Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

[156z]

Ringkasan:

Kalendar Tuhan [156z]

(Edisi 2.2 19960316-20000320)

Kalendar yang ditetapkan Tuhan telah dimulakan pada penciptaan. Ia tidak bergantung pada manusia atau pada sebarang sistem pemerhatian untuk ditentukan. Umat Kristian diwajibkan oleh hukum dan kesaksian Alkitab untuk memelihara kalendar ini dan bukan yang lain.

Christian Churches of God

 PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

(Hakcipta © 1996, 1999, 2000 Wade Cox)

(Ringkasan oleh Diane Flanagan, Diedit oleh Wade Cox)

(Tr. 2005)

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


Ringkasan: Kalendar Tuhan

Kalendar sistem Yahudi sekarang ini bukanlah kalendar yang digunakan ketika zaman bait suci dan sebelumnya.

Pada abad kelima SM ahli astronomi Meton telah mereka satu sistem untuk membuat interkalasi sebulan sebanyak tujuh kali dalam kitar 19 tahun. Namun begitu, nampaknya tamadun-tamadun lain sudah lama memiliki pengetahuan ini sebelum Meton.

Sewaktu zaman Bait Suci di Yerusalem, orang Samaria menggunakan suatu kalendar yang berasaskan konjunksi. Mereka masih menggunakannya hari ini. Mereka memulakan hari pada waktu gelap dan memelihara perayaan dua hari untuk hari ke 14 dan 15, seperti mana Jemaat-jemaat pemelihara Sabat telah lakukan selama dua ribu tahun (rujuk Peranan Hukum Keempat di dalam Jemaat-jemaat Tuhan Pemelihara Sabat dalam Sejarah (No. 170), edisi 1998).

Bagaimanapun, mereka berbeza dalam penentuan ekuinoks dan permulaan tahun. Ini menjadikan kalendar Samaria lewat sebulan daripada kalendar Bait kira-kira enam puluh peratus masanya, walaupun kedua-duanya ditentukan mengikut konjunksi. Lihat karya-karya Bulan dan Tahun Baru (No. 213) dan Yerobeam dan Kalendar Hillel (No. 191).

Judaisme rabbinikal telah memperkenalkan perayaan-perayaan dan sistem-sistem pagan ke dalam kalendar mereka dari Babilon. Rosh HaShanah atau Tahun Baru yang dirayakan pada bulan tujuh, Tishri, tidak diperkenalkan ke dalam Judaisme sehinggalah zaman selepas Bait dalam Abad Ketiga. Tishri bermakna “segala permulaan.”

Pada tahun 358 TM Rabbi Hillel II telah memperkenalkan sebuah Kalendar Yahudi yang mengandungi penundaan (penangguhan). Ini mengelakkan hari Sabat yang bersusulan dan melambatkan hari Sangkakala-sangkakala (lihat karya Kalendar dan Bulan: Penundaan atau Perayaan? (No. 195)).

Orang Farisi telah menuduh Kristus sebagai orang Samaria, kerana dia tidak sehaluan dengan ajaran-ajaran serta tradisi-tradisi mereka (Yohanes 8:48). Dia memelihara perayaan-perayaan Bait, yang berdasarkan sistem Saduki dan Samaria yang ditentukan oleh konjunksi, iaitu sistem Bait asal.

Kalendar Tuhan

Pada hari keempat penciptaan Tuhan menjadikan benda-benda penerang untuk memisahkan siang dari malam, dan sebagai tanda untuk menunjukkan masa-masa tetap dan hari-hari dan tahun-tahun.

Kalendar Tuhan ditentukan oleh benda-benda cakerawala. Bilangan 28 dan 29 mempunyai senarai lengkap hari-hari ibadah. Persembahan Unjukan Berkas dimasukkan dalam Imamat 23 walaupun ia bukannya Hari Kudus. Ianya penting kepada Perayaan Roti Tidak Beragi dan merupakan elemen utama Tuaian-tuaian Tuhan.

Bulan merupakan faktor penentu kalendar dan bukannya matahari. Matahari hanya berguna untuk waktu siang saja dan sebagai paksi bagi permulaan tahun dari ekuinoks (Mazmur 104:19).

Terdapat dua musim yang disebutkan dalam Alkitab (Kejadian 8:22; Mazmur 74:17).

Hari

Petang dan pagi merupakan hari. Petang mendahului waktu siang (Imamat 23:32; Kisah 27:27-33). Istilah petang atau matahari terbenam diberi definisi lanjut dalam Nehemia 13:19. Hari Tuhan bermula pada waktu gelap dan berakhir pada waktu gelap hari berikutnya (EENT).

Dalam masyarakat hari ini terdapat tiga istilah deskriptif berhubung waktu senja: 1) Senja Sivil yang berakhir apabila matahari berada enam darjah dari ufuk dan yang digunakan bagi lampu-lampu jalanan; 2) Senja Nautikal Penghujung Petang (EENT) adalah pada dua belas darjah; dan 3) Senja Astronomikal Penghujung adalah pada lapan belas darjah di bawah ufuk. Pada EENT, ianya gelap. Pada BENT ianya mula gelap di ufuk.

Pada 1812, hari masih bermula dan berakhir pada senja petang dalam Islam dan di tempat lain malah di Eropah sekalipun, atau matahari terbenam di kalangan orang Itali. Lihat karya-karya Peranan Hukum Keempat di dalam Jemaat-jemaat Tuhan Pemelihara Sabat dalam Sejarah (No. 170) dan Kalendar Tuhan (No. 156).

Gereja Roman Katolik menggunakan tengah malam sebagai permulaan untuk hari. Hari umumnya difahami sebagai kedua-dua tempoh dua belas jam dan dua puluh empat jam.

Minggu

Istilah bagi minggu dalam Ibrani diambil dari perkataan shabuwa atau shabua (SHD 7620). Perkataan ini diperolehi dari perkataan shaba’ (SHD 7650) yang bermakna menjadi lengkap atau menjadikan diri sendiri tujuh.

Minggu juga bermakna Sabat yang lengkap atau sempurna, yang hadir dalam hukum pada waktu Pentakosta (Imamat 23:15-21). Perhitungan bagi Pentakosta bermula pada hari Minggu dalam tempoh perayaan Roti Tidak Beragi. Maka tujuh minggu sempurna, dan tidak bercela digenapi dan Pentakosta jatuh pada hari ke 50, yang selalunya adalah hari pertama minggu – hari Minggu. Ia tidak mungkin jatuh pada Sivan 6 seperti yang didakwa orang-orang tertentu. Lihat karya Perhitungan Omer ke Pentakosta (No. 173).

Orang Samaria serta Jemaat telah memelihara Pentakosta pada hari Minggu (seperti di atas) dan tidak pernah berubah dalam amalan ini sejak abad pertama. Hanya Judaisme saja yang telah mengubah pemerhatian-pemerhatiannya kerana mereka memperkenalkan tradisi-tradisi dari penawanan Babilon itu. Jemaat Trinitarian memanipulasi tarikh Easter agar Pentakosta mereka boleh jatuh pada minggu yang lain, namun ia selalunya pada hari Minggu.

Minggu Tujuh Hari

Konsep minggu tujuh hari ditentukan dari Keluaran 20:8-11. Minggu terdiri daripada enam hari bekerja yang berakhir dengan hari ketujuh hari Sabat.

Bulan

Istilah bulan (month) diambil dari perkataan bagi bulan (moon). Perkataan Ibraninya adalah chadash atau chodesh (SHD 2320) yang bermakna Bulan Baru – dan dengan itu, ia bermakna satu bulan. Dari segi sejarah, bulan bermula dengan Bulan Baru.

Perkataan ini berkaitan dengan SHD 2314 châdar yang bermakna mengelilingi atau meliputi, menyembunyikan atau menyelindungi. Ertikata istilah ini jelas menunjukkan Bulan Baru dalam kegelapan penuh dan bukannya bentuk sabit yang kemudian. Lihat karya Anak Lembu Emas (No. 222).

Bulan Baru merupakan titik utama bulan. Ia membentuk asas perhitungan waktu-waktu dalam sebulan. Begitulah keadaannya dengan semua Hari-hari Kudus (lihat karya-karya Bulan-bulan Baru (No. 125); Bulan-bulan Baru Israel (No. 132); dan juga Tuaian-tuaian Tuhan, Korban-korban Bulan Baru dan Umat 144,000 (No. 120).

Bulan-bulan dalam Tahun

Terdapat dua belas bulan dalam tahun (1 Raja-raja 4:7; 1 Tawarikh 27:1-15). Bulan-bulan ini umumnya mempunyai panjang 30 hari dan begitulah caranya mereka dirujukkan secara nubuatan (Kejadian 7:11; 8:3-4; Bilangan 20:29; Ulangan 21:13; 34:8; Ester 4:11; Daniel 6:7-13). Sebuah bulan ke 13 diinterkalasi atau dimasukkan 7 kali dalam kitar 19 tahun.

Peraturan untuk interkalasi adalah bahawa waktu ekuinoks harus lebih awal dari korban jam 3 p.m. pada petang 14 Nisan. Jika tidak maka tahun itu harus diinterkalasi. Ini dihitung dan memang dihitung berbulan-bulan dan bertahun-tahun lebih awal (rujuk ANF, Vol. VI, halaman 147 dan seterusnya; dan karya Pertikaian-pertikaian Quartodeciman (No. 277)).

Bulan Paskah, iaitu Nisan atau Abib adalah permulaan tahun (lihat juga Bilangan 9:1-3; 33:3; Yosua 4:19; Yehezkiel 45:18,21. Permulaan ini melambangkan penebusan Israel milik Tuhan dari sistem dunia (Galatia 1:4; Wahyu 14:4).

Tahun bermula dengan bulan baru yang paling dekat dengan ekuinoks vernal (musim bunga) apabila matahari berada dalam Aries (Jos., Ant. 3.201 [lebih baik melihat Ant. (Antiquities of the Jews) III.x.5]), dan Paskah pada hari keempat belas Nisan berkebetulan dengan bulan penuh pertama (Keluaran 12:2-6). Pemerhatian ekuinoks musim luruh, iaitu, ‘waktu tahun keluar’ (lihat Keluaran 23:16), pemerhatian ekuinoks musim bunga atau vernal, yang dipanggil ‘waktu tahun kembali’ (1 Raja-raja 20:26; 2 Tawarikh 36:10), adalah penting bagi mengawal kalendar serta perayaan-perayaan.

Kaedah penentuan bulan Pertama Tahun adalah bahawa waktu Paskah pada hari 14 dan 15 Nisan harus jatuh selepas ekuinoks. Hari persediaan iaitu hari Keempat belas boleh jatuh pada ekuinoks, tetapi hari Kelima belas harus jatuh selepas ekuinoks. Kedua-dua ini adalah peraturan-peraturan penentu sehinggalah revisi di bawah Rabbi Hillel II dikeluarkan pada 358 TM.

Bulan-bulan diberi nombor dalam turutan agar tahun itu dapat dikenalpasti dan tidak dikelirukan kemudiannya (Keluaran 12:2; 13:4; 2 Tawarikh 30:2; Nehemia 8:2). Bulan-bulan serta rombongan tugasan para imam semuanya disenaraikan dalam 1 Tawarikh 27:1-15.

Hari-hari Raya bergantung pada Bulan-bulan Baru untuk tarikhnya yang tepat. Paskah harus jatuh sama tempoh dengan tuaian pertama, yang menyusuli ekuinoks. Abib bermakna bulir hijau; ianya waktu apabila gandum dipotong dan diunjukkan sebagai Unjukan Berkas pada pagi selepas Sabat mingguan ketika Roti Tidak Beragi. Korban jam 9.00 a.m. ini memulakan perhitungan omer ke Pentakosta.

Tahun didasarkan pada tahun simbolik atau nubuatan yang mempunyai 360 hari, iaitu dua belas bulan dengan 30 hari masing-masingnya (lihat karya Tuaian-tuaian Tuhan, Korban-korban Bulan Baru dan Umat 144,000 (No. 120)). Ini dikenali sebagai masa. Tempoh ini juga boleh diperluaskan secara nubuatan pada dasar setahun untuk sehari dan menjadi 360 tahun. Tujuh masa adalah 2,520 tahun, di mana setengah daripadanya (atau 1,260 tahun) adalah satu masa, dua masa dan setengah masa dalam Daniel 12:7.

Korban Unjukan Berkas, bila dipasangkan dengan perayaan-perayaan dan Bulan-bulan Baru, mempunyai signifikans yang besar. Lihat karya Tuaian-tuaian Tuhan, Korban-korban Bulan Baru dan Umat 144,000 (No. 120). Bulan-bulan interkalari mempunyai hubungan dengan pentadbiran Tuhan dalam Israel dan juga dalam sistem cakerawala. Lihat karya Bulan-bulan Baru Israel (No. 132). Semua aktiviti-aktiviti Tuhan dalam penciptaan melibatkan simbol-simbol (lihat karya Perjanjian Tuhan (No. 152)).

Bulan-bulan Baru adalah penting kepada ibadah Allah Yang Maha Esa dan merupakan bahagian utama kepada kalendar. Kalendar dan Bulan-bulan Baru adalah perlu bagi sebarang pemulihan. Selang masa, semua ini semakin tidak digunakan dan diputarbelitkan. Lihat karya Bulan-bulan Baru (No. 125).

Pendapat bahawa Kalendar adalah tanggungjawab orang Yahudi sebagai sebahagian dari Firman Tuhan, adalah palsu (rujuk karya Firman Tuhan (No. 184)).

Pengacauan kalendar ini berlaku sekali sekala untuk beberapa ketika (rujuk Kenapakah Paskah Begitu Lewat Pada 1997? (No. 239)). Tuhan mengutuk perendahan martabat Perayaan-perayaanNya dalam berbagai bentuk ini melalui Yesaya. Raja Yerobeam telah menyaksikan apa tanggapan Tuhan tentang penundaan perayaan-perayaan (rujuk Yerobeam dan Kalendar Hillel (No. 191)).

Bulan sabit adalah satu lagi sistem ibadah yang ditujukan kepada sistem Sin dan Baal/Asytoret dan korban manusia (rujuk karya-karya Anak Lembu Emas (No. 222) dan Asal-usul Krismas dan Easter (No. 235)).

Bulan-bulan Baru diperlakukan sebagai hari-hari ibadah  (1Samuel 20:5,18; Yesaya 66:23; Yehezkiel 46:11-3).  Bulan Baru bulan ketujuh khususnya dikuduskan (Imamat 23:24-25; Bilangan 29:1-6). 2 Raja-raja 4:23 mencadangkan bahawa kedua-dua Bulan Baru dan hari Sabat dianggap sebagai memberi peluang untuk meminta nasihat dari para nabi, dan Yehezkiel menandakan Bulan Baru sebagai hari kebaktian yang istimewa.

Titik Perhitungan

Bulan Baru merupakan peristiwa astronomikal yang tepat, yang boleh diramalkan dengan sempurna. Peristiwa ini boleh berlaku pada hari-hari berlainan disebabkan putaran bumi. Penentuan Bulan Baru diambil dari waktu konjunksi berlaku di Yerusalem, untuk memastikan keseragaman ibadah agama di serata dunia, dengan adanya komunikasi yang bertambah.

Kitab Suci meletakkan Yerusalem sebagai takhta Tuhan (Yeremia 3:17), pusat hukum taurat serta titik dari mana ianya akan dikeluarkan di bawah Mesias (Yesaya 2:3) dan melalui air Roh Kudus (Zakharia 8:22; 14:8-21). Tuhan telah menempatkan namaNya di situ untuk selamanya (2 Tawarikh 33:4).

Pendirian Alkitabiah

Korban-korban telah digenapi dalam Kristus, namun Perayaan-perayaan atau hari-hari Sabat itu sendiri tidak dihapuskan. Korban-korban tersebut telah diubah kepada persembahan-persembahan rohani pada tiap hari turutan Hari Kudus, dari hari Sabat ke Bulan Baru ke Hari-hari Raya. Korban-korban di bawah hukum disediakan, dari cukai khas yang diperuntukkan di bawah tanggungjawab penguasa negara. Cukai Raja ini dikaji dalam karya Pemberian Persepuluhan (No. 161).

Bulan-bulan Baru disenaraikan dalam hari-hari ibadah bersama hari Sabat dan Hari-hari Kudus dalam Bilangan 28 dan 29 (khususnya Bilangan 28:1-2, 11-15). Ini merupakan waktu kudus dan telah dihitung lebih awal dan di mana sangkakala-sangkakala ditiup sepanjang tempohnya (Bilangan 10:10; Mazmur 81:3). Kerja biasa tidak dilakukan (Amos 8:5). Raja mengadakan pesta-pesta khas pada Bulan Baru. Daud menyebut tentang peristiwa ini dalam 1 Samuel 20:5. Bulan Baru disebutkan sebagai lebih penting dari perayaan-perayaan itu (2 Tawarikh 2:4).

Kalendar lunar merupakan tanda Umat Kudus. Ianya sebahagian dari perjanjian dengan Israel. Tuhan membinasakan umatNya kerana mereka tidak memelihara hukum-hukumNya. Hasil akhirnya adalah, Dia membinasakan kekayaan semua bangsa. Menyembah bulan jelas dilarang (Ulangan 4:19; 17:3).

Penyucian Bait bermula dari Bulan Baru pertama bulan pertama. Lihat karya Pengudusan Bait Suci Tuhan (No. 241). Penyucian halaman dalam mewakili umat pilihan sebagai roda dalam dari penglihatan Yehezkiel. Penyucian orang yang berdosa dengan tidak sengaja dan kurang sedar dimulakan dari hari Ketujuh Bulan Pertama atau Nisan. Keimamatan telah menyediakan diri mereka serta bangsa.

Bulan Baru Bulan Ketujuh memulakan pemulihan melalui pembacaan hukum taurat. Ini berlaku setiap tujuh tahun kitar Jubli dan berlangsung setiap hari dalam Perayaan Pondok Daun (rujuk juga Pembacaan Hukum Dengan Ezra Dan Nehemia (No. 250); Ulangan 31:10-12; Nehemia 8:18).

Tahun ketujuh atau tahun Sabat mewakili kitar Milenium, yang sebanyak seribu tahun, yang bermula dengan kedatangan Mesias, yang mengeluarkan hukum itu dari Yerusalem. Taurat ini kemudiannya tersebar ke serata dunia dari penundukan semua bangsa. Pembacaan pada Perayaan Sangkakala-sangkakala dalam pemulihan Nehemia, adalah untuk menunjuk ke arah pemulihan Mesias dan dari Sangkakala-sangkakala (rujuk karya Jadual Waktu Ringkasan Segala Zaman (No. 272)).

Jubli

Seluruh sistem kalendar adalah berdasar pada Jubli. Jubli adalah kitar lima puluh tahun, yang digambarkan dalam pembinaan Bait Suci dan Jemaat dan struktur Alkitab. Jubli menunjuk ke arah hidup manusia dan tempoh pertumbuhannya selama lima puluh tahun. Lihat karya Hukum dan Perintah Tuhan Keempat (No. 256).

Ia terdiri daripada tujuh kitar sebanyak tujuh tahun masing-masing. Tuaian-tuaian diberikan dalam kalendar setiap enam tahun agar tahun Sabat dapat dipelihara (Imamat 25:3-7). Hukum Taurat dibaca setiap Tahun Sabat pada Perayaan Pondok Daun (Ulangan 31:10-13). Struktur Hukum dan Kitab Para Nabi seperti yang dibaca pada Perayaan Sabatikal pada tahun 1998 diterangkan dalam karya-karya berkenaan Hukum dan Perintah Tuhan (No. 251-263); (rujuk juga karya Hukum Tuhan (No. L1).

Tuaian tiga kali ganda diberikan pada tahun keempat puluh lapan jubli dalam tahun keenam kitar terakhir agar kedua tahun Sabat dan Jubli dapat dipelihara (Imamat 25:21). Jubli ditiupkan pada hari Pendamaian dalam tahun keempat puluh sembilan (Imamat 25:8-9), dipelihara suci untuk satu tahun hingga hari Pendamaian tahun kelima puluh (Imamat 25:9-13). Semua tanah kemudiannya kembali kepada pemilik-pemilik suku. Nilai-nilai tanah dihitung dari dasar ini (Imamat 25:15). Tanah-tanah kemudiannya dibajak dan ditanam benih untuk tuaian musim bunga dalam Abib tahun Pertama Jubli berikutnya. Tahun ini adalah tahun biasa kelapan kitar ini (Imamat 25:22).

Jubli terdapat dalam tahun-tahun 24 dan 74 SM dan 27 dan 77 TM dalam setiap abad. Jubli berikutnya adalah dalam tahun kudus 2027/8. Tahun 2028 akan memulakan Jubli Segala Jubli serta pemerintahan milenium baru Mesias sebagai 1/50 (rujuk Pembacaan Hukum Dengan Ezra dan Nehemia (No. 250); Maksud Penglihatan Yehezkiel (No. 108); Penentuan Masa Penyaliban dan Kebangkitan (No. 159); dan Jadual Waktu Ringkasan Segala Zaman (No. 272)).

Kalendar Tuhan bekerja sempurna dalam hukumNya. Jika Tuhan menginginkan sistemNya ditukar atau diubahsuai, Dia pastinya telah memberi arahan jelas. Tuhan, bukan Yehuda, mempunyai kewibawaan atas Kitab Suci yang tidak berubah serta KalendarNya sendiri. Kewibawaan ini kini terletak dalam Jemaat.

q