkan dengan pemujaan bulan, yang jelas sekali dilarang (Ulangan 4:19; 17:3).

Pemeliharaan Sabat-sabat serta Bulan-bulan Baru bersama dengan Perayaan-perayaan yang telah ditetapkan telah diberikan untuk menandakan rencana Tuhan serta arus kitar-kitar penciptaan. Kalendar solar tidak dapat melaksanakan tugas ini.

Daripada pemulihan Paskah Hizkia setelah Perayaan Roti Tidak Beragi, Hizkia telah memulihkan Bulan-bulan Baru di samping Perayaan-perayaan itu. Sebarang pemulihan tidak akan sempurna sehinggalah Bulan-bulan Baru itu dipulihkan dengan tepat kepada kedudukan asalnya di dalam sistem itu. Ezra 3:5 juga mencatatkan bagaimana Bulan-bulan Baru itu telah dipulihkan di bawah Ezra. Dengan itu kedua-dua pemulihan utama tersebut membabitkan pemulihan Bulan-bulan Baru (rujuk 2Tawarikh 31:3).

Bulan Baru adalah permulaan atau hari pertama bulan (Bilangan 10:10; 28:11). Sebarang sistem yang berdasar pada pemindahan permulaan bulan adalah tidak sah. Kalendar Hillel tidak sah kerana hakikat ini.

Kalendar lunar adalah tanda Umat Suci. Di dalam catatannya kepada Keluaran 12:2, Mekilta menyatakan bahawa “para bangsa” menentukan melalui matahari, namun Israel melalui bulan.

Bulan Baru dianggap penting bagi pemberian penglihatan serta nubuatan, mungkin daripada 2Raja-raja 4:23 tetapi pastinya daripada Yehezkiel 26:1; 29:17; 31:1; 32:1; (rujuk Yesaya 47:13; Hagai 1:1). Ini secara langsung menyangkal ahli nujum dan penilik bintang daripada sistem Babilon seperti yang kita lihat daripada Yesaya 47:13.

Hari-hari Sabat serta Bulan-bulan Baru memerintahkan perhentian daripada pekerjaan seperti yang kita lihat daripada Amos 8:5. Ianya suatu hari untuk bersukacita. Kesukacitaan yang diperuntukkan bagi Hari-hari Suci telah disingkirkan daripada Hosea 2:11. Ini disebabkan ketidaksetiaan dan keberhalaan. Tuhan membinasa umatNya kerana mereka tidak memelihara hukum-hukumNya. Kemudian Dia merosakkan kekayaan bangsa itu (Hosea 2:12).

Puasa dan ratapan dihentikan pada Bulan-bulan Baru. Kita tahu ini berlaku di seluruh Israel sehinggalah zaman Mesias, daripada Apocrypha (Jth. 8:6). Upacara-upacara itu diumumkan dengan sangkakala-sangkakala (Bilangan 10:10; Mazmur 81:3).

Bulan Baru bagi bulan-bulan yang penting khususnya dipelihara daripada teks-teks (1 Samuel 20:6). Bulan Baru Nisan adalah penting dan begitu juga dengan Bulan Baru Tishri yang merupakan Perayaan Sangkakala-sangkakala (lihat juga karya Sangkakala-sangkakala [136]; rujuk Yehezkiel 45:18-20).

Pentahiran tempat kudus bermula pada Bulan Baru bagi Bulan Pertama (Nisan) yang memulakan tahun kudus (rujuk Penyucian Bait Suci Tuhan [241]). Ini mentahirkan ornag-orang yang berdosa tidak sengaja dan tidak sedar dilaksanakan dari hari Ketujuh Bulan Pertama atau Nisan. Keimamatan telah menyediakan diri mereka serta bangsa itu (rujuk Pengudusan Orang-orang yang Berdosa Tidak Sengaja dan Tidak Sedar [291]).

Bulan Baru bagi Bulan Ketujuh juga adalah penting (Imamat 23:24). Ia memulakan pemulihan itu melalui pembacaan hukum, yang berlaku setiap tujuh tahun di dalam kitar Jubli selama setiap hari Perayaan Pondok Daun (rujuk juga Pembacaan Hukum dengan Ezra dan Nehemia [250]).

Daripada Ulangan 31:10-12 dan Nehemia 8:18, simbolismenya adalah bahawa tahun ketujuh atau tahun Sabat mewakili kitar Milenium selama seribu tahun. Ini bermula dengan kedatangan semula Mesias, yang mengeluarkan perintah hukum itu dari Yerusalem. Hukum itu kemudiannya berkembang ke seluruh dunia daripada penundukan para bangsa. Pembacaan pada Perayaan Sangkakala-sangkakala di dalam pemulihan Nehemia itu menunjuk kepada pemulihan Mesias itu dan daripada Sangkakala-sangkakala (rujuk juga karya Jadual Waktu Ringkasan Segala Zaman [272]).

Bulan-bulan Baru telah dipelihara di dalam Jemaat Kristian di bawah pimpinan para rasul dan sewaktu penyelerakan itu. Cara pemeliharaannya bukanlah suatu hal untuk dihakimi (Kolose 2:16-17).

Jemaat telah memeliharanya sewaktu penyelerakan tersebut dan ia masih lagi dipelihara di Eropah pada abad ketujuh belas (lihat karya Distribusi Umum Jemaat Pemelihara Sabat [122]; dan Para Pemelihara Sabat di Transylvania oleh Samuel Kohn (1894), (terjemahan Inggeris oleh CCG Publishing, 1998). Bulan-bulan Baru telah ditentukan melalui pemerhatian nyata sehinggalah datangnya kalendar Hillel sekitar tahun 358 TM. Setelah kemusnahan bait suci itu, ianya telah menjadi tugas Majlis Rabbi Tertinggi untuk menentukan tarikh tersebut. Sejak abad keenam belas, hari sebelum Bulan Baru telah menjadi hari puasa bagi orang-orang Yahudi yang dipanggil sebagai yom kippur kecil (Interp. Dict. ibid.).

Tiada syak lagi bahawa Bulan-bulan Baru masih harus dipelihara dan bahawa Yehuda tahu bahawa ia harus dipelihara. Namun, tiada kebenaran alkitab bagi hari puasa itu. Penundaan-penundaan kalendar Hillel serta hari puasa sebelum ini, memastikan Yehuda berpuasa pada Bulan Baru, yang dilarang sewaktu zaman Bait Suci.

Pemulihan terakhir akan disempurnakan di bawah Mesias pada kedatangannya seperti yang kita lihat daripada Yesaya 66:20-23. Seluruh Israel akan dipulihkan dan dibawa keluar daripada bangsa-bangsa di dalam Keluaran terakhir ini pada kedatangan Mesias.

Pemulihan hari-hari Sabat serta Bulan-bulan Baru ini akan disertakan dengan pemulihan Perayaan-perayaan (Zakharia 14:16-19). Hari-hari Sabat dan Bulan-bulan Baru diperlakukan dalam cara yang sama bagi perlaksanaan perniagaan. Perdagangan atau tindakan berjual-beli ini adalah dilarang pada Bulan Baru dan hari Sabat (Amos 8:4-6). Sekatan ini adalah suatu masalah berat kepada Israel zaman moden.

Amos terus kepada pernyataan hukuman ke atas Israel kerana kegagalannya di dalam memelihara hari-hari Sabat dan Bulan-bulan Baru dengan betul (Amos 8:8-12).

Kebuluran firman datang sebagai hukuman terhadap ketidaktaatan. Penajisan Sabat serta Bulan-bulan Baru dengan perniagaan dan perdagangan tidak ikhlas yang melanggar hukum itu adalah sebab utamanya. Rumah Yakub telah diselerakkan kerana kesalahan-kesalahan ini namun mereka masih dijaga dan tidak hilang, sama seperti gandum yang disaring dengan penapis (Amos 9:8-15).

Masa ini adalah hari-hari terakhir yang dicatatkan sebagai hari Tuhan. Aktiviti ini berlaku sejurus sebelum pemulihan Mesias. Pemulihan ini mengikuti Pembinasaan Perang Dunia, yang kita jangkakan sebagai pembinasaan termonuklear global Perang Dunia III.

Kengerian ini boleh dielakkan dengan perlaksanaan rencana Tuhan setelah pertaubatan. Bulan-bulan Baru melambangkan sistem tersebut, kerana bersama dengan Sabat dan Perayaan-perayaan itu, mereka menggambarkan rencana Tuhan.

q