Jemaat-jemaat Allah Al Maséhi

[126z]

 

 

 

Ringkasan:

Daud dan Goliat [126z]

(Edisi 2.0 19950715-20000226)

 

Karya ini membincangkan cerita Daud dan Goliat dan mengembangkan maksud penting rohani dan nubuatan bagi aktiviti-aktiviti sekitar pertentangan ini. Tema asas cerita ini berhubung dengan kemenangan Mesias ke atas sistem-sistem dunia.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 1995, 2000   Wade Cox)

(Tr. 2003)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


 

Daud dan Goliat [126z]

 


 

Ramai orang yang tahu cerita Daud dengan Goliat. Ianya satu daripada cerita Alkitab yang sering diceritakan. Kisah ini lazimnya diberitahu untuk menggambarkan bagaimana mereka yang lemah tetapi berani dapat memenangi mereka yang kuat dengan bantuan Tuhan. Namun begitu, terdapat maksud lebih dalam pada cerita ini.

 

Perlakuan cerita ini bermula jauh sebelum Daud bertemu di medan peperangan dengan Goliat. Terdapat suatu siri kejadian yang telah ditetapkan Tuhan untuk berkemuncak di dalam aksi tersebut. Aksi itu melambangkan aktiviti Mesias. Terdapat maksud di sebalik pihak-pihak yang terbabit serta hal-hal yang diperkatakan dan dilakukan orang-orang Israel dan Filistin.

 

Terdapat tema asas sepanjang cerita ini yang berhubung-kait dengan kemenangan Mesias ke atas sistem-sistem dunia. Goliat dari Gat merupakan seorang jaguh orang-orang Filistin. Bangsa ini bukan berasal daripada Kanaan. Mereka tidak berkembang sebagai suatu bangsa dari dalam Kanaan. Mereka telah dipaksa keluar daripada apa yang difahami sebagai kawasan Aegea pada penghujung abad ketiga belas SM. Mereka telah dipaksa keluar oleh suatu siri malapetaka, yang telah memusnahkan tamadun Het di Turki dan juga kuasa bangsa Mycenae. Kota-kota Kanaan utama juga telah dibinasakan dan Mesir juga telah berkurangan kuasanya. Zaman itu ditandakan dengan kekacauan di darat dan rompakan di laut.

 

Alkitab menyatakan bahawa bangsa Filistin atau Filistim datang daripada Kaftor atau Kreta (Yeremia 47:4; Amos 9:7; rujuk Ulangan 2:23). Kerana itu sebahagian daripada pinggir pantai itu dipanggil sebagai Negeb orang Kreta atau Negeb orang-orang Kreti (1Samuel 30:14 lihat RSV). Orang-orang Kreta juga dipadankan dengan orang-orang Filistin (Yehezkiel 25:16; Zefanya 2:5). Bab-bab itu juga mempunyai hubung-kait nubuatan yang berterusan.

 

Pemimpin-pemimpin mereka dipanggil seren, yang hanya digunakan di dalam bahasa Ibrani berkenaan orang-orang Filistin. Jelas sekali ia perkataan daripada bahasa mereka sendiri. Lima kota tersebut membentuk suatu persekutuan. Mereka tidak mempunyai seorang raja yang menguasai semuanya. Terdapat lima pemimpin atau penguasa orang-orang Filistin.

 

Bangsa ini mencapai kemuncaknya, peliknya, dengan penjajahan oleh bangsa Asyur di bawah pimpinan Sanherib pada tahun 701 SM. Mereka tidak benar-benar mencapai kemuncak kuasa mereka, sehinggalah mereka diserap masuk akhirnya oleh bangsa Asyur. Mereka telah menjadi negeri-negeri kota vasal yang makmur di dalam sistem ekonomi imperial Asyur, kerana mereka telah mengadaptasikan dan mengambil masuk ciri-ciri budayanya. Ini akhirnya membawa kepada kepupusan mereka, kerana mereka tidak mempunyai sistem kebudayaan yang khusus, yang membuatkan mereka istimewa. Dengan cara yang sama, agama rahsia Babilon mengangkat dan mengadaptasi. Orang-orang ini telah memeluk sistem agama Babilon dan mereka kemudiannya dimuatkan ke dalam sistem ekonomi Asyur.

 

Tuhan memutuskan untuk mendirikan Israel di dalam tanah perjanjian itu dan sesudah suatu siri malapetaka Israel telah dibawa keluar daripada Mesir. Musuh itu telah memutuskan untuk menghalang bangsa Israel daripada menduduki Kanaan dan menerima janji tersebut. Jadi orang-orang Filistin kemudiannya telah ditempatkan di dalam Israel untuk bercantum dan menghalang penubuhan Israel sebagai suatu negara. Jika mereka berjaya melakukan itu, mereka sudah tentu dapat memastikan bahawa sistem Babilon itu terus kekal unggul di kalangan orang-orang Israel, dan agama yang kita ada tidak mungkin dapat bertumbuh atau berdiri.

 

Perang itu di antara sistem Babilon dengan sistem Judeo-Kristian, masih lagi berterusan dan ia akan diperangi pada hari-hari terakhir. Sistem Babilon adalah sistem keagamaan utama planet ini pada masa ini. Bangsa Filistin mewakili sistem Babilon itu dan mereka telah memperhambakan Israel. Israel memberontak dan orang-orang Filistin menyerang mereka. Tuhan telah berkerja dengan Israel sepanjang masa ini (lihat karya-karya Samson dan Para Hakim [073], dan Bala Tentera Gideon dan Hari-hari Terakhir [022]).

 

Setiap kali mereka kembali berdosa, Tuhan membenarkan mereka disakiti, dan apabila mereka kembali kepadaNya, mereka diangkat semula. Dalam kes ini Dia bertindak lebih terhadap orang-orang Filistin untuk menubuhkan Israel selama suatu tempoh tetap. Dia membangunkan seorang imam yang setia (1Samuel 2:35) yang akan melakukan segalanya menurut kehendak dan fikiran Tuhan.

 

Seorang imam dibangunkan untuk berjalan di hadapan Tuhan selamanya, di hadapan dia yang diurapi, dan orang yang diurapi ini adalah Mesias. Samuel telah mati! 1Samuel 2:36 adalah suatu nubuatan terhadap keimamatan Israel kerana keimamatan itu telah dinajiskan dan ia perlu meminta untuk mendapat makan (1Samuel 2:35-36; 3:1).

 

Samuel telah ditubuhkan sebagai seorang nabi dan Tuhan membuatkan agar tiada kata-katanya yang gagal (1 Samuel 3:19-21). Namun Samuel telah mengumpulkan umat Israel di Silo berdasarkan pada apa yang difahaminya sebagai kehendak Tuhan. Ingat, Yerusalem bukanlah ibu pejabatnya, juga bukan Hebron. Khemah Suci Tuhan berada di Silo (1 Samuel 4:1-11).

 

Di sini kita lihat bagaimana Israel menurut seorang nabi Tuhan namun telah gugur oleh pedang. Reaksi terhadap kesukaran ini adalah dengan bergantung pada kehadiran fizikal Tabut Perjanjian itu. Tuhan sedang menubuhkan Israel dan menetapkan keadaan-keadaan di mana Dia akan mengukuhkan mereka, kerana setiap orang pada tahap ini sedang melakukan apa yang dianggap benar di dalam perhatian mereka sendiri. Mereka tertakhluk pada suku-suku kaum dan tidak ada pentadbiran pusat. Tuhan akan meletakkan mereka di bawah satu pentadbiran pusat.

 

Mereka menganggap mereka akan memenangi pertempuran itu kerana kehadiran fizikal Tabut tersebut. Mereka tidak faham bahawa ianya suatu simbol hukum, sifat serta kehendak Tuhan. Seperti orang-orang Yahudi hari ini mereka tidak melihat maksud rohani hubungan dengan Tuhan.

 

Pada masa itu anak-anak Eli (Hofni dan Finehas) adalah korup. Keimamatan itu korup sepenuhnya di bawah Eli. Samuel adalah seorang nabi Tuhan tetapi dia tidak memperbetulkan kesalahan-kesalahan pada anak-anaknya sendiri, yang dilihatnya semasa bersama Eli pada Hofni dan Finehas. Kerana ini, kepimpinan Israel telah diambil daripada para hakim dan keimamatan, dan diberikan kepada pentadbiran seorang raja. Jadi Tuhan telah membawa Hofni dan Finehas bersama dengan Tabut Perjanjian keluar daripada Silo, dan meletakkan mereka ke dalam suatu keadaan di mana mereka dapat terbunuh kerana mereka telah ternajis dan tidak sesuai untuk mengembalai Tabut tersebut.

 

Tiga puluh ribu orang Israel mati termasuklah anak-anak Eli. Tuhan membunuh imam-imam ini dan menyerahkan Tabut Perjanjian kepada orang-orang Filistin. Ini dilaksanakan khususnya pada tangan nabi yang diurapinya. Ini adalah kerana Israel tidak sesuai berdiri di hadapan Tuhan dalam bentuknya pada masa itu. Lebih-lebih lagi Tuhan mempunyai tugas untuk Israel dan ianya tidak dapat dilakukan di dalam bentuk organisasinya seperti itu. Jadi Tuhan terpaksa merobohkannya dan melenyapkan keimamatan pada masa yang sama.

 

Perpindahan Tabut Tuhan ke dalam tangan orang-orang Filistin adalah juga untuk menunjukkan kepada mereka bahawa mereka menyembah patung-patung berhala yang tidak berkuasa. Patung Dagon dijadikan agar menyembah Tabut tersebut (1Samuel 5:3-5). Ia roboh di hadapan Tabut itu dan kepalanya menghentam ambang pintu. Kepalanya patah berserta tangan-tangannya juga. Pematahan kepala dan tangan-tangan ini adalah berkait dengan konsep pemeteraian umat itu dengan sistem tuhan mereka. Kita dimeterai pada dahi dan tangan-tangan kita oleh fikiran-fikiran kita yang tertumpu pada sistem agama ini dan dengan mengerjakan pekerjaan serta aktiviti-aktiviti sosial sistem itu.

 

Orang-orang Filistin mengalami kematian ramai orang mereka ketika memiliki Tabut Perjanjian itu. Mereka juga dikenakan dengan borok-borok (1Samuel 5:6; 6:4). Mereka telah memberi lima borok emas dan lima tikus emas, satu untuk setiap lima pemimpin bangsa Filistin, sebagai persembahan-persembahan nazar dengan Tabut itu dengan pengembaliannya setelah tujuh bulan (1 Samuel 6:1-14). Mereka memilikinya selama tujuh bulan dan ia hanya mendatangkan kesusahan bagi mereka. Tuhan memberi kesaksian melalui tindakan ini kepada kedua-dua Israel dan Filistin.

 

Tuhan sedang mendirikan suatu sistem sebagai warisan untuk Mesias. Pertama sekali, monarki tersebut telah didirikan melalui nabi Samuel, di dalam keturunan Saul dari suku Benyamin. Benjamin merupakan suku paling rendah tarafnya dan sememangnya hampir lenyap kerana perbuatan sumbang sebelumnya (Hakim-hakim 20 dan 21).

 

Bangsa itu tidak mempunyai keberanian, ataupun iman, untuk percaya bahawa Tuhan akan menyingkirkan Yoel dan Abia (anak-anak Samuel) sepertimana Dia telah menyingkirkan Hofni dan Finehas. Mereka mengingini Raja mereka sendiri dan Tuhan membenarkan penubuhan keturunan raja, dan takhta itupun telah didirikan bagi Mesias (1Samuel 8:1-22).

 

Samuel memberi amaran kepada mereka mengenai betapa sukar lagi kehidupan mereka nanti di bawah seorang raja (1Samuel 8:10-14); mereka akan mendapat bebanan lebih kerana persepuluhan juga akan diperuntukkan ke dalam pentadbiran raja untuk kegunaannya sendiri (1Samuel 8:15-17).

 

Namun umat itu mengingini seorang yang besar dan kuat; seorang yang mampu keluar dan berlawan satu-lawan-satu. Pada zaman itu pertempuran biasanya diputuskan dengan satu-lawan-satu. Tentera-tentera membiarkan jaguh-jaguh mereka berlawan dan dengan cara ini tidak perlu untuk ramai orang mati.

 

Di sini Tuhan sedang menetapkan di dalam fikiran Israel bagaimana keadaannya seorang raja di bawah sistem rohani yang salah. Dalam cara yang sama Dia telah menubuhkan para hakim dan sistem di bawah pimpinan para nabi sebelumnya. Proses ini adalah untuk menunjukkan kelemahan sistem pemerintahan itu. Dia kemudiannya akan membangunkan sistem itu melalui Daud kepada Mesias.

 

Israel ditawan dan dipisahkan daripada Yehuda. Mesias perlu berasal daripada Yehuda di bawah belenggu Roma pada abad pertama agar Jemaat dapat didirikan sebagai fasa kemudiannya. Dia mula-mula sekali mendirikan keturunan raja itu di dalam Benyamin tetapi kemudiannya memindahkannya kepada Yehuda.

 

Allah mengutus Saul kepada Samuel (1Samuel 9:15-21). Rakyat berada di bawah jajahan dan mereka merayu pada Tuhan dan itulah sebabnya kenapa Dia bertindak. Tuhan memilih untuk membangunkan seorang raja daripada puak paling kecil sekali, daripada suku Israel yang paling kecil. Saul diberi penghormatan tetapi tidak mengetahui apakah sebabnya (1Samuel 10:1-12).

 

Samuel memberitahu Saul untuk menunggu tujuh hari sehinggalah dia datang untuk memberitahunya apa yang patut dia lakukan. Simbolismenya di sini adalah berkenaan persembahan korban dan roti dan pemberian kepada raja menurut hukum. Alkitab mengatakan bahawa raja itu akan membuat salinan hukum itu bagi dirinya sendiri untuk menyediakan dirinya untuk memerintah Israel. Ianya suatu syarat bagi setiap pemimpin untuk menyediakan dirinya dengan mengkaji hukum itu.

 

Dua roti hukum itu telah diberikan kepada Saul untuk melambangkan pemberian hukum itu serta pengetahuan Alkitab kepada Saul sebagai raja. Roh hukum itu kemudiannya turun kepada raja itu untuk melaksanakan peranannya sebagai pemimpin. Ini adalah untuk menunjukkan bahawa di bawah monarki itu, kuasa kepimpinan serta Roh Kudus akan diletakkan di atas raja, sepertimana akhirnya dengan Daud. Kini Saul perlu tunggu selama tujuh hari, dan ini memperlihatkan dirinya dalam keadaan tertekan.

 

Allah telah memberikan kepada Israel seorang raja yang kenampakannya seperti seorang yang bersifat diraja dari segi luaran. Saul cuba untuk menghindari tanggungjawabnya pada mulanya dan Tuhan tahu apa yang akan dia lakukan daripada hatinya. Penggantinya Daud, jelas berlainan. Namun begitu, Tuhan menubuhkan Saul sebagai raja. Setelah Samuel tua, dia mempertanggungkan Israel dengan tanggungjawab-tanggungjawab mereka terhadap raja (1Samuel 12:13-25).

 

Saul diberikan tugas-tugas khas dan juga ajaran melalui nabi itu. Ketidaktaatannya akan mengakibatkannya kehilangan kerajaannya. Aspek kehilangannya ini yang terbabit di dalam persembahan korban di Mikhmas tidak difahami sepenuhnya (1Samuel 13:1-15). Orang-orang Filistin tentu sedar bahawa, oleh kerana Israel disatukan di bawah seorang raja, mereka kini mempunyai peluang yang lebih besar untuk menghapuskan mereka serta pemerintahan ke atas mereka.

 

Samuel telah mengatakan bahawa dia akan datang pada suatu waktu tertentu. Saul memikirkan bahawa dia telah melambatkan kedatangannya itu. Dengan itu dia menganggap dia boleh melakukan tugas-tugas nabi itu. Samuel belum lagi berhenti daripada menjadi hakim Israel, jadi tanggungjawab-tanggungjawabnya belum dipindahkan sepenuhnya kepada raja. Samuel masih lagi berkuasa sebagai seorang nabi. Saul hanya memikirkan bahawa Samuel lewat, namun dia telah salah mengira masanya. Ini mempunyai kaitannya dengan hari-hari terakhir dan kedatangan Mesias, apabila mereka mengatakan ‘Tuhanku telah melambatkan kedatangannya’. Ianya juga menunjukkan betapa perlunya penurutan mutlak kepada kekuasaan Tuhan melalui nabinya.

 

Ujian para nabi Tuhan adalah bahawa mereka berbicara sesuai dengan hukum dan kesaksian itu (Yesaya 8:20). Jika tidak, maka tidak ada terang di dalam mereka. Hak diraja Saul telah disingkirkan kerana dia tidak menurut pendahulunya yang telah mengurapinya. Dia telah disingkirkan dan Tuhan menyediakan seorang yang lain. Dalam kes ini ianya dilaksanakan melalui nabi yang sama yang belum lagi mati.

 

Cerita ini menunjukkan bagaimana Saul juga berdosa dengan menghitung bala tentera Tuhan yang hidup. Daud juga akan membuat dosa ini. Disebabkan dosa Daud, 70,000 orang gugur. Ini berkait juga kepada hari-hari terakhir. Pengiraan tujuh hari ini berkait dengan jangka masa. Saul memulakan perkiraannya sehari lebih awal. Dia mengambil kira hari-hari sebahagian, kerana itu, dia sehari lebih awal. Dia tiba pada hari keenam bukannya hari ketujuh dan Samuel tidak ada di situ.

 

Tuhan telah menghantar satu lagi perintah kepada Saul melalui Samuel mengenai orang-orang Amalek, yang mempunyai aspek-aspek penting kemudiannya (1Samuel 15:1-23). Perkara penting di sini adalah bahawa penurutan yang diingini Tuhan adalah untuk hasil jangka panjang. Umat itu diberitahu untuk menghapuskan anak-anak, mahupun anak-anak kecil orang Amalek. Bangsa Amalek akan menjadi ancaman pembinasaan Yehuda pada kemudian hari. Keturunan Agag iaitu Haman merupakan penghasut utama di dalam buku Ester (lihat Komentar Mengenai Ester [063]).

 

Ancaman terhadap keselamatan Israel ini juga berkait kepada hari-hari terakhir. Bahagian ini merujuk kepada pemerintahan diraja di bawah Mesias seperti yang kita lihat daripada perkembangan teks ini (1Samuel 15:24-29).

 

Sebarang pemimpin kepada umat Tuhan yang tidak setia dan taat kepada hukum itu, melepaskan haknya untuk memerintah. Samuel telah membunuh Agag dengan tangannya sendiri dan kemudiannya memutuskan segala perhubungan dengan Saul sehinggalah hari kematiannya (1Samuel 15:35) namun dia tidak berhenti meratap untuknya mahupun berdoa. Kita juga tidak harus berhenti meratapi mahupun berdoa bagi para pemimpin umat kita sungguhpun mereka berdosa.

 

Tuhan kemudiannya mempertanggungkan Samuel dengan pengurapan Daud (1Samuel 16:1-7). Saul seorang yang besar dan kuat dan tinggi, namun dia salah. Tuhan melihat hati dan dia tahu apa yang patut dilakukan (1Samuel 16:10-23).

 

Apabila Daud diurapi, roh Tuhan turun kepadanya. Dia kemudiannya dapat melakukan perbuatan-perbuatan besar di dalam roh sungguhpun dia bukan raja. Itu juga adalah suatu pengajaran bagi umat-umat pilihan. Kesemua kita adalah raja-raja; yang diurapi daripada pembaptisan dan peletakan tangan ke atas kita. Kesemua kita boleh melakukan perbuatan-perbuatan besar di dalam roh. Roh Tuhan ada pada semua kita.

 

Daud mempunyai kuasa melalui Roh Kudus ke atas iblis setan, dan begitu juga dengan kita. Daud telah diurap sebagai pewaris raja dan ditempatkan di dalam istana raja pada kedudukan paling rendah agar dia dapat belajar seni peperangan dan kedamaian. Dia telah dikaruniakan dengan roh Tuhan agar dia dapat melakukan perbuatan-perbuatan besar. Daud kemudiannya ditubuhkan sebagai seorang pemimpin Israel melalui peristiwa yang menakjubkan (1Samuel 17:1-11).

 

Goliat adalah lebih kurang sepuluh kaki tingginya, dengan senjata-senjata yang sangat besar. Daud tiba di medan pertempuran itu untuk menghantar satu efa gandum dan sepuluh roti kepada abang-abangnya (1Samuel 17:17-54).

 

Daud sangat bijaksana dan Roh Kudus ada bersamanya. Dia melihat kesan gergasi ini terhadap tentera itu. Mereka kehilangan semangat setiap hari kerana tiada seorangpun yang mahu melawannya. Kita juga harus berbicara tanpa takut walaupun kita kecil, kerana kita berlawan untuk tentera-tentera Tuhan yang hidup. Kita tidak boleh takut akan apa yang kita lakukan. Daud mempunyai tujuan dan dia memahami tujuan Tuhan. Dia memahami melalui Roh Kudus bahawa tiada satu apapun yang dapat menahan tentera-tentera Tuhan yang hidup.

 

Perisai Tuhan diuji dan disahkan. Daud membuka senjata-senjata yang telah diberikan kepadanya. Dia membawa tongkatnya di dalam tangannya dan dia memilih lima batu licin daripada sungai dan memasukkannya ke dalam kantung gembala. Daud tidak memilih untuk melawan tentera-tentera Filistin serta jaguh-jaghuh Filistin dengan senjata-senjata biasa dunia ini. Sistem Babilon tidak akan dikalahkan dengan senjata biasa dan dengan sistem-sistem dunia ini.

 

Senjata-senjata kita bukanlah senjata-senjata fizikal dan kekuatan kita adalah di dalam Roh Kudus. Senjata kita mempunyai kekuatan untuk merobohkan kota-kota kubu dan itu adalah senjata hari-hari terakhir. Itu adalah pertempuran hari-hari terakhir.

 

Ini dia seorang muda tanpa sebarang senjata, yang berbicara dengan seorang gergasi yang lengkap bersenjata setinggi sepuluh kaki, yang mempunyai seorang pengangkat perisai yang mampu membunuh Daud sendiri. Jadi dia berhadapan dengan dua orang. Goliat dibunuh dengan satu batu. Daud datang di dalam nama tentera-tentera Tuhan yang hidup. Pemusnahan kuasa bangsa-bangsa adalah sama bagi hari-hari terakhir.

 

Gergasi-gergasi juga dikaitkan dengan Nefilim yang merupakan hasil angkatan surgawi yang telah jatuh (lihat karya Nefilim [154]). Goliat dari Gat merupakan seorang gergasi dan Israel pada abad pertama memahami gergasi-gergasi ini sebagai keturunan Nefilim. Mereka mewakili sistem kemurtadan itu; sistem ciptaan para iblis. Maka begitulah sistem tersebut akan ditukarkan melalui tindakan-tindakan raja baru, iaitu Mesias.

 

Lima batu di dalam kantung gembala itu adalah lima jemaat yang mengambil bahagian di dalam kebangkitan pertama itu. Jemaat-jemaat Sardis dan Laodikia tidak mengambil bahagian di dalam kebangkitan pertama sebagai entiti-entiti penuh. Jemaat-jemaat ini hanya mempunyai individu-individu yang dapat memasuki Kerajaan Tuhan. Jemaat Sardis mati sementara jemaat Laodikia dimuntah keluar daripada mulut Tuhan. Khabar malaikat pertama adalah suatu proses yang sedang berlangsung, yang berkemuncak di dalam kuasa hari-hari terakhir. Hasil akhir proses itu adalah pembinasaan sistem agama palsu Babilon seperti yang kita lihat daripada khabar malaikat sebelumnya (Wahyu 14:6-12).

 

Langsung daripada khabar malaikat pertama akan memulakan kejatuhan Babilon seperti sebiji batu daripada umban raja Israel. Tujuan pertempuran ini antara Daud dan Goliat adalah agar tentera-tentera Tuhan akan tahu bahawa Tuhan menyelamatkan bukan dengan keperkasaan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan roh-Ku, firman TUHAN semesta alam (Zakharia 4:6).

 

Dengan cara yang sama tuhan Filistin telah jatuh, begitu juga dengan jaguh mereka. Meterai Tuhan adalah pada dahi, dan batu ini, khabar Allah yang hidup ini, akan menghentam sistem mereka di mana mereka dimeteraikan, dalam nama tuhan mereka. Ia membunuh jaguh mereka dan dia jatuh dengan mukanya ke tanah.

 

Pada hari-hari terakhir kita tidak akan memerlukan pedang dan kita akan memusnahkan tentera-tentera tuhan dunia ini. Kita akan membinasakan berjuta-juta pada hari-hari terakhir dan tidak ada pedangpun di dalam tangan kita.

 

Kepala sistem ini disingkirkan dengan pedangnya sendiri. Dalam cara yang sama, Mesias akan membawa turun ke lembah pengadilan, semua tentera dunia ini pada hari-hari terakhir, dan akan membunuh mereka dengan senjata-senjata mereka sendiri. Kesemua bangsa ini akan dibawa turun dan tentera-tentera mereka dihapuskan. Akan ada cukup sumber-sumber fizikal daripada tentera-tentera ini untuk menampung keperluan Israel selama seluruh Milenium itu.

 

Ini bukan sekadar suatu cerita mengenai seorang muda yang membunuh seorang gergasi setinggi sepuluh kaki dengan sebiji batu umban. Ini adalah cerita Mesias dan pemerintahan diraja yang ditubuhkan oleh tangan Tuhan yang hidup. Sistem-sistem dan senjata-senjata dunia ini serta cara-cara berperang yang diajar Iblis kepada umat kita akan disingkirkan. Senjata-senjata mereka sendiri yang akan akhirnya memusnahkan sistem Iblis, dan menempatkan umat kita di bawah Mesias di Yerusalem. Peletakan kepala itu di Yerusalem adalah untuk menunjukkan bahawa kerajaan serta sistem agama itu akan berpusat di Yerusalem.

 

 

q